Tuesday, May 09, 2006

Jauhkan diri berjanji dalam jual beli

RASULULLAH SAW melarang keras perbuatan terlalu banyak bersumpah dalam kehidupan, terutama dalam urusan berjual beli.

Baginda mengingatkan golongan peniaga supaya tidak menjadikan sumpah sebagai umpanan untuk melariskan barangan dagangan. Sabda Baginda bermaksud: “Banyak bersumpah (dalam jual beli) menjadikan barang dagangan laris, namun menghilangkan barakah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)."

Hadis Hakim bin Hizam, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Penjual dan pembeli diberi kesempatan berfikir selagi mereka belum berpisah.

Sekiranya mereka jujur serta membuat penjelasan mengenai barang yang dijual-belikan mereka akan mendapat berkat dalam jual beli itu. Jika mereka menipu dan merahsiakan mengenai apa-apa yang harus diterangkan mengenai barangan yang dijual-belikan, maka akan terhapus keberkatan daripadanya."

Ibnu Umar ada meriwayatkan ada seorang lelaki memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia ditipu dalam jual beli. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang akan berjual beli dengan kamu katakan kepadanya: Tiada penipuan!” Sejak itu, apabila berjual beli, beliau akan berkata: Tiada penipuan!

Maksud hadis di atas ialah pembeli akan mempercayai dan terpengaruh dengan lafaz sumpah penjual itu, lalu membeli barang dagangannya sehingga si penjual mengaut keuntungan daripada harga dagangannya.

Sungguhpun hasilnya, barang dagangannya laris, namun keberkatan daripada urusan jual beli itu akan terhapus.

Misalnya, si penjual tidak mendapat manfaat daripada keuntungannya seperti kehilangan wang hasil jualannya atau mungkin diserang penyakit atau ditimpa musibah yang menyebabkan dia terpaksa menanggung kos rawatan tinggi.

Faktor yang menyebabkan berlakunya sedemikian kerana terlalu banyak bersumpah dengan nama Allah dalam segala masalah sama ada besar mahupun kecil.

Dalam aspek pengamalan riba, umpamanya, walaupun pendapatan daripada urus niaga secara itu boleh menambahkan pendapatan, namun pada akhirnya ia akan menjadi sedikit atau susut.

Sebagai seorang Islam yang berpegang kuat kepada ketentuan rezeki adalah daripada Allah, kita sepatutnya menjauhkan diri daripada banyak menggunakan lafaz sumpah dalam urusan berjual beli walaupun apa yang disumpahkan itu benar.

Kita hendaklah mengagungkan nama Allah yang suci iaitu tidak bersumpah dengan nama-Nya kecuali pada saat yang amat diperlukan mengikut kebenaran syarak.

# Penulis Ketua Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara kampus Melaka