Sunday, May 14, 2006

Terkena najis mughallazah

SOALAN: Saya ada sedikit kemusykilan mengenai samak. Adakah kita perlu samakkan tangan kita kerana memegang tayar motor yang terkena najis mughallazah?

Perlukah kita samak tayar motor berkenaan. Apabila kaki terpijak najis mughallazah dan kita menyentuh kaki kita dengan tangan adakah perlu kita menyamakkan kaki dan tangan berkenaan.

Pemuda Ingin Tahu

JAWAPAN: Dalam sebuah hadis disebutkan yang maksudnya “Mensucikan bejanamu yang dijilat anjing ialah dengan mencucinya sebanyak tujuh kali, mula-mula dengan tanah,” dalam riwayat lain, ‘pertengahannya’, ‘akhirnya’ dan ‘salah satunya’ (HR Muslim, Ahmad, Abu Daud, dan Baihaqi).

Berdasarkan hadis ini ulama berbeza pendapat dan yang paling ketat adalah mazhab Syafi’i dan Hambali yang menyatakan bahawa najis mughallazah ialah anjing dan babi serta apa-apa yang berkaitan dengannya dan untuk mensucikannya pada dasarnya mestilah disamak seperti yang difahami saudara penanya. Tetapi ada masalah yang banyak timbul dalam perkara ini seperti pertanyaan saudara penanya di mana jawapannya adalah sebagai berikut:

Jika kita masih mengagak bahawa sesuatu benda kegunaan kita yang berkaitan langsung dengan keibadatan terkena najis mughallazah, kita tak perlu samak benda berkenaan. Jika kita tahu benar ia terkena najis mughallazah, maka yang perlu kita perhatikan apakah ia fenomena harian atau hanya sekali sekala terjadi. Jika fenomena harian seperti tinggal di kawasan yang banyak anjing dan babi maka ia termasuk perkara muafat, yang dimaafkan cukup basuh macam biasa tapi kalau hanya sekali sekala berlaku, wajib menyamakkannya seperti hukum asal.

Hukum menyamak ini berlaku kepada benda yang terkena langsung najis mughallazah sedangkan perantara kepadanya seperti tangan yang memegang atau menyentuh tayar atau kaki yang terkena najis mughallazah maka hukum wajib samak tidak berlaku seperti anjing kencing di pokok rambutan akankah buah rambutannya juga disamak?

Berkenaan dengan tayar yang terkena najis mughallazah ia tak perlu dirisaukan dan tidak perlu disamak kerana ia tak ada kena mengena dengan diri kita. Kita tak akan, sebagai contoh, solat menggunakannya. Ia seperti benda lain di luar sana yang terkena najis mughallazah, kita tak perlu menyibukkan diri untuk menyamak semuanya.