Friday, May 05, 2006

Wajib fahami keperluan ibu bapa

ISLAM menentang keras umatnya menyergah atau menyakiti ibu sendiri sekali pun dengan perkataan oh atau ah! Apa lagi sekiranya seorang ibu itu dimaki hamun atau disisihkan oleh anak sendiri.

Allah berjanji bahawa setiap orang yang melakukan penderhakaan akan diberi pembalasan yang setimpal dengan perbuatan mereka baik pembalasan di dunia dan tidak akan terlepas dari azab seksaan di akhirat nanti.

Rasulullah SAW bersabda: "Tiga manusia tidak akan masuk syurgaiaitu orang yang menderhaka kedua-dua ibu bapanya, lelaki yang tidak menjaga maruah keluarganya (dayus) dan perempuan yang menyerupai lelaki." (Hadis riwayat Nasa'i, Bazzar dan al-Hakim)

Al-Hakim turut meriwayatkan hadis Baginda yang bermaksud; "Semua dosa akan ditangguhkan Allah yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."

Anak sewajarnya memahami tabii kehidupan manusia iaitu ibu bapa mereka akan sampai ke usia yang tua, tiada kekuatan dan semakin lemah, memerlukan penjagaan dan mudah tersinggung.

Kesedaran ini boleh dijadikan garis panduan untuk menjaga dan memberi layanan mesra kepada ibu bapa seperti belaian kasih mereka ketika memelihara anak.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sebesar-besar dosa, apabila seorang lelaki mengutuk kedua-dua ibu bapanya.

Ramai orang berasa takjub bagaimana seorang yang cukup akalnya, beriman kepada Allah boleh mengutuk ibu bapanya, padahal merekalah yang menyempurnakan kehidupan anak-anak. Lantas Rasulullah SAW ditanya;

Bagaimana seorang itu mengutuk ibu bapanya? Jawab Baginda: Apabila orang itu memaki-maki ayah orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ayahnya. Kemudian dia memaki-maki ibu orang lain, lalu orang lain itu membalas maki ibunya!"

FAKTA
Tiga golongan tak masuk syurga

# Orang menderhaka ibu bapa
# Lelaki tidak menjaga maruah keluarga (dayus)
# Perempuan menyerupai lelaki