Friday, May 12, 2006

Sembahyang berjemaah perteguh umat

ISLAM dan syariatnya mempunyai nilai dan keindahan yang tiada tolok bandingnya.

Allah SWT yang Maha Agung menganugerahkan syariat Islam yang amat bersesuaian dengan fitrah makhluknya yang bernama manusia.

Anugerah berkenaan terkandung pelbagai hikmah.

Hikmah paling besar yang dapat disingkap ialah mendekatkan diri manusia dengan Allah serta menguji keimanan dan ketakwaan seseorang hamba terhadap Penciptanya.

Secara sedar atau tidak, ibadat solat yang disyariatkan kepada seluruh umat Islam pastinya mengandungi hikmah iaitu perpaduan dan persaudaraan.

Ibadah solat memberi gambaran secara umum bahawa perpaduan dapat dilihat melalui cara pelaksanaannya.

Sebagai contoh mudah, ketika hendak menunaikan solat secara berjemaah, memperbetulkan saf amat dituntut dalam sembahyang.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: "Daripada Ibn Mas'ud katanya: Rasulullah SAW menyentuh bahu kami sebelum solat sambil berkata: "Luruskanlah barisanmu, jangan bengkok bengkok kerana barisan yang bengkok, nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah belah.

"Orang dewasa yang cerdik dan pandai hendaklah dekat di belakangku, kemudian yang pandai dan seterusnya." (Hadis riwayat Muslim).

Tuntutan solat berjemaah kepada umat Islam juga menggambarkan bahawa ia bukan hanya ibadat mendekatkan diri kepada Allah, malah ibadat kemasyarakatan yang memperteguhkan hubungan silaturahim sesama umat Islam.

Seorang paderi Kristian berkata, rakyat Palestin tidak akan dapat mengalahkan bangsa Yahudi selagi mereka tidak solat Subuh secara berjemaah seperti mereka menunaikan solat Jumaat.

Kata-kata berkenaan memang benar kerana Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: "Daripada Tsauban, katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Hampir tiba suatu masa, di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.

”Maka salah seorang sahabat bertanya: “Adakah kerana kami sedikit pada hari itu?”

Nabi SAW menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'”.

Seorang sahabat bertanya: “Apakah wahan itu wahai Rasulullah SAW? Nabi Muhammad SAW pun menjawab: "Cintakan dunia dan takutkan mati. "(Hadis riwayat Abu Daud). – mzumairi78@islamway.net