Wednesday, May 03, 2006

Peguam Syarie Menulis: Kesahihan talak budi bicara hakim

KITA sering mendengar suami menceraikan isterinya dengan lafaz talak secara sekali gus seperti lafaz: "Aku ceraikan kamu dengan tiga talak." Perceraian seperti ini menimbulkan masalah kepada pasangan sama ada jatuh tiga talak atau satu talak saja.

Kesan yang amat ketara di antara perceraian melalui talak satu dan tiga ialah bagi perceraian talak satu pasangan suami isteri itu masih boleh rujuk dan kembali sebagai suami isteri dalam tempoh idah isteri tanpa perlu bernikah semula.

Bagi perceraian talak tiga pula, pasangan suami isteri itu tidak boleh rujuk. Mereka hanya boleh bernikah semula apabila bekas isteri bernikah dengan lelaki lain dan lelaki itu telah menyetubuhi wanita itu. Seterusnya isteri itu diceraikan oleh suaminya (yang baru) itu dan tamat tempoh idahnya.

Mazhab Shafie, Maliki dan Hanbali menegaskan lafaz talak tiga secara sekali gus sebegini dikira sebagai tiga talak.

Mengikut Abu Za'ah al Razi, perceraian zaman awal Islam seperti ini hanya jatuh satu talak. Pada zaman Khalifah Umar disabitkan jatuh tiga talak. Ini kerana pada zaman Saidina Umar, ramai suami yang menceraikan isterinya secara talak tiga sekali gus. Umar membuat keputusan sebegini bagi memberi amaran kepada orang Islam ketika itu supaya tidak mempermainkan bilangan talak dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Perceraian dengan talak tiga tanpa sebab munasabah hukumnya haram walaupun isteri itu dalam keadaan suci.

Namun, ulama berbeza pandangan pula berhubung dengan perceraian talak tiga secara satu demi satu terhadap isteri yang belum disetubuhi.

Sebahagian ulama termasuk Imam Malik menyatakan bahawa lafaz itu dikira sebagai tiga talak, manakala sebahagian ulama lain termasuk Imam Shafie menyatakan jatuh satu talak saja.

Sekiranya suami melafazkan cerai dengan talak satu, sedangkan di dalam hatinya mempunyai niat talak tiga, maka menurut Imam Shafie jatuh tiga talak. Tetapi Imam Ahmad hanya mengira talak mengikut lafaz saja. Imam Ahmad mementingkan apa yang dizahirkan dan tidak mengambil kira apa yang tersirat di dalam hati kerana perkara di dalam hati amat sukar untuk dibuktikan.

Bagi mazhab Hanafi, talak ini dibahagikan kepada dua jenis iaitu talak al sunnah dan talak al bidaah. Talaq al sunnah ialah talak yang dilakukan dengan cara yang baik dan terbahagi kepada dua cara iaitu cara ahsan dan cara hasan.

Cara ahsan ialah talak yang dilakukan dengan satu lafaz talak di dalam masa suci isteri dan suami menjauhkan persetubuhan dengan isteri itu dalam masa suci dan juga dalam tempoh idah.

Cara hasan pula ialah talak yang dilakukan melalui tiga kali lafaz talak dalam masa tiga kali suci berturut-turut. Selepas lafaz ketiga perceraian menjadi muktamad dan tidak boleh dirujuk lagi.

Talaq bidaah pula adalah talak yang tidak digalakkan seperti lafaz tiga talak sekali gus atau talak yang dilafazkan dalam masa isteri sedang haid atau apabila isteri telah bersetubuh ketika suci isteri.

Hamudah al 'Ati menulis bahawa “mana-mana lafaz talak yang tidak mengikut aturan sunnah adalah dianggap berlawanan dengan sunnah, tidak mengikut amalan dan bidaah iaitu perbuatan penyimpangan ke arah yang tidak benar. Lafaz seperti itu adalah ditegah di dalam agama dan tidak sah di sisi undang-undang mengikut sebahagian mazhab. Jumhur ulama berpendapat ia ditegah oleh agama akan tetapi sah di sisi undang-undang."

Al Shiddiqi pula membezakan pendapat Imam Shafie iaitu talak tiga dalam satu lafaz atau menjatuhkan talak dalam sekali gus adalah sunnah, manakala Imam Abu Hanifa dan Imam Malik menyatakan ia bidaah.

Sebenarnya ada banyak lagi pandangan ulama berhubung perkara ini serta pelbagai tafsiran dan hujah dikemukakan oleh mereka.

Kita dapat perhatikan bahawa ada dua pandangan yang berbeza mengenai perkara ini. Di Mahkamah Syariah pula, hakim dalam mendengar dan memutuskan pengesahan sesuatu lafaz perceraian hendaklah berpuas hati bahawa lafaz talak yang diucapkan oleh suami memenuhi rukun talak.

Sebelum mengesahkan sesuatu lafaz talak, mahkamah hendaklah memastikan lafaz itu dibuat dengan kerelaan dan tanpa paksaan. Penentuan kesahihan talak itu boleh dibuat melalui pengakuan atau penafian, keterangan saksi dan sumpah.

Di dalam memutuskan sesuatu lafaz talak sekali gus sama ada gugur satu talak atau tiga, mahkamah juga mengambil kira beberapa faktor seperti hubungan suami isteri dan keterangan yang diberi. Umpamanya, sekiranya pergaduhan suami isteri itu tidak serius dan tiba-tiba suami melafazkan talak tiga sekali gus, maka adakalanya mahkamah hanya mengesahkan gugur satu talak saja. Tetapi, sekiranya suami isteri itu sentiasa bergaduh setiap kali berjumpa dan suami melafazkan talak tiga secara sekali gus, maka mahkamah memutuskan sabit tiga talak.

Perbezaan penghakiman ini memberi ruang kepada hakim menggunakan budi bicara dan kreativiti kehakiman mereka di dalam menggarap sesuatu penghakiman atau keputusan. Umpamanya, di dalam kes Mohamed Hussin lawan Hazimah (1990) 9 JH 189 Lembaga Rayuan Syariah telah memutuskan berdasar mazhab perayu iaitu Mazhab Hanafi, lafaz tiga talak dalam satu masa hanya berkesan sebagai satu talak.

Oleh demikian, dalam menentukan sama ada jatuh satu atau tiga talak pelbagai faktor perlu diambil kira oleh mahkamah. Kajian terhadap pandangan ulama yang berbeza ini perlu dibuat bagi mengaplikasikan pandangan itu kepada kes yang dibawa di hadapan Mahkamah Syariah. Setiap pandangan itu mempunyai hujahnya masing-masing. Dalam perkara cabangan seperti ini kita harus mencari titik persamaan dan nilai kehujahan sesuatu pandangan itu tanpa mempersoalkan kesahan pandangan lain.

# Pandangan dan persoalan boleh dikemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.com.my, faksimile 03-80259495 atau layari www.pgsm.com.my


INFO
Rukun talak

# Lafaz talak atau sighah.
# Ada isteri.
# Suami berkuasa menjatuhkan talak.
# Niat atau qasad menjatuhkan talak.
# Ada suami.