Monday, May 29, 2006

Imam Abu Hanifah

Ilmuwan Islam: Imam Hanafi pernah dipenjara, diracun apabila tolak jawatan

IMAM Abu Hanifah atau Imam Hanafi terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fiqh di Iraq.

Pengasas Mazhab Hanafi ini juga sebagai ketua ahli fikir (ahli ra'u). Golongan cerdik pandai pada masa itu menyifatkan beliau sebagai ‘akal dalam ilmu pengetahuan.’

Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan salih. Seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredaan Allah.

Sifat keberanian beliau adalah berani menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Untuk kebenaran ia tidak takut sengsara atau apa bahaya yang akan diterimanya.

Dengan keberaniannya itu beliau selalu mencegah orang yang melakukan perbuatan mungkar. Ini kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan berasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang yang baik yang ada di tempat itu.

Imam Hanafi walaupun berkelayakan dan berkebolehan, namun tidak gila pangkat atau kedudukan. Beliau pernah ditawarkan pelbagai jawatan oleh kerajaan berdaulat Bani Abasiyyah.

Imam Hanifah diminta memegang jawatan setiausaha kerajaan, bendahari dan kadi. Tetapi semua jawatan itu ditolak kerana kewarakannya dan tidak mahu memegang jawatan rasmi.

Imam Hanafi banyak kali dijatuhkan hukuman oleh kerajaan kerana membangkang kehendak Khalifah. Gabenor Yazid bin Hurairah melantik Imam Hanafi menjadi kadi di kota Kufah, tetapi menolaknya.

Gabenor Yazid marah apabila Imam Hanafi tidak mahu menerima pelantikannya. Baginda berkata: “Kalau dia tetap tidak mahu menerima jawatan yang ditawarkan, pukullah dia.”

Ketika kerajaan Islam dalam kuasa kerajaan Bani Umaiyyah, Imam Hanafi dilantik memegang jawatan tinggi, tetapi beliau tetap menolak dan memilih hukuman.

Imam Hanafi dipenjara dan dikenakan rotan sebanyak 110 kali.

Setiap hari beliau dirotan sebanyak 10 kali, ketika itu usia beliau mencapai 50 tahun.

Apabila Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur memerintah kerajaan Bani Abbasiyyah, Imam Hanafi dilantik sebagai kadi di Baghdad. Beliau dipanggil untuk menghadap khalifah.

Khalifah memaksa beliau dengan bersumpah untuk menerima jawatan yang diberikan. Tetapi Imam Hanafi menolak dengan bersumpah.

Seorang pegawai berkata: “Apakah tuan guru (Imam Hanafi) tetap menolak titah baginda, sedangkan baginda telah bersumpah supaya tuan guru menerima jawatan itu.”

Imam Hanafi berkata: “Khalifah lebih layak membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar kifarat sumpah saya.”

Beliau kemudian dipenjara hingga satu tempoh diputuskan khalifah kerana menolak jawatan itu.

Selepas sekian lama dalam penjara, beliau dihadapkan kepada khalifah untuk ditanya lagi sama ada sedia menerima jawatan itu atau tidak. Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya, menolak jawatan itu.

Khalifah berkata: “Wahai Nu'man, adakah kamu suka dengan keadaan kamu seperti sekarang ini?”

Imam Hanafi menjawab: “Semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah dan janganlah engkau bersubahat dalam kepercayaan engkau dengan orang yang tidak takut kepada Allah.

“Demi Allah, saya bukanlah orang yang dapat dipercayai pada waktu dapat dipercayai pada waktu marah? Sebenarnya saya tidak patut ditawarkan jawatan seperti itu.”

Khalifah berkata dengan marah: “Kamu berdusta, kamu memang layak memegang jawatan itu.”

Imam Hanafi berkata: “Ya Amirul Mukminin, tuanku sendiri telah mengatakan saya pendusta, kalau begitu bagaimanakah tuanku hendak melantik seorang pendusta memegang jawatan itu.”

Khalifah sangat marah sebab Imam Hanafi dapat menangkis kata-katanya. Baginda memerintahkan supaya Imam Hanafi dimasukkan kembali ke dalam penjara.

Imam Hanafi walaupun menerima seksaan berat, tetap menolak jawatan yang ditawarkan itu.

Pada suatu hari, Imam Hanafi dipanggil khalifah. Beliau keluar dari penjara dan dikawal ketat oleh polis penjara. Dengan leher dan kaki yang dirantai, beliau dibawa menghadap khalifah.

Khalifah berkata: “Minumlah.” Imam Hanafi tidak terus minum. Khalifah memaksa Imam Hanafi minum minuman yang telah dicampur racun itu.

Selepas dipaksa, Imam Hanafi pun terus minum. Selepas minum, beliau dihantar semula ke penjara. Beberapa ketika kemudian, beliau merasakan badannya panas dan kepalanya pening.

Imam Hanafi merasakan ajalnya sudah hampir. Beliau sujud kepada Allah dengan khusyuk. Lama beliau sujud dan akhirnya beliau kembali kepada Allah dalam keadaan sujud.

PROFIL
NAMA: Imam Hanafi
NAMA SEBENAR: Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha
TARIKH LAHIR: 699 Masehi
TEMPAT LAHIR: Kufa, Iraq
MENINGGAL DUNIA: 776 Masehi