Tuesday, May 23, 2006

Risalah Hikam Ibnu Ruslan hurai iman ilmu tasawuf

Ensiklopedia Nusantara:
Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah

ADA empat jenis risalah atau kitab ‘Hikam’ yang dikenal pasti di dunia Melayu. Artikel kali ini memperkenalkan Risalah Hikam Ibnu Ruslan yang diberi gantungan makna oleh Syeikh Muhammad Arsyad ‘Abdullah al-Banjari.

Tiga yang lain ialah Terjemahan Hikam Shaghir berasal dari karya Syeikh Ibnu ‘Athaullah al-Askandari. Syarh Hikam Kabir juga berasal dari karya Syeikh Ibnu Athaullah al-Askandari.

Hikam Ibnu Abi Madyan diterjemah oleh Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Ada pun Risalah Hikam Ibnu Ruslan yang ditangani oleh ulama dunia Melayu ada tiga corak. Ada Risalah Hikam Ibnu Ruslan dalam bahasa Arab yang disyarah oleh Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi. Ada salinan Risalah Hikam Ibnu Ruslan oleh Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.

Karya Syeikh Muhammad Arsyad ‘Abdullah al-Banjari itu sebahagiannya sudah saya transliterasi daripada tulisan Melayu/Jawi kepada tulisan Rumi/Latin tetapi belum sempat diselesaikan.

Syeikh Muhammad Arsyad ‘Abdullah al-Banjari memulakan penulisan beliau diutamakan pemantapan tauhid sufi sebagai berikut: "Bahwasanya ilmu tauhid itu terlebih mulia daripada segala ilmu. Bermula daripada yang ditaklifkan ialah Risalah Raslaniyah, yakni yang punya taklif matan kitab ini bagi Imam yang ‘Arif Billah Ta’ala Wali Raslan Damsyiq nama negerinya, diperbaiki [oleh] Allah kiranya akan kuburnya dan dijadikan [oleh] Allah kiranya syurga akan tempatnya."

Syeikh Muhammad Arsyad ‘Abdullah al-Banjari menyebut pada kalimat di atas dengan istilah ‘ilmu tauhid’ dan demikian pada beberapa tempat dalam kalimat yang berikutnya, tetapi bahasan atau perbicaraannya bukan seperti ilmu tauhid yang biasa. Yang dimaksudkan pada ‘ilmu tauhid’ itu ialah menurut bahasan tauhid dari segi pandangan ahli tasawuf.

Syeikh Muhammad Arsyad ‘Abdullah al-Banjari dengan menggunakan gaya bahasa ‘ulama’ sufi, penuh khusyuk, tawaduk dan dinisbahkan sebagai munajah, menulis: “Ku pohonkan kepada Allah bahwa ku syarahkan ia dengan sirr (rahsia) atas syarah yang menghuraikan segala lafaznya dan menyatakan segala kehendaknya. Dan ku namai akan dia dengan Fath Ar-Rahman Pada Syarah Risalah Wali Ar-Raslan."

Syeikh Muhammad Arsyad 'Abdullah al-Banjari menerima konsep ahli tauhid sufi bahawa Allah sangat dekat kepada hamba-Nya, yang beliau ungkapkan pada kalimat: "Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar, Allah hadir kepada kita dengan ilmu-Nya, dan Allah melihat kepada kita dengan hukum-Nya. Bahawa Allah berserta kamu dengan ilmu-Nya, dan kudrat-Nya, dan tolong-Nya di dalam dunia dan akhirat. Apabila engkau ketahui akan yang demikian itu, nescaya engkau ketahuilah bahawasanya Allah serta-Mu di dalam batinmu dan zahirmu. Maka jadikanlah dirimu serta-Nya dengan karammu di dalam tauhid. “Dari kerana bahwasanya apabila ada engkau berserta Allah seperti demikian itu, nescaya engkau didindingi oleh Allah. Ertinya dijauhkan oleh Allah akan dikau daripada penglihatanmu akan dirimu. Maka, sejahteralah engkau daripada syirik khafi. Dan inilah kelakuan yang dinamai fana di dalam tauhid dan dinamakan Syeikh Muhammad Arsyad 'Abdullah al-Banjari hal jam'i.”

Selanjutnya Syeikh Muhammad Arsyad 'Abdullah al-Banjari membicarakan pula mengenai ‘iman’ menurut pandangan ahli tasawuf.

Katanya: “Bermula iman yang sempurna itu, keluarmu daripada Allah dengan tiada engkau sekutukan Allah dengan sesuatu daripada segala sifat Allah yang tertentu bagi Allah. Bermula yakin itu, keluarmu daripada dirimu. Ertinya daripada upayamu, dan kuatmu, dan wujudmu supaya kau pandang kesempurnaan upaya-Nya, dan kuat-Nya, dan wujud-Nya pada tempat lemahmu dan daifmu. Apabila bertambahlah imanmu dengan keluar daripada sekalian itu, nescaya berpindahlah engkau daripada suatu hal kepada suatu hal. Ertinya daripada lemah kepada kuat sehingga sempurnalah imanmu, iaitulah yakin.”

Kemudian Syeikh Muhammad Arsyad 'Abdullah al-Banjari mengaitkan dengan istilah lain, kata beliau: “Apabila sempurnalah yakinmu, nescaya jadilah segala yang ghaib nyatalah bagimu. Maka kau perolehlah iman yang kamil (yang sempurna). Apabila bertambah kuatlah yakinmu dengan keluarmu daripadamu, dan daripada segala yang lainnya, nescaya berpindahlah engkau daripada suatu makam kepada suatu makam. Ialah: Daripada ma'rifah kepada kasyaf. Daripada kasyaf kepada musyahadah. Daripada musyahadah kepada mu'ayanah. Daripada mu'ayanah kepada ittishal. Daripada ittishal kepada fana. Daripada fana kepada baqa' hingga kepada lainnya daripada segala maqamat yang masyhur pada ahl ash-sufi."

Selepas itu Syeikh Muhammad Arsyad 'Abdullah al-Banjari membandingkan pula beberapa istilah syariat, tarekat, hakikat dan makrifat.

Keempat-empat istilah yang sangat terkenal dalam lingkungan ahli tasawuf itu beliau huraikan satu persatu secara panjang. Semua huraian yang beliau sebut adalah menepati dan disepakati oleh ulama muktabar.