Wednesday, May 31, 2006

Ufuk Minda: Kehidupan luar fitrah undang musibah

MENELUSURI kisah menimba ibrah. Pepatah orang Melayu ini amat tepat hubungannya dengan proses pembentukan manusia. Sejarah nubuwwah adalah sejarah pembangunan rijal atau manusia.

Sejak zaman Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW, proses kenabian atau nubuwwah sifatnya menempuh zaman yang berbeza, cabaran kaum dan kabilah tidak sama serta memerlukan pendekatan berlainan.

Al-Quran merakamkan kisah yang pelbagai untuk menjadi ibrah atau teladan manusia. Apa yang berlaku terhadap manusia hari ini adalah perulangan yang pernah berlaku pada masa lalu. Bentuknya mungkin berbeza, tetapi maksudnya adalah sama.

Kalau teladan dalam kisah al-Quran tidak dijadikan pedoman, kisah sama akan berulang pada masa depan.

Kisah Nabi Lut dengan kaumnya adalah kisah klasik yang menggambarkan manusia pada suatu zaman yang tidak hidup dalam keadaan fitrah walaupun diseru ke arah demikian. Sebaliknya, mereka memilih jalan hidup di luar fitrah dan akhirnya Allah turunkan musibah menghancurkannya.

Perkara itu berulang dengan berkembangnya perbuatan melampaui batas di kalangan manusia hari ini dengan berkembangnya amalan 'gay' dan 'lesbian'. Akibat perbuatan itu antara lainnya lahir musibah Aids/HIV yang amat menggerunkan manusia.

Sekiranya manusia tidak kembali kepada kehidupan yang fitrah, maka kehancuran yang akan ditempa.

Kisah Firaun dan Nabi Isa juga satu lagi contoh klasik yang membayangkan keangkuhan manusia yang berasakan dirinya amat berkuasa sehingga mengaku dirinya Tuhan dan melakukan kezaliman yang amat dahsyat. Akhirnya, menerima balasan setimpal daripada Allah.

Kisah itu sedang berlaku hari ini di mana manusia atau kuasa yang seolah-olah sedang memporak-perandakan manusia atau negara yang lemah untuk kepentingan ideologi dan kuasanya. Ia akan terus berlaku hari ini dan bakal berlaku pada masa depan melainkan manusia kembali kepada kehidupan yang fitrah.

Sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW adalah titik tolak suatu perubahan yang amat strategik dalam sejarah Islam. Pembangunan kota Madinah menjadi asas kepada pembangunan masyarakat madani. Tumpuan kepada halaqah dan suffah menghasilkan di kalangan sahabat orang berilmu, ahlussuffah dan huffaz. Ia menjadi titik tolak perkembangan ilmu yang menghasilkan tradisi quttab, nizamiyyat dan madrasah yang amat menakjubkan.

Tradisi pengilmuan ini akhirnya mampu mencetuskan tamadun gemilang beberapa abad kemudian dan berlangsung memberi manfaat kepada Eropah dan umat manusia selama lebih 600 tahun.

Acuan yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW mengambil pendekatan Qurani sehingga Rasulullah SAW menggambarkan pada zamannya, Baginda mampu melahirkan generasi cemerlang dan unik. Kecemerlangan di sini harus dihubungkan dengan proses bina insan yang memberi tumpuan terhadap pembangunan akidah, akhlak, jihad atau jiwa perjuangan. Ia akhirnya berupaya menghasilkan generasi madani yang menjadi contoh yang amat cemerlang.

Fokus ini menjadi penting kerana prasyarat terhadap pembangunan sekitar atau pembangunan sumber bermula dengan pembangunan manusia. Sekiranya manusia yang dibangunkan itu mempunyai kualiti amanah yang tinggi, memahami maksud keadilan yang sifatnya merentasi, berdiri atas akhlak contoh, sentiasa yakin akan barakah dan reda Allah serta sentiasa menjadikan pedoman ilmu dan nilai sebagai penggerak perubahan, sistem yang baik dengan sendirinya akan terbangun.

Sebaliknya, sesuatu sistem yang baik diwarisi di kalangan mereka yang tidak berilmu, hilang daya akauntablitinya, tidak berasakan mengurus sistem dan sumber sebagai amanah Allah, maka sistem ini lambat laun akan rosak juga.

Islam dalam erti kata yang luas menghubungkan dua perkara yang amat asas. Pertama, Islam ialah ajaran, risalah atau hikmah yang datangnya daripada Allah untuk membangun manusia. Kedua, Islam juga menghubungkan proses pembangunan manusia dan jenis manusia yang dihasilkan.

Pada zaman Rasulullah SAW lahir apa yang disebut sebagai generasi al-Quran. Ajaran yang turun daripada Allah diamalkan dengan baik sehingga apabila sahabat bertanya kepada isteri Nabi SAW mengenai akhlak suaminya, lantas menghubungkan dengan 'akhlak al-Quran".


INTI PATI: Teladan dicatat dalam al-Quran

# Kisah Nabi Lut dengan kaumnya yang menggambarkan manusia di suatu zaman melanggar fitrah walaupun diseru ke arah demikian. Mereka memilih jalan hidup di luar fitrah dan akhirnya Allah turunkan musibah menghancurkannya.

# Kisah Firaun dan Nabi Isa membayangkan keangkuhan manusia yang berasakan dirinya amat berkuasa sehingga mengaku dirinya tuhan dan melakukan kezaliman yang amat dahsyat. Akhirnya, menerima balasan setimpal daripada Allah.

# Perkara usul atau yang menjadi asas tidak boleh diubah kerana nas di dalam al-Quran dan sunnah itu adalah bersifat putus dan tidak sama sekali boleh diubah.

# Prinsip keanjalan dalam perundangan Islam perlu diberi perhatian serius ketika undang-undang digubal, termasuk undang-undang Islam