Wednesday, May 03, 2006

Lima keadaan lafaz cerai

TALAK terbahagi kepada dua kategori iaitu talak raj'i (boleh dirujuk dalam masa idah) dan talak baa'in (talak yang tidak boleh dirujuk dalam masa idah).

Talak boleh berlaku dalam lima keadaan.

# Dengan lafaz yang jelas.

Contoh: Aku ceraikan engkau dengan talak satu.

# Cerai taklik.

Contoh: Jika engkau keluar dari rumah ini, maka tertalaklah engkau dengan talak satu.

Jika isterinya keluar dari rumah itu selepas suaminya mengeluarkan perkataan berkenaan, maka jatuhlah talak satu.

Cerai dengan cara zihar

Contoh: Suami berkata kepada isterinya: "Punggung engkau seperti punggung ibuku" disertai dengan niat suami tidak lagi berminat dengan isterinya.

Apabila lafaz ini telah diucapkan, mahkamah hendaklah memberi pilihan kepada suami sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.

Jika si suami ingin merujuk kembali kepada isterinya, hendaklah dia membayar kafarah dua bulan berturut-turut, kalau tidak mampu, dia hendaklah membuktikan dengan pengakuan doktor yang diiktiraf mengenai tahap kesihatannya.

Jika dia benar-benar tidak mampu untuk berpuasa, maka dia bolehlah memberi makan kepada 60 orang miskin dengan makanan asasi. Sebaliknya, jika dia enggan kembali kepada isterinya, dia hendaklah menceraikan isterinya dan tidak boleh rujuk ketika idah.

Cerai secara fasakh.

Iaitu salah satu pasangan memohon membatalkan perkahwinan kepada mahkamah dengan sebab kecacatan pada pihak yang satu lagi yang tidak diketahuinya sebelum bernikah.

Antara penyakit yang mungkin berlaku seperti gila, Aids, sopak, mati pucuk dan seumpamanya. Jika mahkamah berpuas hati, maka mahkamah akan memfasakhkan perkahwinannya.

Cerai secara khuluk (tebus talak).

Seorang isteri yang sudah tidak lagi menaruh minat terhadap suaminya walaupun suaminya itu seorang yang baik.

Maka, dia boleh dengan izin mahkamah dan persetujuan suami membayar sejumlah harta kepada suaminya untuk mendapatkan cerai.

Kadar jumlah yang perlu dibayar oleh isteri berkenaan akan ditentukan oleh pihak mahkamah.

Cerai secara li'an.

Iaitu mana-mana pihak sama ada suami atau isteri menuduh pasangannya melakukan zina dengan cara bersumpah di hadapan orang ramai. Kemudian dia hendaklah membuat pengesahan di mahkamah untuk mendapatkan pengesahan mengenai statusnya itu.

Cerai secara ila'.

Iaitu seorang suami bersumpah tidak akan bersetubuh dengan isterinya selama empat bulan.

Selepas berlakunya sumpah itu, mahkamah hendaklah memerintahkan suaminya menyetubuhi isterinya dalam tempoh empat bulan.

Selepas habis tempoh empat bulan, jika mahkamah mendapati suaminya tidak mematuhi arahan berkenaan, mahkamah akan menasihati si suami supaya menceraikan isterinya.

Selepas itu, jika dia masih enggan, maka mahkamah berhak menjatuhkan talak kepada isterinya disebabkan keengganan suami untuk menurut perintah.

# Petikan laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.