Thursday, May 04, 2006

Ibu bapa dituntut beri layanan adil

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Anak-anak adalah amanah Allah yang diserahkan kepada ibu bapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka. Akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.

Sewajarnya ibu bapa menyamakan layanan di antara anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak. Ini kerana semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi. Ia perlu diberi sama rata, apatah lagi hubungan di antara ibu bapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.

Sesungguhnya ibu bapa yang berlaku adil akan diberikan ganjaran syurga di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki daripada anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim).

Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia