Saturday, May 06, 2006

Derma organ dapat pahala berterusan


Oleh Jami’ah Shukri

MENGIKUT ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qardhawi, orang yang mendermakan organ akan diberi ganjaran oleh Allah kerana dianggap sebagai ibadah serta dikategorikan sebagai sedekah jariah.

Penderma organ, khususnya mereka yang sudah meninggal dunia akan mendapat pahala berterusan sekiranya mendermakan organ kepada seseorang yang memerlukan atas sebab organnya tidak berfungsi.

Menderma organ tidak dianggap mengkhianati Allah kerana ia bukan dilakukan dengan sengaja, sebaliknya untuk memberi peluang dan membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

Malah, termaktub dalam Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa mendermakan organ sama ada membabitkan orang yang mati atau masih hidup kepada pesakit yang memerlukannya, hukumnya harus.

Sejarah awal mengharuskan pendermaan organ dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis pada 6 November 1965 iaitu, menerusi pendermaan kornea.

Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan Yayasan Ilmuwan, Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, berkata dalam konteks masyarakat Islam, pendermaan organ itu perlu mengambil kira beberapa perkara dan keadaan serta tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 23 Jun 1970 menetapkan garis panduan tertentu yang mengharuskan pendermaan organ itu dilakukan iaitu:

# Pemindahan organ itu boleh dilakukan selepas tiada pilihan lain atau jalan akhir untuk menyelamatkan seseorang yang organnya tidak berfungsi.

# Penderma atau pengikrar organ sudah disahkan meninggal dunia.

# Kebenaran diperoleh daripada ahli keluarga si mati.

# Tidak ada unsur perdagangan atau jual beli bagi organ itu.

Selain itu, doktor atau pakar perubatan mempunyai prosedur dan amalannya tersendiri yang perlu diikuti sebelum dan ketika melakukan pemindahan organ daripada orang yang mati kepada orang hidup.

Dalam konteks di Malaysia, walaupun sudah ada fatwa ditentukan terhadap pendermaan organ itu, namun kesedaran orang ramai, khususnya umat Islam mengenai perkara itu masih terlalu rendah.

Katanya, dari satu aspek, pendermaan organ itu kerap kali berlaku apabila ada seseorang di dalam keluarga mereka memerlukan organ bagi menyelamatkan nyawanya.

Keadaan juga menjadi sukar apabila ada penderma yang bersedia mendermakan organnya kepada pihak lain selepas mereka mati, tetapi kemudiannya tidak dipersetujui oleh keluarganya.

Ditanya sama ada menderma organ sama dengan perbuatan menyeksa mayat, Shaikh Mohd Saifuddeen berkata, Rasulullah SAW pernah melarang seorang lelaki daripada mematah-matahkan tulang si mati kerana perbuatan itu menyeksa mayat.

Begitu pun, katanya, pendermaan organ dilakukan bukan kerana niat yang jahat atau tidak berfaedah. Sebaliknya pendermaan organ dilakukan sebagai pilihan terakhir untuk menyelamatkan nyawa seseorang.

“Menyelamatkan nyawa manusia terangkum di bawah maqasid al-syariah atau tujuan syariah. Sehubungan itu, prinsip “keperluan mengatasi larangan” digunakan oleh ulama untuk mengharuskan pendermaan organ kerana perbuatan ini boleh menyelamatkan nyawa.

“Menyelamatkan nyawa ialah satu daripada maqasid al-syariah. Niat di sebalik perbuatan pendermaan organ adalah murni yakni untuk menyelamatkan nyawa.

“Perbuatan ini dilakukan kerana terpaksa disebabkan tiada alternatif lain,“ katanya.

Dalam ayat 173, surah al-Baqarah, Allah berfirman bermaksud : “...Maka sesiapa terpaksa (kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah ia berdosa.”

Shaikh Mohd Saifuddeen yang terbabit dalam program kesedaran mengenai pemindahan organ sejak 1998 berkata, masih ada sikap ragu-ragu dan rasa takut menyelubungi penerima organ daripada orang yang mati di negara ini.

Katanya, hal itu berbeza dengan negara Islam lain yang lebih terbuka dan bersedia untuk menyumbangkan organ kepada pesakit yang memerlukan.

Arab Saudi adalah negara paling tinggi penyumbang organ iaitu sejak 1979 hingga 2002, seramai 2,492 penderma organ buah pinggang daripada orang yang masih hidup; derma buah pinggang dari orang yang sudah mati (1,267); penderma jantung (92), hati daripada orang yang masih hidup (52); penderma hati orang yang sudah mati (225), paru-paru (lapan) dan kombinasi buah pinggang dan pankerias (lima).

Malaysia mempunyai banyak kepakaran dalam bidang pemindahan organ, tetapi tidak dapat dilakukan dengan sebaiknya berikutan kesedaran orang ramai yang masih rendah mengenainya.

Oleh itu, Shaikh Mohd Saifuddeen berpendapat, pakar agama dan ulama di negara ini perlu turun padang bagi menerangkan isu itu.

“Saya difahamkan, Johor adalah negeri yang paling ramai mendermakan organ dan orang Islam mendahului senarai terbanyak menderma.

“Ia disebabkan Muftinya, Datuk Mohd Noh Gadut, sendiri yang turun padang memberi penjelasan dan penerangan mengenai isu itu.

“Di sini menunjukkan orang ramai akan lebih yakin mendermakan organnya sekiranya ulama yang memberikan penjelasan,” katanya.

Menjelaskan mengenai derma organ, beliau berkata, di luar negara, khususnya negara miskin menjadikan pendermaan organ sebagai sumber pendapatan seperti menjual buah pinggang kepada golongan memerlukan.

“Malah, ada kes kanak-kanak diculik dan kemudian dibunuh hanya untuk mengambil organnya untuk dijual.

“Oleh itu dalam konteks Malaysia, tidak mengamalkan konsep jual beli organ. Bagaimanapun, kita bebas untuk mendermakan organ kepada sesiapa saja yang memerlukan selagi ada persetujuan penderma (pengikrar organ) sama ada melalui wasiat atau pemberitahuan kepada ahli keluarga.

“Bagi kes penderma organ yang sudah mati, kita juga tidak akan melakukan pemindahan organ tertentu pada badan si mati, sekiranya ahli keluarganya tidak bersetuju.

“Oleh itu, kedua-dua pihak iaitu pengikrar organ dan ahli keluarga bersetuju berbuat demikian.” katanya.

INTI PATI
# Penderma organ, khususnya mereka yang sudah meninggal dunia mendapat pahala berterusan sekiranya mendermakan organ kepada seseorang yang memerlukan atas sebab organnya tidak berfungsi
# Menderma organ tidak dianggap mengkhianati Allah kerana bukan dilakukan dengan sengaja, sebaliknya untuk membantu menyelamatkan nyawa orang lain
# Pendermaan organ perlu mengambil kira beberapa perkara dan keadaan serta tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya
# Arab Saudi adalah negara paling tinggi penyumbang organ iaitu sejak 1979 hingga 2002