Sunday, May 14, 2006

Hukum daging akikah diberi kepada bukan Islam

SOALAN:

SAYA ingin mengemukakan soalan mengenai hukum daging akikah dan korban dimakan orang bukan Islam. Contohnya ketika kenduri kesyukuran. Apa pandangan ustaz mengenainya.

Ingin tahu.

JAWAPAN: HUKUM akikah dan korban mempunyai banyak persamaan, sama ada dalam hukum sedekah, hadiah, makan, menyimpan daging dan menentukan kadar daging yang dimakan adalah sama dan tiada perbezaan di dalamnya.

Bagaimanapun, ada sedikit perbezaan hukum antara kedua-duanya antaranya daging akikah itu hendaklah dimasak terlebih dulu, sedangkan korban diberikan dalam keadaan mentah; daging akikah jika diberikan kepada orang kaya nescaya akan menjadi miliknya, manakala daging korban jika diberikan kepada orang kaya tiadalah orang kaya itu memilikinya, hanya untuk dimakannya saja; dan amalan berkorban itu dituntut waktunya pada Aidiladha dan hari Tasyriq iaitu hari kesebelas, dua belas dan tiga belas daripada bulan Zulhijah.

Sementara akikah pula tidak terikat dengan waktu.

Oleh kerana daging akikah dan korban sunat dibahagikan kepada tiga bahagian, tidak ada halangan untuknya dimakan orang bukan Islam dan kita masukkan mereka ke dalam bahagian kita atau kerabat kita.

Jangankan yang sunat hukumnya, yang wajib pun Sayyidina Umar pernah memberikannya kepada orang bukan Islam dengan ucapan mashurnya “mereka adalah orang-orang fakir ahli kitab” ketika membuat keputusan untuk memberikan zakat kepada mereka.

Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum apabila ada jiran atau handai taulan kita yang bukan Islam, dengan kenduri macam ini boleh dikategorikan sebagai dakwah atau setidaknya menonjolkan keindahan Islam dalam bermasyarakat. Wallahu a’lam