Monday, May 08, 2006

Imam Al-Ghazali

Ilmuwan Islam: Al-Ghazali tak puas hanya rujuk buku

IMAM Al-Ghazali adalah perintis awal yang sangat terkenal dalam dunia falsafah Islam. Ketokohan dan kehebatannya, menyebabkan beliau mendapat gelaran “Hujjatul Islam”.

Beliau adalah ilmuwan ulung yang sangat berjasa terhadap perkembangan dunia keilmuan Islam.

Imam Al-Ghazali bukan ulama tersohor pertama dalam keluarganya, kerana datuk saudaranya, Abu Hamid al-Ghazali adalah ahli ilmu kalam dan fiqh.

Sejak awal lagi, beliau terdedah kepada pengaruh amalan dan ilmu tasawuf. Ayahnya seorang yang beramal dengan amalan tasawuf yang sangat warak.

Imam Al-Ghazali berguru dengan beberapa ulama terkenal pada zamannya seperti Imam al-Juwaini di Naisabur dan Nizam al-Muluk di Muaskar.

Sebagai seorang ulama yang cintakan ilmu, beliau sering bermusafir dan mengembara dari sebuah negara ke negara bagi menambah ilmu dan menyebarkannya.

Tidak hairan jika beliau sangat dihormati oleh pemerintah Bani Saljuk dan Abbasiah kerana ilmunya yang mendalam dan mempelopori bidang ilmu falsafah.

Imam al-Ghazali berpegang pada prinsip bahawa ilmu dan keistimewaan sufi tidak dapat dipelajari melalui buku saja kecuali melalui pengalaman atau merasakan sendiri.

Falsafah beliau meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri ilmuwan Islam seperti ar-Rumi, Ibn Rusyd dan Syah waliullah.

Asas-Asas Falsafah Al-Ghazali secara ringkasnya dikategorikan kepada enam aspek penting iaitu matematik, fizik, metafizik (ketuhanan), politik, logik dan etika (akhlak).

Malah, menurutnya Islam tidak melarang mempelajari ilmu seperti falsafah Greek asalkan tidak bertentangan dengan Islam seperti dibahaskan di dalam karyanya Tahafut al-Falasifah mengenai fizik dan metafizik yang mengatakan alam ini terurus dengan sendiri tanpa kawalan.

Imam al-Ghazali juga ulama dan pemikir Islam yang sangat produktif dalam penulisan.

Jumlah hasil tulisannya sehingga kini masih tidak dapat ditentukan dengan tepat oleh penulis sejarahnya. Ada di antara kitabnya yang diterbitkan dan masih ada yang tersimpan dalam perpustakaan di Arab.

Kitab itu meliputi pelbagai bidang ilmu seperti ilmu al-Quran, akidah, ilmu kalam, usul fikah, fikah, tasawuf, mantiq, falsafah, kebatinan dan lain-lain.

Hasil karya beliau sering menjadi rujukan terutama dalam bidang falsafah ialah Tahafut al-Falasifah yang banyak membongkar pemikiran dan pendiriannya.

PROFIL
Al-Ghazali
Nama: Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ta’us Ahmad al-Tusi al-Shafi’I.
Tarikh lahir: 450 hijrah/1058 masihi.
Tempat lahir: Tabaran, satu daripada dua kota kecil di Tus, sekarang dalam kawasan Meshed di Khurasan.
Meninggal dunia: 505 hijrah pada usia 55 tahun.
Antara karya berpengaruh Tahafut al-Falasifah, Ihya’ Ulumiddin, Al-Munqidz Min ad-Dhalal, Miskat al-Anwar, Maqasid al-Falasifah,
Majalis Al-Ghazali dan Al-Mustazhari