Wednesday, May 03, 2006

Kuasai marah bukti kekuatan sebenar

SIFAT suka marah adalah tabiat tidak disukai oleh Allah dan Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah marah nescaya engkau memperoleh Syurga.” (Riwayat Tabrani)


Mengikut hadis yang diriwayatkan Bukhari, seorang lelaki meminta nasihat dari Rasulullah SAW. Sabda baginda, “Jangan kamu marah...”

Jika umat Islam dapat rasai bahawa marah sesuatu yang tidak baik maka akan timbul rasa bersalah untuk marah-marahkan orang lain.

Kalau pun ada perasaan hendak marah dapatlah dibendung agar tidak melampaui batas dibenarkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukanlah kuat seseorang itu dengan kuatnya tubuh badan tetapi dinilai kuatnya apabila dia dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Untuk meredakan kemarahan yang membuak-buak itu dianjurkan beberapa perkara:

# Tinggalkan majlis yang menyebabkan anda menjadi marah

# Segera sejukkan diri dengan mengambil wuduk

# Solat sunat mutlak dan beristighfar keinsafan

# Baring bagi merehatkan fikiran.

Apabila berhadapan dengan orang yang sedang marah, tenteram dengan:

# Laungkan azan di telinga kanan dan kirinya, dan jika tidak boleh menghampirinya bayangkan telinganya dan azankan padanya

# Minta maaf kalau anda di pihak yang bersalah dan lembutkan hatinya dengan memohon maaf walaupun dia di pihak bersalah

# Jika tidak berkurang juga, tinggalkan dia sendirian

# Doakan kepada Allah SWT agar dihilangkan sifat marahnya itu.

Manakala seseorang yang melakukan dosa kemudian insaf atas perbuatannya yang lalu adalah sesuatu yang baik. Itu petanda dia sudah bertaubat.

Seseorang yang bertaubat (diterima taubatnya) seperti orang yang tidak berdosa lagi.

Seseorang Islam tidak boleh bersikap putus asa dan taubatnya mesti dibuat selalu dan selagi belum dirasai ketenangan teruskan bertaubat. Allah SWT suka mendengar rintihan hamba-Nya yang bertaubat.