Wednesday, May 03, 2006

Hina di dunia seksa di akhirat


Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYEIKH Sya'rawi berkata: Allah s.w.t. selepas menceritakan pendirian Yahudi, Kristian dan musyrikin, serta perbuatan mereka memburukkan Islam Islam dengan pelbagai tuduhan, telah memberi peringatan tentang peperangan permusuhan terhadap Islam.

Kemudian al-Quran kembali mencela percubaan kaum Yahudi yang mahu menimbulkan keraguan kaum Muslimin terhadap kesahihan perintah-perintah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w. terutama mengenai perubahan kiblat dan menyifatkan percubaan itu sebagai perbuatan menghalang zikrullah di dalam masjid-masjid dan sebagai perbuatan meruntuhkan masjid-masjid itu sendiri.

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar. (Ayat 114 dan 115)

Dan Allah jugalah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui.

Firman Allah Taala, dan siapakah yang lebih zalim. Al-Syaukani dalam Fath al-Qadir berkata: Persoalan ini lebih kuat dalilnya tentang kezaliman ini daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah.

Al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata: Sebab ayat itu diturunkan adalah golongan Nasara telah melempar ke Baitulmaqdis perkara yang keji dan menyakiti serta menegah manusia bersembahyang di dalamnya atau kerana orang musyrikin menegah Rasulullah s.a.w. daripada masuk ke Masjidil Haram pada tahun Hudaibiyah, 6 hijrah. Dan dikatakan, di sini dengan masjid iaitu banyak masjid sedangkan tegahan atas satu masjid sahaja iaitu Baitulmaqdis atau Masjidil Haram kerana hukum datang dalam bentuk am sekalipun sebabnya khas.

Ayat yang bermaksud untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya. Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir bertanya: Kepada siapakah ayat ini diturunkan?

1. Diturunkan kepada orang Rom. Mereka menzahirkan Bukhtunnassar di atas kehancuran Baitulmaqdis kerana Bani Israel telah membunuh Yahya bin Zakariya, lantas dihancurkan dan dicampakkan mayat-mayat padanya. Inilah pendapat Ibn Abbas.

2. Bahawa ia diturunkan kepada orang musyrikin yang menghalang Rasulullah s.a.w. untuk memasuki Mekah pada hari Hudaibiyah. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Secara ingkar dan menjauhkan kerana tiada lagi yang lebih zalim perbuatan daripada demikian itu iaitu menghalang manusia beribadat kepada Allah di rumah-rumah Allah, sebaliknya menghancurkan dan merosakkannya. Sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Rom di Baitulmaqdis atau menghalangnya daripada dijalankan ibadat sebagaimana yang dilakukan oleh golongan kafir Mekah.

Apakah pula maksud ayat ‘dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?’ Orang-orang yang demikian tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Iaitu tidak sayugia bagi mereka untuk memasukinya kecuali dalam keadaan takut, rendah diri apatah lagi melakukan kerosakan atau meruntuhkannya. Maksudnya, mereka wajar ditentang, diusir dan diharamkan daripada keamanan kecuali mereka datang ke masjid-masjid Allah kerana mencari perlindungan dan keamanan di kawasan-kawasannya. (Sebagaimana yang telah berlaku pada tahun pembukaan negeri Mekah, di mana selepas itu juruhebah Rasulullah s.a.w. telah mengumumkan pada hari pembukaan itu: sesiapa yang masuk ke dalam Masjidil Haram, maka dia akan mendapat keamanan. Ketika itu barulah pembesar-pembesar Quraisy yang menindas itu berlindung di Masjidil Haram mencari keamanan setelah mereka menghalang Rasulullah s.a.w. dan pengikutnya daripada berkunjung ke Masjidil Haram! Hukuman ini ditambah pula dengan ancaman Allah yang akan menimpakan ke atas mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat mereka akan mendapat azab yang amat besar. Yakni mereka tidak sepatutnya memasuki masjid-masjid Allah itu melainkan dengan perasaan takut kepada Allah dan khusyuk kepada kebesaran-Nya. Inilah peradaban yang layak dengan rumah-rumah Allah dan sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran Allah. Ini adalah satu penafsiran yang boleh diterima di tempat ini.

Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia. Mereka yang bersifat seperti di atas akan menerima kehinaan dan celaan di dunia. Terdapat tiga pendapat di kalangan ulama dalam menafsirkannya:

1. Mereka hina dengan sebab bayar jizyah. Inilah pendapat Ibn Abbas.

2. Bahawa dibuka Kota Kostantinople. Inilah pendapat al-Suddi.

3. Dikeluarkan mereka dari Masjidil Haram di mana orang musyrik tidak layak memasukinya. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Bagi ayat ‘dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar’, ia bermaksud azab pembalasan api neraka. Yang mendorong kamu mentarjihkan bahawa dua ayat ini diturunkan dalam kejadian perubahan kiblat adalah firman Allah Taala: Dan Allah jugalah yang memiliki timur dan barat, iaitu bagi Allah tempat sebelah timur matahari dan sebelah baratnya. Dikehendaki di sini semua tempat di bumi. Empat pendapat sebab turunnya ayat ini:

1. Bahawa sahabat bersama Rasulullah s.a.w. terlibat dalam satu peperangan pada waktu malam yang kelam sehingga mereka tidak mengetahui arah kiblat. Justeru, jadilah setiap seorang di kalangan mereka sembahyang mengikut arah masing-masing. Apabila menjelangnya pagi, jelaslah ia bukan arah kiblat. Kemudian mereka menceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Lantas turunnya ayat ini. Inilah riwayat Amir bin Rabi`ah.

2. Bahawa ia diturunkan pada sembahyang sunat di atas kenderaan atau tunggangan. Inilah pendapat Ibn Umar.

3. Tatkala turunnya firman Allah dalam Surah Ghafir, ayat 60 yang bermaksud: Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu. Mereka bertanya: “Ke mana?” Lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Mujahid.

4. Tatkala matinya Najasyi, Nabi memerintahkan sahabat sembahyang secara ghaib ke atasnya. Sahabat berkata: “Sesungguhnya beliau (Najasyi) tidak sembahyang menghadap kiblat.” Kemudian turunnya ayat ini seperti mana pendapat Qatadah.

Maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah). Terdapat dua pendapat:

1. Dikehendaki dengannya ialah ilmu-Nya bersamamu di mana sahaja kamu berada. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

2. Di sana terdapat qiblat Allah. Inilah pendapat `Ikrimah dan Mujahid.

Lantaran itu, di situlah arah yang diredai Allah. Ke mana sahaja kamu hadap dengan arahan-Nya, maka di sana terdapat kiblat-Nya yang sudah tentu Dia reda untukmu. Al-Syaukani dalam Fath al-Qadir menaqalkan riwayat Ibn Munzir, Ibn Abi Hatim dan al-Hakim di mana beliau mensahihkannya. Begitu juga al-Baihaqi dalam sunannya daripada Ibn Abbas, katanya: “Yang terawal dinasakhkan daripada al-Quran, wallahu a'lam adalah berkaitan dengan qiblat.”

Sesungguhnya ayat ini diturunkan terhadap golongan yang hilang pedoman arah kiblat. Ayat ini menyarankan bahawa ia diturunkan sebagai jawapan terhadap pengeliruan kaum Yahudi yang mendakwa bahawa solat kaum Muslimin yang berkiblat kepada Baitulmaqdis itu adalah tidak sah, sia-sia dan tidak dikira di sisi Allah s.w.t.. Ayat ini menolak dakwaan itu dan menjelaskan bahawa setiap hala itu adalah qiblat belaka. Ke mana sahaja orang yang melakukan ibadat itu menghala, di sanalah wujudnya wajah Allah s.w.t.. Penentuan satu kiblat yang tertentu hanya merupakan perintah daripada Allah s.w.t. yang pasti ditaati, bukannya kerana wajah Allah s.w.t itu hanya wujud di suatu hala yang tertentu sahaja dan tidak wujud pada hala-hala yang lain. Allah s.w.t. tidak menyempit dan menyulitkan para hamba-Nya dan tidak pula mengurangkan pahala mereka kerana Allah s.w.t. mengetahui hati mereka, niat dan motif-motif tujuan mereka. Perkara kiblat itu ada keluasannya dan niat itu hanya kerana Allah s.w.t..

Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui. Luas bagi makhluk-Nya dengan kurniaan dan kenikmatan. Allah Maha Mengetahui dengan segala tadbir urusan mereka. Makna yang lebih dekat terlintas dalam hati kedua-dua ayat ini berhubung dengan masalah perubahan kiblat dan usaha kaum Yahudi untuk menghalang kaum Muslimin daripada berkiblat kepada Kaabah iaitu rumah ibadat pertama yang diadakan untuk manusia, di samping merupakan kiblat yang pertama. Di sana terdapat beberapa riwayat mengenai sebab-sebab turunnya ayat-ayat ini selain sebab yang telah diterangkan tadi.

Walau bagaimanapun, keumuman makna ayat ini menyarankan bahawa ayat ini merupakan satu hukum yang am yang melarang perbuatan menghalang masjid Allah daripada disebut nama Allah dan perbuatan meruntuhkan masjid Allah. Ayat ini juga menentukan hukuman di atas perbuatan itu dan menjelaskannya sebagai satu-satunya hukuman yang wajar dikenakan ke atas orang-orang yang melakukannya. Ia dijelaskan di dalam firman-Nya.

*DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah di Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port

Dickson, Negeri Sembilan.