Sunday, May 21, 2006

Masalah zikir dengan jahar

Oleh: IBNU SHAUKAT

Sudah menjadi amalan bagi masyarakat Islam (mazhab Syafii) apabila selesai solat khususnya solat berjemaah, maka mereka akan diam sebentar untuk berzikir dengan dipimpin oleh imam. Zikir mereka biasanya dengan jahar (suara yang sedikit dikeraskan). Yang dizikirkan adalah kalimat-kalimat yang terdapat keterangannya dalam hadis-hadis sahih yakni Subhanallah 33 (kali), Alhamdulillah (33), Allahu Akbar (33) dan ditutup dengan: “Laa ilaaha illalloohu wahdahuu laa syarikalah, lahul mulku walahul hamdu wahua’alaa kulli syai’ing qodiir”.

Selanjutnya imam memimpin doa dan jemaah mengaminkannya. Inilah amalan majoriti di Malaysia.

Namun ada pihak yang menuduh berzikir secara berkelompok dan bersuara agak keras merupakan bidaah kerana pada masa Rasulullah s.a.w. perbuatan demikian tidak pernah dilakukan. Justeru, ia sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat kerana berzikir beramai-ramai ini sudah menjadi amalan di negara kita. Mereka resah kerana perbuatan mereka selama ini dianggap bidaah. Kita dapat lihat bagaimana ada segelintir makmum apabila selesai solat terus meninggalkan tempat solat kerana tidak suka ikut berzikir dengan jahar secara berkelompok – walaupun mereka berada di saf depan. Perbuatan seperti ini sudah tentu akan menyinggung perasaan jemaah lain dan menimbulkan pertikaian. Ada suara-suara sumbang yang menuduh golongan ini pengikut fahaman wahhabi (wallahualam). Ada juga yang menyarankan agar Jakim memantau pergerakan golongan ini kerana tuduhan mereka ini sudah tentu membawa implikasi besar terhadap amalan majoriti umat Islam di Malaysia.

Imam Syafii dalam kitabnya Al-Um berkata:

“Aku memilih untuk imam dan makmum agar kedua-duanya berzikir kepada Allah sesudah salam dari solat dan kedua-duanya melakukan zikir secara sir kecuali imam yang menginginkan para makmum mengetahui kalimat-kalimat zikirnya, maka dia boleh melakukan jahar sampai dia yakin bahawa para makmum itu sudah mengetahuinya kemudian dia pun berzikir secara sir lagi.”

Ini untuk mengajar orang lain tetapi zikir jahar juga digalakkan secara beramai-ramai untuk merangsang dan membangkitkan semangat dan menolak perasaan mengantuk juga pada tempat tertentu banyak gangguan lain. Apa salahnya gangguan itu diatasi dengan zikir yang memuji nama Allah? Malah semua makhluk lain pun ikut serta berzikir kepada Allah seperti pokok-pokok kayu atau alam di sekelilingnya. Apatah lagi yang melontarkan zikir itu dengan penuh kesyahduan, kekhusyukan serta betul dari segi sebutannya dan sedap didengar. Kecualilah zikir itu sumbang suaranya sudah tentu tidak digalakkan.

Ia juga sebagai usaha menampakkan syiar agama, memberi pelajaran kepada yang mendengarnya, menyedarkan yang lalai, menyampaikan berkat zikir itu kepada haiwan, pepohonan dan batu-batuan sesuai dengan jangkauan suara zikir itu dan agar setiap benda yang basah dan kering menjadi saksi atas zikir tersebut.

Dari penjelasan Imam Syafii ini diketahui bahawa imam itu tidaklah berzikir dengan sekalian makmum secara terus-menerus dengan jahar, melainkan jaharnya itu sekadar untuk memberitahu makmum kalimat-kalimat yang akan dipakai zikir secara bersama-sama.

Dengan demikian, tidak ada ditemukan di kalangan ulama Syafiiyah – pernyataan-pernyataan yang melarang atau mengharamkan zikir secara jahar. Ini perlu ditekankan kerana mereka yang tidak setuju zikir jahar kadang-kadang menjual ulama-ulama Syafiiyah dengan mengatakan mereka sendiri melarang zikir secara jahar.

Bukan untuk mengatakan zikir secara jahar lebih utama walaupun pada situasi tertentu dan untuk orang-orang tertentu, zikir jahar itu sangat diperlukan kerana dia dapat membangkitkan semangat dan mengghairahkan kalbu seseorang. Lebih besar lagi ialah untuk mengajak mereka yang jahil mendekati rumah Allah.

Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah dan Baihaqi dari Abu Hurairah:

Rasullulah bersabda: Allah berfirman: Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku pada-Ku. Aku akan selalu bersamanya jika dia terus berzikir pada-Ku. Apabila dia berzikir pada-Ku dalam hatinya, maka Aku pun akan berzikir untuknya dalam hati-Ku. Namun jika dia berzikir pada-Ku di hadapan orangorang, maka Aku pun akan berzikir untuknya di hadapan orang-orang yang lebih baik daripada mereka. Apabila dia mendekatkan dirinya pada-Ku satu jengkal, maka Aku akan mendekatkan diri-Ku padanya satu hasta. Apabila dia mendekatkan dirinya pada-Ku satu hasta, maka Aku akan mendekatkan diri-Ku padanya satu depa. Dan apabila dia mendatangi diri-Ku sambil berjalan, maka Aku akan mendatangi dirinya sambil berlari.

Hadis riwayat Baihaqi dari Zaid bin Aslam dari sebahagian sahabat, dia berkata:

“Aku pernah berjalan dengan Rasulullah di suatu malam. Lalu beliau melewati seorang lelaki yang meninggikan suaranya di sebuah masjid. Aku pun berkata: Wahai Rasulullah, jangan-jangan orang ini sedang riak. Baginda berkata: Tidak! Akan tetapi dia itu orang yang banyak mengadu kepada Allah.

Dalam hadis lain dari Ubay bin Ka’ab:

“Rasulullah apabila salam dari solat witir berkata: Subhanallah Malikil Qudduus tiga kali dan meninggikan suaranya pada zikir yang ketiga.