Sunday, May 21, 2006

Talak ke atas isteri jatuh dengan niat suami

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Satu petang, ketika bertengkar, dengan menudingkan jari tangannya suami saya berkata: “Keluar kau dari rumah ini. Aku pun dah meluat tengok muka kau dan jangan balik-balik.” Kami sama-sama terpegun buat seketika. Saya seumpama tidak percaya kata-kata itu boleh keluar daripada mulut suami saya, yang telah lama hidup bersama lebih 10 tahun dengan lima orang anak.

Ketika ditanya maksudnya, suami saya menjelaskan dia tidak berniat menceraikan saya. Adakah saya telah bercerai? Walaupun demikian, sejak tarikh itu, hubungan kami tidak sebaik dahulu dan suami saya lebih banyak mendiamkan diri tidak semesra dahulu.

- Ros, Shah Alam

JAWAPAN: Perkataan yang diluahkan oleh seorang suami untuk menceraikan isterinya ada dua jenis:

i) Kalimah sarih, iaitu perkataan-perkataan yang jelas, yang tidak mendatangkan keraguan bahawa apa yang dimaksudkan dengan kata-kata tadi ialah untuk memutuskan perkahwinan, iaitu untuk menalak.

Perkataan-perkataan ini boleh digunakan dengan bahasa masing-masing, seperti bahasa Melayu, Inggeris dan sebagainya, seperti “aku talakkan engkau,” “nampaknya jodoh kita sampai sini sahaja,” “lepas ini kita berpisah, tidak ada ikatan perkahwinan” dan sebagainya.

Perkataan-perkataan seperti ini adalah jelas maksudnya dan menyebabkan jatuh talak, tidak kira sama ada si suami berniat untuk menjatuhkan talak atau tidak.

ii) Kalimah kinayah, iaitu kalimah sindiran, yang boleh ditafsirkan untuk maksud menceraikan isteri, ataupun maksud lain, contohnya: “Keluar engkau dari sini dan pulang ke rumah orang tuamu, jangan balik-balik lagi,” “angkat barang-barang engkau, aku meluat tengok muka kau” dan seumpamanya.

Perkataan-perkataan seperti ini yang dilahirkan oleh suami kepada isterinya memerlukan niat. Kalau kalimah-kalimah yang dituturkan itu berserta niat untuk menceraikan si isteri, maka jatuhlah talak tersebut, kalau tidak diniatkan untuk menceraikan maka talak tidak jatuh.

Merujuk pertanyaan puan, perkataan suami puan, boleh menyebabkan jatuh talak sekiranya ia berniat untuk menceraikan, kalau tidak maka ia tidak menyebabkan berlakunya talak.

Sesetengah orang hilang imbangan diri ketika dalam keadaan marah. Biarpun suami puan menyatakan yang ia tidak berniat untuk menjatuhkan talak ketika ditanya, tetapi sekiranya ketika dia berkata dengan perkataan yang puan jelaskan, maka talak tetap jatuh kerana dia mempunyai niat untuk menceraikan puan.

Semuanya bergantung kepada niat. Hanya Allah sahaja yang tahu niat sebenar seseorang. Mungkin juga dia tidak mengaku menceraikan puan ketika ditanya kerana ketika itu dia dalam keadaan normal dan menyesal apa yang telah terjadi.

Perlu dijelaskan bahawa talak dalam ajaran Islam adalah diharuskan, tetapi ia amat dibenci oleh Allah s.w.t. Talak terbahagi kepada dua, iaitu talak yang diistilahkan sebagai talak sunni, iaitu talak yang dilakukan menurut apa yang diharuskan oleh Allah iaitu, talak yang berlaku pada permulaan suci, sebelum si isteri disetubuhi.

Talak yang kedua diistilahkan sebagai talak bid'iy iaitu talak yang dilakukan tanpa menurut garisan yang ditetapkan oleh syarie, iaitu talak yang dilakukan ketika si isteri dalam keadaan haid.

Waktu yang digariskan oleh syarak untuk menjatuhkan talak itu ialah pada waktu permulaan si isteri suci daripada haid sebelum disetubuhi.

Hal ini penting diambil kira kerana idah itu dihitung dengan tiga kali suci (suci dari haid). Kalau talak dilakukan ketika si isteri dalam keadaan haid, maka masa di mana dia diceraikan itu tidak diperkira sebagai satu suci.

Sebuah hadis daripada Abdullah Ibn Umar, beliau berkata, Saya menceraikan isteri saya pada masa hidup Rasulullah ketika isteri itu haid. Berita ini telah dibawa oleh Umar bin Khattab (bapa Abdullah) kepada Rasulullah. Baginda marah mendengarkan hal ini dan berkata: Kembalilah kepada wanita itu dan peganglah dia sampai haid lagi dan suci lagi. Kalau ingin menceraikannya juga, ceraikan dia ketika bersih sebelum disetubuhi. Itulah cerai untuk idah seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Dengan berlakunya kejadian seperti ini Abdullah bin Umar telah rujuk kembali kepada wanita berkenaan, tetapi talaknya sudah terhitung sebagai satu talak.

Idah bermaksud period atau tempoh masa menanti yang wajib ditunggu oleh perempuan yang diceraikan oleh suaminya. Ketika itu wanita berkenaan tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain. Tempoh idah perlu ditunggu oleh wanita bertujuan, di antaranya untuk menentukan bahawa dia berada dalam keadaan bersih, tidak mengandung hasil daripada hubungan dengan suami yang telah menceraikannya.

Ketika dalam keadaan idah, suami masih boleh rujuk kepada isterinya biarpun tanpa nikah lain dan ini boleh dilakukan kalau perceraian itu berlaku pada perceraian talak pertama atau talak kedua.

Tempoh idah itu berbeza menurut keadaan:

i) Perempuan yang diceraikan oleh suaminya dengan cerai hidup, kalau dia masih mempunyai haid (belum putus haid), idahnya ialah tiga kali suci (suci daripada haid). Allah berfirman (al-Baqarah: 228) yang bermaksud: Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menunggu tiga kali quru’ (suci atau haid). Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang telah dicipta oleh Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari kiamat. Dan suaminya berhak merujuknya dalam masa menanti itu, jika mereka (suami) itu menghendaki islah (kebaikan).

Para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu kelebihan daripada isterinya. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

ii) Wanita yang diceraikan dengan cerai hidup tetapi dia tidak mempunyai haid, maka idahnya ialah tiga bulan, seperti yang tersebut dalam al-Quran (at-Talaq: 4) yang bermaksud: Dan perempuan-perempuan yang putus asa daripada haid di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu tentang idahnya, maka idah mereka adalah tiga bulan.

iii) Wanita yang diceraikan sebelum disetubuhi idahnya tidak ada, berdasarkan firman Allah (al-Ah’ab: 49) yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya, maka sekali-kali tidak wajib atas mereka idah bagimu yang kamu minta menyempurnakan. Maka berilah mereka mutaah dan lepaskanlah mereka itu dengan cara sebaik-baiknya.

Mutaah iaitu pemberian daripada suami untuk menyenangkan hati perempuan yang diceraikan.

iv). Bagi wanita yang diceraikan cerai hidup sedangkan dia dalam keadaan hamil, idahnya ialah sehingga

dia melahirkan anak. Ketetapan ini dijelaskan dalam al-Quran (at-Talaq:4) yang bermaksud: Perempuan yang hamil, waktu idah mereka ialah sehingga mereka melahirkan kandungannya.

v). Manakala perempuan yang diceraikan dengan cerai mati, idahnya ialah empat bulan 10 hari, seperti yang dijelaskan oleh al-Quran (al-Baqarah: 234) yang bermaksud: Orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri, para isteri hendaklah menangguhkan diri mereka selama empat bulan 10 hari. Kemudian apabila telah habis idahnya, maka tidak dosa bagi kamu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut apa yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu dilakukan.

Allah menjadikan perkahwinan itu suatu nikmat perkongsian hidup, agar setiap mereka yang terlibat membina kehidupan bahagia, kasih sayang dan penuh dengan rahmah.

Walaupun demikian, tidak semua pasangan berupaya membina hidup suami isteri untuk selama-lamanya, berpunca daripada masalah diri sendiri, faktor luaran atau kedua-duanya sekali.

Perselisihan faham, atau ketidakserasian antara pasangan menjadi punca utama masalah rumah tangga. Sekiranya kedua-dua pihak tidak mahu bertolak ansur, tidak mahu mengalah, maka persengketaan yang sedia wujud akan berpanjangan. Sebaliknya, sekiranya setiap pihak berupaya berlebih kurang, saling faham memahami, maka keharmonian rumah tangga itu akan bertahan, dan akan kekal. Sekiranya satu pihak itu menimbulkan masalah, tidak mahu mengalah tetapi pihak yang lain mengalah, masalah yang berlaku dan keharmonian rumah tangga akan dapat dipertahankan.

Merujuk masahal puan, sekiranya suami puan terus mendiamkan diri, tidak mesra atau seumpamanya, adalah menjadi tanggungjawab puan untuk mengembalikan kemesraan yang terhakis. Sekiranya puan bersikap seperti yang dilakukan oleh suami puan, masalah tidak berkesudahan.

Ini berlaku kerana setiap pihak mempunyai ego masing-masing. Tidak mahu mengalah berasa dirinya yang benar. Perlu diingatkan bahawa sekiranya setiap pihak sama ada suami atau isteri itu menginsafi, biar dalam keadaan apa sekalipun, mereka adalah pasangan suami isteri, setiap pihak akan berusaha untuk memaafkan pihak yang lain.