Sunday, May 14, 2006

Suami, isteri kena bentuk kerukunan

IBNU Khaldun berkata: “Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mangikut garis-garis yang ditentukan oleh Allah dan perikemanusiaan.”

Imam Al-Ghazali pernah berkata: “Bahagia tiap-tiap sesuatu ialah apabila kita rasakan nikmat kesenangan dan kelazatan.”

Setiap insan mengidamkan sebuah keluarga bahagia, yang menjamin kebahagiaan kehidupan di dunia dan akhirat. Tetapi kita mesti ingat bahawa hanya orang yang mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya yang dapat membahagiakan keluarga mereka.

Dalam masyarakat Islam, suami atau bapa adalah ketua kepada sebuah keluarga. Maka suamilah orang pertama yang patut memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugas sebagai suami atau bapa untuk memimpin keluarga ke jalan yang diredai Allah.

Apabila seorang suami atau bapa dapat menjalankan semua perintah Allah dan Rasul-Nya, maka patut pula diperhatikan dan diamalkan beberapa perkara berikut. Antaranya:

- Mengajarkan ilmu agama kepada ahli keluarga secukupnya.

- Biasakan sembahyang berjemaah bersama mereka.

- Memohon keampunan untuk mereka.

- Galakkan dan ajarkan mereka membaca al-Quran.

- Sayangi dan kasihilah mereka.

- Memberi mereka rezeki yang halal.

- Luangkan masa bersama mereka.

- Tidak membenarkan mereka melakukan perkara mungkar.

- Mengadili mereka dengan cara yang baik.

- Galakkan mereka agar saling bantu-membantu antara satu sama lain.

- Ajar mereka supaya menjadi seorang yang pemaaf.

Isteri atau ibu juga mempunyai tanggungjawab untuk membahagiakan rumah tangga. Antaranya :

- Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

- Taat kepada suami.

- Menghormati suami dan keluarganya.

- Bermanis muka terhadap suami.

- Melayan anak-anak dengan penuh kasih sayang.

- Bersabar di atas segala dugaan.

- Reda dengan segala kemudahan yang disediakan oleh suami.

- Tidak membocorkan rahsia suami kepada orang lain.

- Tidak mengaibkan suami.

- Menjaga keharmonian rumah tangga.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad SAW) daripada Allah, dan sebuah kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Allah keluarkan mereka dari gelap gelita (kekufuran) kepada cahaya (iman dan Islam) yang terang benderang dengan izin-Nya, dan (dengannya juga) Allah menunjukkan mereka ke jalan yang lurus." (Surah al-Maidah, ayat 15-16).