Monday, May 29, 2006

Taat jamin keharmonian keluarga

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya reda kepadanya, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Islam menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.

Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya.

Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa.

Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan rasul.

Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya, tetapi pada iman, ilmu dan kesabarannya.

Dengan demikian barulah kepemimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.

Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman di antara suami isteri.

Oleh itu, Islam menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah daripada kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta dan kuat pegangan agamanya.

Namun, yang perlu diutamakan adalah yang salihah (beriman) supaya mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.

Setiap wanita Islam hendaklah menyedari haknya yang digariskan oleh syarak supaya tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, isteri yang salihah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman.

Dengan itu, rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia. – Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.