Monday, May 29, 2006

Sambut kelahiran bayi

Perlu difahami bahawa amalan seperti memasukkan sesuatu yang manis seperti kurma yang diistilahkan sebagai tahnik memang wujud dalam syariat- Islam.

Dalam sebuah hadis, Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Musa, katanya: “Telah dilahirkan untukku seorang bayi lelaki, lalu aku membawanya kepada Rasulullah lalu baginda menamakannya Ibrahim. Baginda telah mentahnik bayi berkenaan dengan sebiji tamar. Baginda mendoakan keberkatan untuknya kemudian menyerahkan kembali akan dia kepadaku. Bayi ini adalah anak sulung Abu Musa.”

Tahnik yang dimaksudkan ialah dengan mengunyah buah kurma dan menyuapkannya ke mulut bayi.

Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Asma’, katanya, dia telah mengandungkan Abdullah bin Az-Zubair di Mekah. “Aku telah keluar dari Mekah dalam keadaan sarat, lalu datang ke Madinah dan bersalin di Quba’. Kemudian aku membawanya kepada Rasulullah, lalu baginda meletakkan bayi tadi di pangkuannya. Kemudian baginda meminta sebiji kurma, lalu memamahnya dan meludahkannya ke dalam mulut bayi tadi. Maka yang mula-mula sekali masuk ke dalam rongga Abdullah ialah ludah Rasulullah kemudian baginda menyuapkan ke mulut Abdullah buah tamar yang telah dimamah tadi. Setelah itu baginda mendoakan keberkatan ke atasnya.” Abdullah adalah bayi yang pertama sekali dilahirkan dalam Islam. Orang-orang Islam sangat gembira dengan kelahirannya, kerana telah dikatakan bahawa orang-orang Yahudi telah menyihir kamu, kerana itu kamu tidak akan mendapat anak.

Dalam sebuah hadis lain pula Imam Muslim meriwayatkan daripada Aishah katanya: Bahawasanya telah dibawa kepada Rasulullah beberapa bayi lalu baginda mendoakan keberkatan untuk mereka, dan melakukan tahnik untuk mereka.

Islam meletakkan budaya hidup yang berkaitan kelahiran bayi dengan jelas, yang dapat dibuktikan menurut perlakuan Rasulullah, juga para sahabat yang perlu diikuti setiap individu yang mengaku dirinya Islam dengan penuh penghayatan.

Ketika Fatimah binti Muhammad hampir bersalin, baginda telah menyuruh Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy datang menemui Fatimah. Mereka berdua membaca ayat al-Kursi dan ayat inna rabbakumu'llah hingga akhir ayat, juga membaca surah Qul a'udhubi rabbi 'l-Falaq dan Qul a'udhubi rabbi ' n-nas.

Rasulullah mengajar agar setiap bayi yang baru dilahirkan diazan di telinga kanannya dan qamat di telinga kiri. Begitu juga dengan syariat yang telah ditetapkan agar rambut bayi itu dicukur, kemudian rambut tadi ditimbang dan dinilai dengan nilai emas atau perak berdasarkan berat rambut tadi untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Begitu juga dengan akikah yang disunatkan untuk dilakukan.

Islam adalah agama unggul, agama samawi yang diturunkan bersamanya kitab, al-Quran. Apabila seseorang itu mengaku yang Islam itu sebagai anutannya, individu berkenaan mesti berpegang kepada dua sandaran hukum utama iaitu al-Quran dan hadis dengan penuh keyakinan.

Perlu dijelaskan bahawa keyakinan seperti ini sukar diperoleh sekiranya seseorang itu hidup semata-mata berpegang kepada adat, menyebabkan timbulnya kecelaruan, tidak berupaya membezakan antara adat, menyebabkan timbulnya kecelaruan, tidak berupaya membezakan antara adat dan agama, yang akhirnya berpegang teguh kepada ungkapan, “Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah”.

Satu perumpamaan yang menggambarkan seolah-olah mati bererti kehancuran jasad akibat ditelan tanah, tanpa menyedari wujudnya satu kehidupan yang hakiki di akhirat kelak, seperti yang tersurat dalam Rukun Iman.

Islam memberi panduan, seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis, bahawa apabila seseorang itu mendapat cahaya mata dia hendaklah diazankan pada telinga kanannya dan diqamatkan pada telinga kiri. Dengan berbuat demikian, insya-Allah, kumpulan syaitan yang dinamakan “ummu as-sibyan” tidak akan memberi mudarat bayi berkenaan, iaitu tidak mengganggunya.

Disunatkan juga supaya melakukan amalan ‘at-tahniq’

Perkara lain ialah mencukur rambut bayi, di mana rambut cukuran itu hendaklah ditimbang, dan dinilai dengan nilai emas bagi mereka yang kaya, dan nilai perak bagi yang kurang kaya. Nilai tersebut hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Apa yang berlaku sekarang, amalan seperti ini terlalu jarang dilakukan, diganti dengan amalan mencukur jambul yang disertai dengan bacaan berzanji dan berselawat. Amalan lain ialah melakukan akikah di mana ia masih banyak dilakukan sehingga sekarang ini.