Wednesday, May 31, 2006

Ibu bapa perlu berlaku adil terhadap anak

ISLAM menuntut ibu bapa berlaku adil terhadap anak sama ada perempuan atau lelaki. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Persamakan di antara anak-anak kamu dalam pemberian.” (Hadis at-Tabrani)

Kasih sayang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan makhluk di muka bumi ini sama ada bergelar insan atau binatang.

Begitu juga dengan ibu bapa terhadap anak. Mereka hendaklah berlaku adil kepada anak dalam setiap perkara, terutama dalam memberikan kasih sayang.

Elakkan daripada berlaku penderaan emosi disebabkan oleh sikap pilih kasih dan sebagainya.

Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi orang lain seperti dia mengasihani dirinya sendiri.

Apa yang dia suka diperlakukan ke atasnya dan apa yang dibenci berlaku terhadap dirinya. Maka perkara yang sama juga mesti terjadi pada ibu bapa terhadap anak masing-masing.

Anak memerlukan bimbingan daripada ibu bapa. Namun, tidak bererti anak mesti dimanjakan dan diberi apa yang dimahukan. Ia mestilah disulami dengan aspek ketegasan yang bersesuaian dengan masa dan keadaan.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Anak adalah amanah Allah yang diserahkan kepada ibu bapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.

Sewajarnya ibu bapa menyamakan layanan di antara anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak. Semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata.

Apa tah lagi hubungan di antara ibu bapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.

Sesungguhnya ibu bapa yang berlaku adil akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki daripada anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)