Friday, May 12, 2006

Ibadat bukan setakat solat, puasa

DISEBABKAN hanya Allah yang mesti dikasihi dan dicintai, perintah atau ibadat dituruti dengan perasaan penuh sedar, kasih dan cinta kepada-Nya.

Kita perlu mencontohi nabi dan rasul. Mereka adalah hamba Allah yang terbaik dan sentiasa beribadat. Firman Allah bermaksud: “Katakan olehmu ya Muhammad! Jika kamu cintakan Allah, turutkanlah aku (Muhammad) nescaya Allah cintakan kamu." (Surah Ali Imran, ayat 31).

Jika kita mencintai Allah, tentu Allah sangat cintakan kita kerana Ia tetap cintakan makhluk-Nya, walaupun Ia dilupai.

Perhambaan diri atau ibadat kepada Allah akan lengkap dan lebih bermakna, jika disertai dengan perasaan cinta serta takut kepada-Nya.

Sesetengah ulama berpendapat hati berasa begitu seronok dantenang hasil daripada pengabdian kepada Allah.

Maka, bertaubatlah hati manusia kepada Allah dengan rela bercampur takut.

Firman Allah bermaksud: "Orang yang takut kepada Allah Yang Amat Pemurah dalam keadaan tersembunyi, dan menghadap (Allah) dengan hati yang tunduk dan taat." (Surah Qaf, ayat 33).

Sama ada dalam perkara yang disukai atau tidak, orang yangmemperhambakan diri beribadat kepada Allah sentiasa patuh kepada Tuhannya.

Kasihnya kepada Allah dan rasul melebihi daripada yang lain.

Orang yang mencintai Allah dan Rasulullah SAW, selalu mengikut sunnah Rasulullah SAW. Ia mengasihi makhluk Allah semata-mata kerana Allah mengasihi Rasulullah SAW kerana Baginda adalah pembawa agama Islam.

Ada dua tanda seseorang itu mencintai Allah dan rasul-Nya iaitu:

l Selalu mengikuti jejak langkah (sunnah Rasulullah SAW).

l Berjuang pada jalan Allah (agama Allah).

Islam tidak bertujuan mengikat manusia supaya hanya menumpukan kepada sesuatu ibadat tertentu.

Setiap perkara yang dihafalkan mempunyai keistimewaan dan meliputi seluruh kegiatan lahir dan batin manusia.

Ibadat dalam Islam mempunyai bidang luas, merangkumi semua jenis amalan, fardu dan syiar Islam yang wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Ia juga termasuk perkara sunat yang menjadi penambah kepada perkara wajib atau perkataan lain bagi menampung benda terkoyak atau melaksanakan setiap perkara diperintahkan supaya dilaksanakan oleh hamba-Nya.

Ibadat meliputi setiap perkara disukai dan diredai Allah sama adadaripada jenis perkataan atau perbuatan zahir dan batin.

Antara yang digolongkan sebagai ibadat ialah solat, zakat, puasa, bercakap benar, amanah, taat kepada ibu bapa, memanjangkan silaturahim dan menunai janji.

Mengajak manusia kepada kebajikan, mencegah kejahatan, menuntut ilmu, membuat baik kepada jiran dan membaca al-Quran adalah ibadat.

Bidang ibadat dibuka seluas-luasnya oleh Islam, meliputi segala jenis amalan.