Monday, May 08, 2006

Tajid Iman: Menyemai kecintaan terhadap Rasulullah

Bersama Dr Juanda Jaya

MASJID al-Aqsa menyambut kedatangan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Khalifah Umar bin al-Khattab ketika dibebaskan daripada cengkaman penjajahan Rom. Palestin menjadi bumi Allah yang dimerdekakan oleh tangan yang beriman dan hati yang penuh dengan rahmat. Mereka berkumpul di dalam masjid untuk menunaikan solat Zuhur. Amirul Mukminin Umar berkata: "Wahai Bilal! Ingatkanlah kami pada saat permulaan datangnya Islam."

Bilal diperintahkan untuk mengumandangkan azan kerana kerinduan mereka kepada suara muazzin Rasulullah SAW itu. Selepas kewafatan Baginda, beliau tidak pernah mahu mengumandangkan azan lagi kerana teramat sedih merindukan kekasihnya, Muhammad SAW.

Tetapi hari itu, digagahi juga hatinya yang lama merajuk. Hati yang memendam rindu yang mematikan segala hasratnya untuk bergembira. Kaum Muslimin menanti dengan penuh harap, adakah sahabat mereka Bilal, sudi untuk melepaskan gemersik suara kalbunya yang menyimpan kecintaan itu?

Bilal pun bangun mengumpulkan segenap kekuatan bagi mengumandangkan kalimah indah yang memukau setiap telinga yang mendengar dan menenggelamkan hati yang sarat dengan kasih tak terbalas. Kerana sang kekasih telah meninggalkan mereka menghadap Allah.

Pada saat kalimah yang paling mengharukan itu kedengaran; 'Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah...' Lantas menangislah setiap mata yang menyaksikan, bergetar tubuh mujahid, terhiris rasa hati yang amat rindu, terbuka seluruh hijab di antara kekasih dengan kekasih.

Bilal mengingatkan mereka kepada seorang manusia yang pernah meninggalkan kenangan manis - kenangan pada sepasang mata yang mengalirkan kesucian yang memasuki ruang hati dan memenjarakannya dalam cinta. Rindu pada sentuhan tangan yang menuntun ke jalan yang lurus, jalan yang mengajarkan erti hidup.

Ingatan mereka hanya tertuju kepada Rasulullah SAW, perkataan dan perbuatannya berhasil mempengaruhi pemikiran dan perasaan. Akhirnya, hati mereka menjerit: "Bagaimana kami boleh teruskan hidup ini tanpamu ya Rasulullah SAW..."

Ketika kematian hampir menjemput Bilal, beliau melafazkan kegembiraannya dengan syairnya: "Esok kita akan bertemu-Mu wahai kekasih, Muhammad dan sahabatnya."

Seorang sahabat Rasulullah SAW, bernama Abdullah bin Umar berkata: "Aku tidak pernah berasa kenyang sejak aku berpisah dengan Rasulullah SAW." Bagaimana hati tergamak membiarkan perjuangannya ditinggalkan? Perjuangan itulah yang membuat Abdullah bin Umar melupakan kelaparan.

Umat Islam kini, adakah mereka rela berlapar seperti sahabat mereka di Palestin yang kebuluran? Mengapa dunia begitu menggoda hati manusia, sekali gus berhasil menipu mereka. Dunia ini pernah menyaksikan kemuliaan Umar bin al-Khattab yang menggenggam dunia di tangannya sambil menyingsing jubahnya yang bertampal-tampal. Tetapi, Umar cukup bahagia dengan iman yang diwarisi oleh kekasihnya Rasulullah SAW. Sesungguhnya kehebatan cinta itu telah mengalahkan kelazatan dunia pada diri Umar.

Bagaimana dengan kita sekarang? Ziarahlah ke makam Rasulullah SAW. Anda boleh menangis di sisinya, tetapi pastikan tangisan itu adalah tangisan penuh makna. Yang mengguriskan di hati kita sebuah janji untuk menjadi hamba yang terbaik dan umatnya yang dibanggakan.

Jika kita bertemu Rasulullah SAW nanti, pasti bekas perjuangan di tubuh badan ini menjadi saksi bahawa kita adalah umatnya yang menagih rindu mengharap balasan untuk bersamanya di syurga tertinggi.

Seorang lelaki Badwi pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, di manakah tempat Baginda nanti di akhirat. Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang (di akhirat) akan bersama dengan orang yang dikasihinya." Adakah kita layak bersama Rasulullah SAW nanti? Persoalan itu hanya dapat dijawab dengan perbuatan.

Meminjam kata-kata perangsang seorang ulama motivasi Dr Aid al-Qarni: "Satu saat untuk berfikir, satu minit untuk sebuah idea dan satu jam untuk tindakan." Perjuangan sebenar sememangnya boleh menyemarakkan rindu kepada Rasulullah SAW.