Sunday, May 14, 2006

Merindui solidariti umat

Ulul Albab: Merindui solidariti umat
Oleh Abdurrahman Haqqi

Hari ini persaudaraan Muhajirin, Ansar hanya tinggal kenangan

SELEPAS Rasulullah SAW tiba di Yathrib pada hari Jumaat 12 Rabiulawal bertepatan 24 September 622 M, ada empat perkara dilakukan baginda. Pertama, mendirikan sebuah masjid di mana ia akan menjadi tempat berkumpul, bermuzakarah, bertukar fikiran, bertanya khabar di samping tempat utama untuk beribadah. Dengan adanya masjid, komunikasi di kalangan umat boleh dijalin dengan mudah, telus serta terbuka dan seterusnya memudahkan perhubungan di antara mereka.

Kedua, Nabi mempersaudarakan kaum Muhajirin yang datang dari Makkah dan kaum Ansar, penduduk peribumi Madinah. Dengan pertalian persaudaraan ini, kedudukan umat semakin kuat kerana mereka adalah keluarga harmoni yang saling menolong dan membantu.

Ketiga, Nabi membuat perjanjian dengan penduduk Madinah yang bukan beragama Islam iaitu kaum Quraizah, Nadir dan Qainuqa' yang beragama Yahudi bahawa mereka harus saling menghormati dan memberikan kebebasan untuk melaksanakan agama masing-masing.

Keempat, Nabi meletakkan dasar politik, ekonomi dan sosial untuk masyarakat Islam. Melalui dasar ini dapatlah umat Islam melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh dan dengan teguh. (Baca Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyah)

Pada waktu dakwah Madinah di atas, diwahyukanlah kepada Nabi dengan apa yang disebut sebagai ayat-ayat madaniyyah di antaranya ayat yang bermaksud "Tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara yang menimbulkan permusuhan." (Surah Al-Ma'idah: 2) dan ayat yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong sebahagian yang lain…" (Surah Al-Taubah: 71)

Pada waktu inilah Rasulullah banyak memberikan pengajaran mengenai agama Islam kepada sahabat-sahabat baginda apabila di antaranya adalah hadis yang bermaksud: "Orang Muslim yang membabitkan diri dalam masyarakat dan tabah jika ia mengalami kesakitan adalah lebih baik daripada seseorang yang mengasingkan diri dan bermasam muka atas kesusahan yang diakibatkan orang lain," (Riwayat al-Tarmizi) dan "Orang yang paling disukai Allah adalah mereka yang paling banyak manfaatnya (bagi orang lain); dan amalan yang paling baik dilakukan seseorang ialah: memasukkan rasa kebahagiaan ke atas seorang Muslim, menyelamatkannya daripada penderitaan, melunaskan hutangnya atau mengusir rasa kelaparan daripadanya. Sesungguhnya aku sangat suka berjalan dengan seorang Muslim demi menunaikan hajat (keperluannya) daripada aku duduk di dalam masjid sebulan lamanya". (Riwayat Al-Tabarani).

Sebagai kemuncak daripada perjuangan Rasulullah menyampaikan amanah dakwah maka pada hari Jumaat 9 Zulhijah tahun 10H diucapkanlah khutbah perpisahan (Khutbah al-Wida') berikut di Padang Arafah:

Wahai manusia! dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia! seperti kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun supaya orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang membabitkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia sudah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia! sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia! dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah pada Ramadan dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah Haji' sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal salih.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia! tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu...

Pada hari ini, selepas 1417 tahun berlalu dari khutbah Nabi dan Rasul terakhir di atas kita merindui semua perjuangan baginda dan sahabat dalam menegakkan agama Islam yang suci.

Pada hari ini, selepas 1417 tahun berlalu dari khutbah yang mempunyai nilai kesejagatan di atas kita merindui untuk kembali memimpin dunia agar terbebas daripada belenggu ketidakadilan dan kekufuran terhadap nikmat Allah.

Pada hari ini, selepas 1417 tahun berlalu dari khutbah yang mempunyai nilai kemanusiaan di atas kita sangat merindui solidariti umat supaya diwujudkan kembali dengan sebenar-benarnya tanpa bermuka-muka sesama sendiri dan rasa takut kepada musuh.

Pada hari ini, selepas 1417 tahun berlalu dari khutbah perpisahan di atas yang penuh makna dan hikmah tidakkah kita sepatutnya boleh mempraktikkan ajaran saling menolong, kasih sayang dan berkorban seperti apa yang diteladankan Nabi dan para sahabat kepada saudara-saudara kita yang memerlukannya terutama rakyat Palestin dengan penindasan Israel; rakyat Afghanistan dan rakyat Iraq dengan pencerobohan Barat; rakyat Iran dengan tipu helah dan ketamakan Amerika; bahkan umat Islam yang hidup daif dan tertindas di merata tempat?

Pada hari ini, selepas 1417 tahun berlalu dari khutbah di atas yang menjadi wasiat keramat, belumkah meresap di hati sanubari kita makna hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud: "Seseorang tidak dianggap beriman sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri"? Hal ballaghtu, Allahumashhad