Monday, May 01, 2006

AQIDAH IMAM EMPAT ADALAH SATU

Ustaz Dr. Abdullah Yasin

PEMBAHASAN PERTAMA

Aqidah Imam Empat iaitu Imam Abu Hanifah , Imam Malik , Imam Syafi’i dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal adalah satu iaitu aqidah sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w dan sebagaimana aqidah para sahabat dan golongan yang mengikuti jejak langkah mereka dengan baik.

Al Hamdulillah, di antara mereka tidak terdapat percanggahan dalam Ushuluddin atau Asas-asas agama, malahan kesemua mereka bersepakat tentang iman terhadap sifat-sifat Allah, Al-Quran adalah Kalam dan bukan makhluk, Iman mestilah bersesuaian antara ucapan lisan dan keyakinan hati, bahkan mereka bersepakat mengingkari Golongan Ahli Kalam seperti seperti Jahmiyah dan seumpamanya yang sudah terpengaruh dengan falsafah Yunani dan Mazhab-Mazhab Kalamiyah.

Imam Ibnu Taimiyah berkata :

(….namun berkat rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya bahawa Imam-Imam yang menjadi ikutan umat seperti Imam-Imam yang empat dan lain-lain, semua mereka mengingkari Ahli Kalam seperti Jahmiyah; tentang keyakinan mereka terhadap Al-Quran, Iman dan Sifat-sifat Allah. Kesemua mereka mempunyai satu pendirian dan keyakinan sebagaimana pendirian dan keyakinan Salafus Soleh bahawa Allah S.W.T.dapat dilihat di akhirat, dan Al-Quran itu Kalamullah bukan makhluk, Iman pula mestilah gabungan daripada ucapan lisan dan keyakinan hati………).(1)

Imam Ibnu Taimiyah ditanya tentang I’tiqad Imam Syafi’I, jawabnya:

“ I’tikad Syafi’i r.a dan I’tikad Salaf Al Ummah seperti Malik, Al Thaury, Al Auza’i, Ibnu Al Mubarak, Ahmad Ibnu Hanbal, Ishak Bin Ruhawaih adalah sebagaimana I’tikad Masyaikh Al Muqtadaa (Syeikh-syeikh yang menjadi teladan umat) seperti Al Fudhail Bin ‘Iyadh, Abu Sulaiman Al Daraany, Sahl Bin Abdullah Al Tustury dan lain-lain. Tidak terdapat perbezaan pandangan di antara mereka dalam hal yang bersangkutan dengan Ushuludin. Demikian juga Imam Abu Hanifah Rahimahullah kerana i’tikad yang thabit daripada beliau tentang Tauhid dan Qadar dan yang seumpamanya adalah bersesuaian dengan I’tikad mereka. Manakala I’tikad mereka adalah sebagaimana I’tikad Para Sahabat dan Tabi’iin iaitu apa yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.” (2)

Pandangan ini telah dipilih oleh Al’Allaamah Shadiq Hasan Khaan, katanya:

“Maka mazhab kami adalah sebagaimana mazhab Salaf iaitu Ithbat tanpa Tasybih, Tanzih tanpa ta’thil. Inilah mazhab Imam-Imam Utama Umat Islam seperti Malik Syafi’I, Al Thaury, Ibnu Al Mubarak dan Imam Ahmad …….dan lain-lain lagi. Tidak terdapat di antara mereka sedikitpun percanggahan dalam hal Ushuluddin. Demikian juga dengan Imam Abu Hanifah r.a. kerana I’tikad yang thabit daripada beliau ialah sebagaimana I’tikad Imam-Imam yang lain iaitu sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w (3)

Berikut ini akan kami dedahkan nukilan kata-kata Imam-Imam Yang Empat yang menjadi ikutan ramai umat Islam iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Al syafi’I dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal tentang apa yang mereka I’tikadkan dalam masalah-masalah Ushuluddin serta penjelasan tentang sikap mereka masing-masing terhadap Ilmu Kalam.

PEMBAHASAN KEDUA

AQIDAH IMAM ABU HANIFAH

TENTANG TAUHID

Imam Abu Hanifah berkata: Tidak wajar seseorang berdoa kepada Allah kecuali dengan-Nya dan doa yang diizinkan serta disuruh Allah adalah sebagaimana yang tertera dalam firman Allah, mafhumnya, (4)

Hanya milik Allah Asma-ul husna maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran dalam menyebut nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan (Al A’raf: 180)

Abu Hanifah berkata: Adalah dibenci jika seseorang berdoa dengan mengatakan: Aku memohon kepada-Mu dengan hak si pulan atau hak Nabi-Nabi-Mu dan hak Rasul-Rasul-Mu atau hak Al Bait Al Haram dan Al Masy’ar Al Haram (5)

Abu Hanifah berkata: Allah tidak boleh disifati dengan sifat-sifat makhluk; MurkaNya dan RedhaNya adalah dua sifat di antara sifat-sifatNya tanpa takyiif. Inilah keyakinan Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Dia Murka dan Dia Redha; Dan tidak boleh dikatakan MurkaNya itu adalah seksa-Nya, dan Redha-Nya itu Ganjaran-Nya. Kita mestilah mensifati-Nya sebagaimana Dia sendiri yang mensifati diri-Nya; Al Ahad, Al-Shamad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa lam yakun Lahuu Kufuan Ahad. Dia Maha Hidup, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Tangan Allah di atas tangan mereka, Tangan-Nya tidak sebagaimana tangan-tangan makhluk-Nya, dan Wajah-Nya tidak sebagaimana wajah-wajah makhluk-Nya (6).

Abu Hanifah berkata: Allah mempunyai tangan dan wajah sebagaimana Allah menyebutnya di dalam Al Quran. Maka apa yang disebutkan oleh Allah di dalam Al Quran seperti menyebut tangan dan wajah, itu adalah sifat bagi-Nya tanpa takyiif (mempertikaikan tentang bagaimana). Kita tidak boleh mengatakan tangan-Nya adalah kuasa-Nya atau ni’mat-Nya kerana yang demikian itu bererti kita telah membatalkan sifat Allah (Ibthaalus Sifat), dan pandangan seperti inilah sebenarnya pandangan Qadariyah dan Mu’tazilah (7).

Abu Hanifah berkata: Tidak wajar bagi seseorang memperkatakan sesuatu tentang Dzat Allah, bahkan dia sepatutnya mensifati Allah dengan apa yang telah Allah sifatkan kepada diri-Nya. Kita tidak sepatutnya memperkatakan sesuatu tentangnya berdasarkan akal semata, Maha Suci Allah Tuhan sekalian alam.(8)

Abu Hanifah berkata: Sesiapa yang berkata, “Saya tidak tahu, adakah Allah itu di langit atau di bumi” maka dia kafir, demikian juga orang yang berkata: Sesungguhnya Dia di atas Arasy tetapi saya tidak tahu adakah `Arasy itu di langit atau di bumi.(9)

Abu Hanifah berkata: Al-Quran adalah Kalamullah, di dalam mashhaf dia ditulis dan di dalam hati dia dihafaz dan pada lidah dia dibaca, dan ke atas Nabi s.a.w. diturunkan (10).

TENTANG QADAR

Dia berkata: Adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu sejak azali sebelum sesuatu itu wujud lagi (11).

Dia berkata: Allah Maha Mengetahui tentang sesuatu yang tiada (ma’dum) dalam hal ketiadaannya, dan Dia Maha mengetahui bagaimana keadaannya jika Dia mewujudkannya, dan Allah Maha Mengetahui bagaimana kelak yang wujud itu akan musnah (12)

Dia berkata: Kami menyakini bahawa Allah menyuruh Qalam supaya menulis, lalu Qalam berkata: Apakah yang akan aku tulis, wahai Tuhan? Maka Allah berfirman kepadanya: Tulislah olehmu apa yang akan terjadi hingga ke Hari Kiamat. Ini berdasarkan firman Allah :(13)

Dan segala sesuatu yang telah mereka perbuat tercatat dalam buku-buku catatan. Dan segala (urusan) yang kecil mahu pun yang besar adalah tertulis (Al Qamar: 52-53).

Dia berkata: Kami menyakini bahawa hamba (manusia) bersama amalannya dan ikrarnya dan ma’rifatnya adalah makhluk. Sebab jika orang yang melakukan perbuatan (Faa’il) itu adalah makhluk maka adalah lebih utama perbuatan-perbuatannya (Afaal) itu adalah makhluk (14)

Dia berkata: Segala perbuatan hamba, sama ada pergerakannya ataupun diamnya adalah usaha atau ikhtiar mereka. Dan Allah Yang Menciptanya. Semuanya adalah dengan kehendak-Nya, Ilmu-Nya, Qadha-Nya dan Qadar-Nya.(15)

Dia berkata: Semua perbuatan hamba, sama ada pergerakan; ataupun diamnya adalah usahanya secara hakiki (sebenarnya) dan Allah menciptakannya. Semuanya adalah dengan kehendak-Nya dan ilmu-Nya dan Qadha-Nya dan Qadar-Nya. Semua ketaatan adalah wajib dengan perintah Allah dan dengan Kesukaan-Nya dan Redha-Nya, Ilmu-Nya, Kehendak-Nya, Qadha-Nya dan Qadar-Nya. Sedangkan maksiat pula semuanya adalah dengan ilmu Allah, Qadha-Nya, Taqdir-Nya dan Kehendak-Nya, bukan dengan Kesukaan-Nya, bukan dengan Keredhaan-Nya dan bukan pula dengan Perintah-Nya. (16)

C TENTANG IMAN

Iman adalah ikrar dan tashdiq. (17)

Iman adalah ikrar dengan lisan dan tashdiq dengan hati. Ikrar dengan lisan sahaja belum lagi dikatakan iman.(18)

Iman tidak bertambah dan tidak berkurang.(19)

Pandangan Abu Hanifah bahawa Iman tidak bertambah dan tidak berkurang, dan juga pandangan beliau tentang Iman adalah kirar dengan lisan dan tashdiq dengan hati sedangkan amal pula terkeluar daripada hakikat iman. Pandangan inilah yang menjadi pembeza utama antara I’tikad Imam Abu Hanifah dengan I’tikad semua Imam-Imam Islam lainnya seperti Imam Malik, Imam Syafi’I, Imam Ahmad, Ishak, Al- Bukhari dan lain-lain lagi. Dalam hal ini yang benar ialah pandangan imam-imam tersebut sedangkan pandangan Abu Hanifah tidak menepati kebenaran. Namun demikian beliau akan diberi ganjaran dalam kedua-dua keadaan (Ijtihad). Dan Imam Abdul Barr dan Imam Ibnu Abi Al ‘Izz menyebut bahawa dapat dirasakan bahawa Imam Abu Hanifah telah kembali atau menarik balik dari perkataannya itu, Wallahu A’lam.(20)

TENTANG SAHABAT

Kami tidak mengatakan tentang seorang sahabat pun daripada sahabat-sahabat Rasul s.a.w. kecuali yang baik-baik sahaja.(21)

Kami tidak berlepas diri daripada seorang pun daripada sahabat-sahabat Rasul s.a.w. sebagaimana kami tidak menjadikan salah seorang mereka sahaja sebagai pemimpin kami tanpa yang lain(22)

Kedudukan salah seorang mereka bersama Rasulullah s.a.w. satu saat adalah lebih baik daripada amal soleh seorang di antara kita sepanjang umurnya walaupun lanjut usianya.(23)

Kami berikrar bahawa manusia yang paling mulia daripada umat ini sesudah Nabi Muhammad s.a.w. ialah Abu Bakar Al-Siddiq kemudian Umar Ibnu Al Khattab kemudian Othman Ibnu ‘Affan kemudian Ali bin Abi Thalib Ridhwaanullahi’Alaihim Ajma’iin.(24)

TENTANG ILMU KALAM

Abu Hanifah berkata: Mudah-mudahan Allah menurunkan laknat-Nya ke atas Amr Bin ‘Ubiad kerana dialah orang pertama yang membuka jalan kepada manusia ramai tentang Ilmu Kalam yang sama sekali tidak mendatangkan manfaat kepada mereka. (25)

Berkata Abu Hanifah kepada Abu Yusuf: Janganlah kamu katakan kepada orang ramai tentang Ushuluddin secara pendekatan Ilmu Kalam, kerana kelak mereka akan bertaklid kepada kamu dan akhirnya mereka hanya akan menyibukkan diri mereka dengan perkara itu sahaja.(26)

PEMBAHASAN KETIGA

AQIDAH IMAM MALIK BIN ANAS

A TENTANG TAUHID

Imam Syafi’i berkata: Imam Malik ditanya tentang Kalam dan Tauhid, lalu Imam Malik menjawab: Adalah mustahil jika kita menyangka Nabi Muhammad s.a.w. mengajar umatnya istinjak tetapi tidak mengajar mereka Tauhid. Dan Tauhid adalah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.

Aku disuruh memerangi manusia sehingga mereka berkata Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah

(HR Imam Bukhari)

Hakikat Tauhid adalah segala yang dengannya terpelihara harta dan darah.(27)

Daripada Ja’far Bin Abdullah katanya: Kami pernah duduk berdekatan dengan Imam Malik lalu seorang lelaki bertanya kepada beliau: Wahai Abu Abdillah, Allah Yang Maha Pengasih bersemayam di atas `Arasy, bagaimana Dia bersemayam? Imam Malik menjawab: Tentang bagaimana Dia bersemayam tidak boleh diakali (ghair ma’qul), dan bersemayam-Nya bukan suatu yang dijahili (ghair majhul), beriman kepadanya (bersemayam) adalah wajib, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah (28)

Daripada Yahya Bin Al Rabi’ katanya: Aku pernah duduk bersama Imam Malik lalu beliau ditanya oleh seorang lelaki: Wahai Aba Abdillah, apakah pandangan tuan tentang orang yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluk? Imam Malik menjawab: Dia adalah Zindiq dan bunuhlah dia (29).

Daripada Abdullah Bin Nafi’ katanya: Telah berkata Imam Malik: Allah adalah di langit dan Ilmu-Nya pada semua tempat.(30)

TENTANG IMAM

Daripada Abdul Razzak Bin Hammam katanya: Aku mendengar Ibnu Juraij dan Sofyan Al Thauri dan Ma’ mar Bin Rasyid dan Sofyan Bin `Uyainah dan Malik Bin Anas; mereka berkata: Iman adalah ucapan dan amalan, boleh bertambah dan boleh berkurang.(31)

Daripada Abdullah bin Nafi’ katanya: Imam Malik berkata: Iman adalah ucapan dan perbuatan.(32)





Daripada Asyhab Bin Abdul Aziz katanya: Imam Malik berkata: Manusia melakukan solat selama 16 bulan menghadap ke arah Bailtil Maqdis, kemudian mereka diperintahkan supaya menghadap ke arah Masjid Al Haram, lalu Allah SWT berfirman,mafhumnya:

Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu.

(Al Baqarah: 143)

Maksudnya: Allah tidak akan menyia-nyiakan solatmu kearah Baitil Maqdis. Imam Malik berkata: Sesungguhnya ayat ini mengingatkan aku kepada perkataan golongan Murjiah: Sesungguhnya solat bukanlah sebahagian daripada iman (33)

TENTANG SAHABAT

Daripada Abdullah Al’Anbary katanya: Imam Malik Bin Anas telah berkata: Siapa yang memperlecehkan atau memperkecil-kecilkan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. atau di dalam hatinya terdapat perasaan dengki kepada sahabat, maka ia tidak berhak mendapat bahagian di dalam harta rampasan perang kaum muslimin. Kemudian beliau membaca ayat, mafhumnya:

Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa: Ya Tuhan kami beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman (AL Hasyr: 10) (34) .

Daripada Abdullah bin Nafi’ katanya: Ketika kami sedang duduk-duduk memperkatakan tentang seorang lelaki yang memperkecil-kecilkan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. lalu Imam Malik membaca ayat ini, mafhumnya:

Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; sehingga tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin) (Al Fath: 29)

Kemudian Imam Malik berkata: Sesiapa yang terdapat di dalam hatinya perasaan jengkel (sakit hati) terhadap salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. maka ia termasuk ke dalam ancaman ayat ini.(35)

Daripada Asyhab Bin Abdul Aziz katanya: Seorang `Alawy (fanatik kepada Saidina Ali) bertanya kepada Imam Malik: Siapakah manusia yang paling mulia sesudah Rasulullah s.a.w. ? Imam Malik menjawab: Abu Bakar. `Alawy bertanya lagi: Kemudian siapa? Malik menjawab: Umar Ibnu Al Khattab. `Alawy bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Malik menjawab: Khalifah yang dibunuh secara zalim iaitu Uthman. Lalu `Alawy berkata: Demi Allah, aku tidak akan berguru kepadamu lagi untuk selama-lamanya Imam Malik menjawab: Terserahlah kepada kamu.(36)

TENTANG ILMU KALAM

Daripada Mash’ab Bin Abdullah Al Zubairy katanya: Imam Malik Bin Anas berkata: Aku benci terhadap kalam dalam urusan agama, dan penduduk negeri kami tetap membencinya dan mereka melarang daripadanya, seperti kalam tentang pandangan Jahm dan Qadariah dan yang seumpama itu. Beliau tidak menyukai kalam kecuali dalam perkara yang dapat diamalkan. Adapun kalam dalam agama Allah dan pada Dzat Allah Azza Wa Jalla maka berdiam diri (sukut) adalah lebih aku sukai kerana aku melihat penduduk negeri kami semuanya melarang kalam dalam urusan agama kecuali yang berkaitan dengan amal perbuatan.(37)

Daripada Abdullah bin Nafi’ katanya: Aku pernah mendengar Imam Malik berkata: Jika seseorang yang telah melakukan semua dosa-dosa besar selain syirik, kemudian dia berlepas diri daripada mengikuti hawa nafsu dan perbuatan bid’ah (lalu Imam Malik menyebut di antaranya Kalam) maka ia akan masuk syurga.(38)

Daripada Ishak Bin Isa katanya: Aku mendengar Imam Malik Bin Anas mencela perbuatan-perbuatan berbantah-bantahan (jidal) dalam urusan agama, beliau berkata: Setiap kali datang kepada kami orang yang gemar berbantahan seolah-olah ia menginginkan agar kami menolak apa yang dibawa oleh Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w.(39)

Daripada Abdul Rahman Bin Mahdy katanya: Seorang lelaki bertanya kepada Imam Malik , lalu Imam Malik berkata: Barangkali engkau salah seorang sahabat daripada ‘ Amr Bin ‘ Ubaid, mudah-mudahan Allah menurunkan laknat-Nya ke atas ‘ Amr Bin ‘ Ubaid kerana dialah orang yang memulai bid’ah kalam ini , kalaulah kalam itu suatu ilmu nescaya perkara ini menjadi percakapan di kalangan para Sahabat dan Tabi’in sebagaimana percakapan dan perbincangan mereka tentang hukum hakam dan syariat .(40)

Daripada Asyhab Bin Abdul Aziz katanya : Aku mendengar Imam Malik berkata : Jauhilah bid’ah. Beliau ditanya : Wahai Aba Abdillah , apakah bid’ah itu ? Jawabnya: Ahli Bid’ah ialah orang orang yang memperkatakan ( yatakallamuun ) tentang Nama nama dan Sifat sifat Allah , tentang Kalam-Nya, Ilmu-Nya, Kudrat-Nya. Mereka tidak diam (yaskutuun ) sebagaimana diamnya para sahabat dan pengikut pengikut mereka dengan ihsan (41)

Daripada Imam Syafii’ katanya : Jika datang kepada Imam Malik sebagian daripada Ahli Ahwaa’ ( Orang orang yang gemar mengikuti hawa nafsu seperti ahli kalam), lalu beliau akan berkata kepada mereka : Adapun aku telah berada di dalam keyakinan yang jelas ( bayyinah ) yang datang daripada Tuhanku, sedangkan kamu berada di dalam keraguan ( syak ) , oleh sebab itu pergilah kamu kepada keraguanmu dan musuhilah dia (42)

Bersambung: Imam Shafi’I & Imam Ahmad bib Hanbal



PEMBAHASAN KEEMPAT

AQIDAH – IMAM SYAFI’I



A. TENTANG TAUHID

Daripada Al Rabi’ Bin Sulaiman katanya: Telah berkata Al-Syafi’i: Siapa yang bersumpah dengan Allah atau dengan salah satu Nama daripada Nama-Nama-Nya, lalu ia langgar sumpah itu maka wajib ke atasnya kaffarat sumpah, sedangkan siapa yang bersumpah dengan sesuatu selain Allah seperti kata seseorang: Demi Ka’bah, demi nenek moyang dan sebagainya, lalu ia melanggar sumpah tersebut maka ia tidak wajib membayar kaffarat sumpah. Namun demikian sumpah dengan selain Allah adalah dibenci dan dilarang berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.(43), maksudnya,

Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla melarang kamu bersumpah dengan nenek moyangmu, barangsiapa yang ingin bersumpah maka hendaklah dengan (Nama) Allah atau hendaklah dia diam sahaja (HR Imam Bukhari)

Imam Syafi’I berpendapat demikian dengan alasan kerana Nama-Nama Allah adalah bukan makhluk. Oleh itu sesiapa yang bersumpah dengan Nama Allah, lalu ia melanggarnya maka wajib ke atasnya membayar kaffarat.(44)

Imam Ibnu Al Qayyim menyebut dalam kitab Ijtima’il Juyuusy Al Islamiah bahawa Imam Al Syaffi’I berkata: Mengikut Sunnah yang aku berada di atas jalannya dan begitu juga aku melihat sahabat-sahabatku daripada kalangan Ahli Hadis yang aku mengambilnya daripada mereka seperti Sofyan dan Imam Malik dan lain-lain lagi, ialah: Ikrar (pengakuan) bahawa sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah, dan sesungguhnya Allah adalah di atas `Arasy-Nya dilangit-Nya, Dia mendekati makhluk-Nya sebagaimana Dia kehendaki, dan Allah turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki. (45)

Imam Syafi’i berkata di dalam kitabnya “Al Risaalah” : Al Hamdulillah (segala puji bagi Allah) yang Dia adalah sebagaimana yang Dia telah sifati diri-Nya sendiri dan dia mengatasi apa yang disifati oleh makhluk-Nya”.(46)

Imam Al Zahaby menyebut dalam kitab Al Sair daripada Imam Al Syafi’i bahawa beliau pernah berkata: Kami mengithbatkan (menetapkan) semua sifat Allah yang tercantum di dalam Al Quran dan semua sifat Allah yang warid (datang) dari Sunnah, dan kami menafikan (menidakkan) tasybih (penyerupaan) daripada-Nya sebagaimana Dia menafikan daripada diri-Nya kerana firman-Nya, mafhumnya, (47)

Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia

(Al Syuura: 11)



Daripada Al Rabi’ Bin Sulaiman katanya: Aku mendengar Imam Syafi’i berkata tentang firman Allah:

Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang daripada (melihat) Tuhan mereka.

(Al Muthaffifin: 15)

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa di sana ada golongan yang tidak terhalang daripada melihat Allah. (48)

Manakala ada golongan yang terhalang daripada melihat-Nya kerana kemurkaan-Nya kepada mereka, demikian jugalah akan ada golongan yang dapat melihat-Nya kerana keredhaan-Nya. Ketika Imam Syafi’i ditanya oleh Al-Rabi’: Wahai Aba Abdillah, adakah tuan berpendapat demikian? Jawap Syafi’i: Ya, demikianlah keyakinanku.(49)

Daripada Ibnu Abi Al Jaarud katanya: Ketika disebut nama Ibrahim Bin Ismail Bin ‘Ulaih (menurut Imam Al Zahaby: Ibrahim ini adalah seorang yang berfahaman Jahmy yang mendakwa bahawa al-Quran itu makhluk) kepada Imam Syafi’i, lalu beliau berkata: Aku bercanggah dengannya dalam semua hal; dan tentang Laa Ilaaha Illallaah, aku tidak mengatakan sebagaimana dia katakan. Aku berkata: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang telah berkata-kata kepada Musa ‘Alaihissalam dengan kata-kata yang sebenarnya daripada belakang hijab (tabir). Sedangkan dia berkata: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang telah mencipta kata-kata, lalu Dia memperdengarkannya kepada Musa dari belakang hijab.(50)

Daripada Al-Rabi’ Bin Sulaiman katanya: Imam Syafi’i berkata: Siapa yang mengatakan Al Quran itu makhluk maka kafirlah dia. (51)

Di antara i’tikad yang dinisbahkan (dibangsakan) kepada Imam Syafi’i ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Thalib Al’Asyaary, katanya: Imam Syafi’i pernah ditanya tentang sifat-sifat Allah Azza Wa Jalla dan apakah yang sewajarnya kita mengimaninya, lalu Imam Syafi’i pun berkata:

Allah Tabaraka Wa Ta’aala memiliki Nama-Nama dan Sifat-Sifat sebagaimana yang tercantum di dalam Kitab-Nya dan sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Rasul-Nya kepada umatnya. Tidak seorangpun boleh membantah hakikat ini. Sesiapa yang menyalahi yang demikian itu setelah thabit hujjah ke atasnya (setelah ia mengetahuinya) maka dia kafir kepada Allah Azza Wa Jalla.

Adapun bagi orang yang belum thabit hujjah ke atasnya kerana belum sampai perkhabaran itu kepadanya maka dia dimaafkan (ma’dzuur) kerana kejahilannya kerana ilmu tentang itu tidak dapat dicapai oleh akal dan tidak pula melalui ilmu pengetahuan dan fikiran. Dan di antara perkhabaran itu ialah bahawa Allah Maha Mendengar (Samii’) dan Dia memiliki dua tangan, kerana Allah berfirman: (Tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka) – (Al Maidah: 64), dan Allah mempunyai tangan kanan, kerana firman-Nya: (dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya) – (Az Zumar: 67), dan Allah memiliki wajah, kerana firman-Nya: (Tiap-tiap sesuatu pasti binasa kecuali wajah-Nya)- (AlQashash: 88) dan firman-Nya: (Dan tetap kekal Wajah Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan) – (Al-Rahman: 27), dan Allah memiliki kaki, kerana sabda Nabi s.a.w. (Sehingga Tuhan Azza Wa Jalla meletakkan kaki-Nya di dalamnya) – (HR Imam Bukhari) dan Allah SWT ketawa kerana Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan tentang ganjaran orang yang mati syahid (Dia akan menemui Allah Azza Wa Jalla, sedangkan Allah ketawa kepadanya) –(HR Imam Bukhari), dan Allah turun ke langit dunia pada tiap-tiap malam, kerana adanya perkhabaran daripada Rasul s.a.w. , dan Allah SWT tidak picak (bermata sebelah) kerana Rasul s.a.w. ketika menceritakan tentang dajjal beliau bersabda: (Sesungguhnya dia (dajjal) itu picak, dan sesungguhnya Tuhanmu tidaklah picak) – (HR Bukhari), dan orang-orang yang beriman akan melihat Tuhan mereka pada Hari Kiamat dengan mata-mata mereka sebagaimana mereka melihat bulan purnama, dan Allah S.W.T. mempunyai jari kerana Rasul s.a.w. bersabda: (Tidak ada satu pun had manusia kecuali dia di antara dua jari dari jari-jemari Allah Azza Wa Jalla Yang Maha Pengasih) (52)



B. TENTANG QADAR

Imam Al Baihaqy berkata didalam Manaqib Al-Syafi’i bahawa Imam Syafi’i berkata: Sesungguhnya kehendak hamba (masyi-atul ‘ibaad) adalah (kembali) kepada Allah, dan mereka tidak berkehendak kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah Tuhan sekalian alam, sesungguhnya manusia tidak mencipta amalan-amalan mereka, malahan amal perbuatan manusia adalah termasuk di antara makhluk Allah, dan sesungguhnya Qadar yang baiknya dan yang buruknya adalah daripada Allah Azza Wa Jalla, dan sesungguhnya seksaan kubur adalah benar (haq), pertanyaan di dalam alam kubur adalah benar, dan kebangkitan (ba’th) adalah benar, dan hisab adalah benar, dan syurga dan neraka adalah benar, dan lain-lain lagi segala yang datang daripada sunnah-sunnah Nabi s.a.w. (53)

Imam Al Baihaqy berkata tentang Imam Syafi’i bahawa beliau pernah berkata: Qadariyah ialah orang-orang yang disebut oleh Rasulullah s.a.w.: Mereka adalah Majusi umat ini – (HR Abu Daud dan Al Hakim) – mereka mengatakan: Sesungguhnya Allah tidak mengetahui maksiat melainkan setelah wujudnya maksiat itu. (54)

Al Baihaqy meriwayatkan daripada Al Rabi’ Bin Sulaiman daripada Imam Syafi’i bahawa beliau membenci solat di belakang Qadari.



C. TENTANG IMAN

Al Rabi’ berkata : Aku mendengar Imam Syafi’i berkata: Iman adalah ucapan dan amal serta i’tikad dengan hati; tidakkah kamu melihat firman Allah Azza Wa Jalla: (dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu) – (Al Baqarah: 143). Yang dimaksudkan dengan iman di sini ialah solatnya menghadap kearah Baitul Maqdis. Dan solat dinamakan iman ialah kerana solat terdiri daripada: Ucapan, Amalan dan I’tikad. (56)

Al Baihaqy meriwayatkan daripada Al Rabi’ Bin Sulaiman katanya: Aku mendengar Imam Syafi’i berkata: Imam adalah ucapan dan perbuatan, bertambah dan berkurang (57)

Al Baihaqy meriwayatkan daripada Abi Muhammad Al Zubairy, katanya: Seorang lelaki bertanya kepada Imam Syafi’i : Amalan apakah yang paling afdhal di sisi Allah? Imam Syafi’i menjawab: Ia adalah suatu yang amalan tidak diterima oleh Allah kecuali dengannya. Lelaki itu lagi: Apakah dia? Syafi’i menjawab: Iaitu Iman kepada Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, dialah amalan yang paling tinggi darjatnya dan dialah amalan yang paling besar ganjarannya. Lelaki itu bertanya lagi: Tidakkah engkau khabarkan kepadaku tentang iman? Adakah dia itu ucapan dan amalan ataukah dia itu ucapan tanpa amalan? Imam Shafi’i menjawab: Iman adalah beramal kerana Allah, sedangkan ucapan pula ialah sebahagian daripada amalan itu. Lelaki itu bertanya lagi: Tolong jelaskan lagi kepadaku sehingga aku betul-betul memahaminya. Imam Syafi’i menjawab: Sesungguhnya iman itu mempunyai beberapa peringkat dan darjat, sebahagiannya ada yang sempurna sampai ke tahap sesempurna-sempurnanya dan ada pula iman yang kurang sampai ke tahap sekurang-kurangnya. Lelaki itu bertanya lagi: Adakah iman yang tidak sempurna , bertambah dan berkurang? Jawab Imam Syafi’i: Memang benar. Lelaki itu bertanya: Apakah dalil terhadap apa yang tuan katakan? Syafi’i menjawab: Sesungguhnya Allah Yang Maha Agung telah mewajibkan iman ke atas semua anggota anak cucu Adam, lalu dibagi-bagikanNya tugas untuk masing-masing anggota, tidak ada satu anggota pun melainkan diwakilkan kepada anggota yang lain (58).



D. TENTANG SAHABAT

Al Baihaqy meriwayatkan daripada Imam Al Syafi’i bahawa beliau berkata: Allah Tabaaraka Wa Ta’aala telah memuji dan dan menyanjung sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. di dalam Al Quran, Taurat, Injil dan kelebihan mereka telahpun disebut oleh Rasulullah s.a.w. yang tidak mungkin boleh dicapai oleh orang-orang sesudah mereka. Semoga Allah cucuri rahmatNya ke atas mereka. Baginda Rasul s.a.w. juga pernah mengucapkan tahniah kepada mereka kerana mereka telah sampai pada kedudukan yang paling tinggi seperti shiddiqiin, syuhadaa dan shaalihin. Mereka telah pun menunaikan kewajipan mereka dengan menyampaikan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. kepada kita. Mereka telah menyaksikan wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi-Nya. Mereka sangat faham apa yang dimaksudkan Rasulullah s.a.w. samada umum, khusus, azam atau irsyad. Mereka mengetahui sunnah Rasul s.a.w. apa yang tidak kita ketahui. Mereka berada di atas kita dalam semua cabang ilmu dan ijtihad, dalam hal kewarakan dan ketajaman minda dan istinbat hukum hakam. Pandangan mereka adalah lebih terpuji dan lebih utama untuk kita ambil dan guna pakai daripada pandangan kita untuk diri kita sendiri, Wallaahu A’lam.(59)

Dikeluarkan oleh Imam Al Baihaqy daripada Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Hakam katanya: Aku mendengar Imam Syafi’i berkata: Manusia yang paling mulia setelah Rasulullah s.a.w. adalah Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian Othman, kemudian Ali Radhiallaahu ‘Anhum Ajma’iin. (60)

Di keluarkan oleh Al Harawy daripada Yusuf Bin Yahya Al Buaithy, katanya: Aku bertanya kepada Syafi’i: Bolehkan aku solat di belakang Rafidhy (Syi’ah)? Jawabnya: Jangan kamu solat di belakang Rafidhy, dan Qadari, dan Murji-y. Kemudian aku bertanya lagi: Tolong tuan sebutkan sifat-sifat mereka itu kepada kami Jawabnya: Barangsiapa yang berkata: Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar, kedua-duanya bukan Imam (orang yang patut dicontohi – P) maka dialah Rafidhy, dan barangsiapa yang menjadikan kehendak (masyi-ah) tertakluk pada dirinya, maka dialah Qadari. (61)

E. TENTANG ILMU KALAM

Dikeluarkan oleh Al Harawy daripada Al Rabi’ Bin Sulaiman, katanya: Aku mendengar Imam Syafi’i berkata: Sekiranya seseorang meninggalkan wasiat kepada orang lain agar mengambil manfaat daripada kitab-kitab yang ditinggalkannya, lalu di antara kitab-kitab tersebut terdapat kitab tentang Kalam, maka kitab kalam itu tidaklah termasuk di dalam wasiatnya kerana Kalam bukanlah ilmu (62).

Dikeluarkan oleh Al Harawy daripada Al Hassan Al Za’faraany, katanya: Aku mendengar Syafi’i berkata: Sekiranya aku ingin menjawab ke atas setiap mukhaalif (orang yang bercanggah pendapat denganku) masing-masing satu kitab yang besar nescaya akan aku lakukan, akan tetapi Ilmu Kalam bukanlah termasuk urusanku, dan aku tidak suka Ilmu Kalam itu dinisbahkan (dibangsakan) kepadaku walaupun sedikit (64).

Dikeluarkan oleh Ibnu Bathan daripada Abi Tsur, katanya: Imam Syafi’i berkata kepadaku: Aku tidak melihat seorangpun yang menggunakan Ilmu Kalam walaupun sedikit, lalu ia berjaya.(65)

Dikeluarkan oleh Al Harawy daripada Yunus Al Mishry, katanya: Imam Syafi’i berkata: Seseorang yang dicuba oleh Allah dengan segala larangan-Nya selain syirik adalah lebih baik daripada seseorang yang dicuba oleh Allah dengan Ilmu Kalam. (66)



PEMBAHASAN KELIMA

AQIDAH – IMAM AHMAD BIN HANBAL

A. TENTANG TAUHID

Tercantum dalam kitab Al Mihnah bahawa Imam Ahmad berkata: Allah Azza Wa Jalla, bukan makhluk dan Dia tidak boleh disifati dengan sesuatu melebihi daripada apa yang Dia telah sifati diri-Nya sendiri.(67)

Berkata Abdullah Bin Ahmad di dalam kitab Al Sunnah: Sesungguhnya Imam Ahmad berkata: Barangsiapa yang mendakwa bahawa Allah tidak berkata-kata maka dia kafir.(68)

Dikeluarkan oleh Al Lalakaai daripada Hanbal Bin Ishak bahawa dia bertanya kepada Imam Ahmad tentang Rukyah (melihat Allah), Imam Ahmad menjawab: Semua hadis yang sahih daripada Nabi s.a.w. dengan sanad-sanad yang baik (jayyidah) kami beriman dan berikrar dengannya.(69)

Ibnu Al Jauzy membawa kata-kata Imam Ahmad dalam Al Manaaqib, katanya: Sifatilah Allah dengan apa yang Allah sifati diri-Nya, dan nafikanlah daripada Allah apa yang dinafikan-Nya daripada diri-Nya. (70)

Imam Ahmad berkata di dalam kitabya: Bantahan terhadap Jahmiyah: Sesungguhnya Jahm Bin Shafwan mendakwa kononnya sesiapa yang mensifati Allah dengan sesuatu yang Dia sifati diri-Nya di dalam Kitab-Nya atau sebagaimana yang dikhabarkan oleh RasulNya maka dia kafir dan dia termasuk ke dalam Musyabbihah (menyerupakan Allah dengan makhluk). (71)

Ibnu Abi Ya’laa menukilkan daripada Imam Ahmad bahawa ia berkata: Barangsiapa yang mendakwa bahawa Allah tidak dapat dilihat di akhirat nanti maka dia kafir dan pendusta terhadap Al-Quran. (72)

Ibnu Abi Ya’laa menukilkan daripada Abdullah Bin Ahmad, katanya: Aku bertanya kepada ayahku tentang kaum yang berkata: Ketika Allah berkata kepada Nabi Musa, Dia tidak berkata dengan suara. Lalu ayahku menjawab: Allah berkata-kata dengan suara, dan hadis-hadis ini kami riwayatkan sebagaimana ia datang daripada Rasulullah s.a.w. (73)

Dikeluarkan oleh Al Lalkaai daripada Idrus Bin Malik Al’Aththar, katanya Al-Quran itu Kalam Allah, dan dia bukan makhluk. Dan kamu jangan merasa lemah untuk mengatakan bahawa dia bukan makhluk, kerana Kalam Allah adalah daripada-Nya, dan tidak ada suatu pun daripada-Nya itu makhluk.



B. TENTANG QADAR

Ibnu Al Jauzy menukilkan di dalam Al Manaaqib kitab Imam Ahmad Bin Hanbal kepada Musaddad, dan tertera di dalamnya: Dan beriman dengan qadar, baiknya dan buruknya, manisnya dan pahitnya adalah daripada Allah.(75)

Dikeluarkan oleh Al Khallaal daripada Muhammad Bin Abu Harun daripada Abi Al Haris, katanya: Aku mendengar Aba Abdullah (Imam Ahmad) berkata: Allah Azza Wa Jalla yang takdirkan ketaatan dan maksiat, dan Dialah yang takdirkan baik dan buruk, dan barangsiapa yang ditulis sebagai orang yang bahagia maka dia akan bahagia, dan barangsiapa yang ditulis celaka maka dia akan celaka. (76)

Abdullah bin Ahmad berkata: Aku pernah sekali bertanya kepada ayahku tentang solat di belakang Qadari. Jawabnya: Sekiranya dia mempertahankan pandangannya dan mengajak kepada fahamannya maka janganlah kamu solat di belakangnya.



C. TENTANG IMAM

Ibnu Al Jauzy menukilkan daripada Imam Ahmad katanya: Iman itu bertambah dan berkurang sebagaimana tercantum di dalam khabar (hadis): Mukmin yang paling sempurna ialah mukmin yang paling baik akhlaknya (HR Ahmad).(78)

Dikeluarkan oleh Al Khallaal daripada Sulaiman Bin Asy’ats, katanya: Sesungguhnya Abu Abdillah (Imam Ahmad) berkata: Solat, zakat, haji dan amal kebajikan adalah sebahagian daripada iman, sedangkan maksiat pula dapat mengurangi iman.(79)

Abdullah bin Ahmad berkata: Aku mendengar ayahku Rahimahullaah ditanya tentang Murjiah, lalu jawabnya: Kami berpendapat: Iman adalah ucapan dan amalan, bertambah dan berkurang, jika ia berzina dan minum arak maka berkuranglah imannya. (80)



D. TENTANG SAHABAT

Termaktub dalam kitab Al Sunnah oleh Imam Ahmad sebagaimana berikut: Adalah sunnah menyebut kebaikan-kebaikan semua sahabat Rasul s.a.w. Dan berhenti daripada menyebut keburukan-keburukan mereka dan pertelingkahan yang terjadi di antara mereka. Barangsiapa yang mencaci salah seorang daripada mereka maka dia adalah mubtadi’ (pembuat bid’ah) dan rafidhy yang sangat buruk. Malahan mencintai mereka adalah sunnah. Mendoakan mereka adalah qurbah (ibadah). Mencontohi mereka adalah wasilah (jalan untuk mencapai keredhaan Allah). Dan mengambil atsar-atsar (peninggalan) mereka adalah fadhilah (kelebihan). (81)

Ibnu Al Jauzy menukilkan risalah Imam Ahmad kepada Musaddad, di antara kandungannya: Dan hendaklah engkau mempersaksikan ke atas sepuluh sahabat bahawa mereka masuk syurga iaitu Abu Bakar, Umar, Othman, Ali, Thalhah, Al Zubeir, Sa’d, Sa’id, Abdul Rahman Bin ‘Auf, Abu Ubaidah Bin Jarrah. Dan barangsiapa yang dipersaksikan oleh Nabi s.a.w. akan masuk syurga, maka kami juga mempersaksikannya. (82)

Dinukilkan oleh Ibnu Abi Ya’laa daripada Imam Ahmad, katanya: Barangsiapa yang tidak mensabitkan (menetapkan) kekhalifahan bagi Ali bin Abi Thalib maka dia adalah lebih sesat daripada keldai ahlinya. (83)

Dan dinukilkan daripada Ibnu Abi Ya’laa daripada Imam Ahmad, katanya: Barangsiapa yang tidak menyakini bahawa Ali bin Abi Thalib khalifah keempat, maka janganlah kamu bercakap dengannya dan jangan kamu nikahi dia. (84)



E. TENTANG ILMU KALAM

Dikeluarkan oleh Ibnu Al Jauzy daripada Musa Bin Abdullah Al Tharsuusy, katanya Aku mendengar Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Janganlah kamu duduk pada majlis ahli kalam walaupun mereka itu mahir tentang sunnah (85).

Dikeluarkan oleh Ibnu Baththah daripada Abdullah Bin Ahmad katanya : Aku mendengar Abu Abdillah (Imam Ahmad) berkata: Berpegang teguhlah dengan sunnah dan hadis dan semoga Allah memberi kamu manfaatnya, dan jauhiah olehmu daripada berbantah-bantahan dan perdebatan dan bermegah-megah kerana orang yang suka berbantah-bantahan tidak akan menang. Dan setiap orang yang mencipta baru masalah kalam nescaya tidak akan berakhir urusannya melainkan kepada bid’ah. Kerana kalam tidak ada yang mengajak kepada kebaikan. Dan aku tidak menyukai Kalam, Khaudah dan Jidaal. Berpegang teguhlah dengan Sunnah dan Atsar dan Fiqh yang boleh mendatangkan manfaat kepadamu. Hindarilah Jidaal (berbantah-bantahan) dan Kalam Ahli al-ziqh Wa al-Muraa’ (perkataan orang yang kehilangan pedoman dan bermegah-megah). Semoga Allah melindungi kita semua daripada fitnah dan menyelamatkan kita daripada segala kebinasaan. (86)

Ibnu Baththah menukilkan di dalam kitab Al Ibaanah daripada Imam Ahmad, katanya: Jika kamu melihat lelaki yang suka kepada Kalam maka berwaspadalah daripadanya (87)

Demikianlah beberapa pandangan Imam Ahmad Bin Hanbal tentang masaalah Ushuluddin dan sikap beliau terhadap Ilmu Kalam.



PENUTUP

Berdasarkan penjelasan di atas jelaslah bahawa Aqidah Imam Imam Yang Empat adalah (satu) selain Imam Abu Hanifah dalam masalah Iman. Namun demikian kita difahamkan bahawa Imam Abu Hanifah telah rujuk (kembali) daripada pandangannya dan mengikuti pandangan jumhur dalam hal tersebut.

Aqidah seperti inilah yang sewajarnya diikuti oleh semua umat Islam sehingga mereka terhindar daripada perpecahan kerana aqidah ini disandarkan pengambilannya daripada Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya s.a.w.

Sungguh sedikit manusia yang memahami aqidah para Imam Yang Empat ini dengan pemahaman yang sebenarnya. Malahan berita yang sungguh meluas tersebar di kalangan mereka ialah kononnya Imam-Imam Yang Empat itu termasuk golongan Mufawwidhuun (golongan yang menyerahkan segala makna sifat-sifat Allah kepada Allah semata-mata – P), dan kononnya mereka tidak mengetahui nas-nas Al-Quran kecuali sekadar membacanya sahaja, seolah-olah Allah tidak menurunkan wahyu kecuali sia-sia sahaja.

Padahal Allah S.W.T. telah berfirman, mafhumnya,:

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran (Shaad: 29)

Dan Allah berfirman lagi, mafhumnya:

Dan sesungguhnya Al Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam, dia dibawa turun oleh Al Roh Al Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas (Al Syu’araa: 192 – 195)

Dan Allah berfirman lagi, mafhumnya:

Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran dengan berbahasa Arab agar kamu memahaminya (Yusuf: 2)

Jadi Allah S.W.T. telah menurunkan kitab Al-Quran supaya kita memperhatikan ayat- ayatnya dan mengambil pengajaran yang ada di dalamnya. Dan Allah S.W.T mengkhabarkan kepada kita bahawa Dia menurunkan dalam Bahasa Arab yang jelas dan terang supaya manusia dapat memahami dan memikirkan maknanya .

Dan kalaulah tujuan Allah menurunkan Al-Quran supaya umat manusia memperhatikan ayat – ayatnya dengan Bahasa Arab yang nyata dan jelas maka sudah semestinya Al-Quran itu mengandungi ilmu yang mudah difahami oleh semua umat manusia, dan lebih-lebih lagi tentunya bagi Bangsa Arab yang dengan bahasa mereka Al-Quran itu diturunkan. Sebab jika tidak demikian maka matlamat penurunannya hanyalah akan sia-sia belaka.

Dan pandangan seperti itu adalah jenayah yang paling besar ke atas Aqidah para Sahabat dan Tabi’iin serta Imam-Imam yang mengikuti jejak langkah mereka sesudah itu. Ini adalah tuduhan yang tidak mempunyai asas sama sekali. Sebab merekalah orang yang paling faham terhadap nas-nas wahyu kerana hampirnya mereka dengan zaman kenabian. Bahkan merekalah manusia yang paling berhak mendapat kemuliaan tersebut. Mereka beribadat kepada Allah SWT dengan ibadat-ibadat yang mereka fahami langsung daripada petunjuk Al-Quran dan Sunnah. Dan jika mereka memahami jalan yang boleh menyampaikan mereka kepada Tuhan yang mereka sembah, maka bagaimana mungkin mereka tidak mengenali Sifat-Sifat Kesempurnaan Tuhan Yang Mereka Sembah? Dan bagaimana mungkin mereka tidak memahami nas-nas yang diajar sendiri oleh Allah melalui Rasul-Nya?

Jadi ringkasnya, sesungguhnya Aqidah Imam-Imam Yang Empat, inilah Aqidah Yang Sahih lagi Benar yang bersumberkan dari sumber yang murni iaitu Al-Quran dan Sunnah. Tidak terdapat di dalamnya pencemaran dan noda walaupun sedikit, samada takwil, ta’thil, tasybih ataupun tamtsil. Adapun mu’aththil dan musyabbih, mereka tidak memahami sifat-sifat Allah kecuali apa yang layak untuk makhluk. Dan dalam hal ini sangat bercanggah kerana Allah tidak serupa dengan suatu apa pun, sama ada Zat-Nya, Sifat-Nya mahu pun Af’aal-Nya.

Saya berdoa kepada Allah S.W.T. semoga risalah kecil ini berguna untuk kaum muslimin dan semoga Dia menghimpunkan mereka di atas Aqidah Yang Satu dan Jalan Yang Satu iaitu Aqidah Al-Quran dan Sunnah. Hanya kepada Allah tempat kita semua berserah diri.



Rujukan:

1. Kitab al-Iman ( Ta’liq Muhammad al-Harras); Dar al Tiba’ah al Muhammadiyah; hal. 350-351
2. Majmu’ Fatwa; Ibn Taimiyah; V/256
3. Qathful al-Thamar; Hal. 47-48
4. Al-Durr al-Mukhtar Ma’a al-Hasyiah Rddu al-Mukhtar; V/396-397
5. Syar al-‘Aqidah al-Tahawiyah; Hal 234; Syarh Fiqh al-Akbar; 198
6. Al-Fiqh al-Absat, Hal. 56
7. Al-Fiqh al-Akbar; Hal 302
8. Syarh al-Aqidah al-Tahawiyah;Ii /427 Tahqiq: Dr al-Turkey; Jalal al’Ainain; Hal. 368
9. Al-Fiqh al-Absat, hal 46; al-Zahabi dalam kitab al-‘Uluw; Hal 101-102
10. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 301
11. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 202-203
12. Ibid; hal 202-203
13. Al-Wasiyah Ma’a Syarhihaa; hal 21
14. Ibid; hal. 14
15. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 303
16. Ibid; hal. 303
17. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 304
18. Al-Wasiyah Ma’a Syarhihaa; hal 2
19. Ibid; hal. 3
20. Al-Tamhid; Ibn Abd al-Barr; Hal. 247; Al-Tahawiyah; Hal 395
21. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 304
22. Al-Fiqh al-Absat, Hal. 40
23. Manaaqib Abi Hanifah; Al-Makkiy; Hal. 76
24. Al-Wasiyah Ma’a Syarhihaa; hal 14
25. Zamm al-Kalam; Al-Harawiy; Hal 28-31
26. Manaaqib Abi Hanifah; Al-Makkiy; Hal. 373
27. Zamm al-Kalam; Q-210
28. Al-Hilyah; VI /325-326
29. Al-Hilyah; VI /325
30. Al-Tamhid; Ibn Abd al-Barr; VII/ 138
31. Al-Intiqaa; Hal 34
32. Al-Hilyah; VI /327
33. Al-Intiqaa; Hal 34
34. Al-Hilyah; VI /327
35. Ibid VI/327
36. Tartib al-Madarik; II/45-46
37. Jaami’ al-Bayan al-‘ilm wa Fadhlih; Hal 415
38. Taqrib al-Tahdzib; I-60
39. Syarh Ahl al-Hadith; Hal. 5
40. Zamm al-Kalam; Q-173-B
41. Ibid; Q-173-A
42. Al-Hilyah; VI /327
43. Manaaqib al-Syafi’i: I/405
44. Sunan al-Kubra; Al-Baihaqiy; X/28
45. Ijtima’ al-Juyuiusy al-Islamiyah; Hal. 165
46. Al-Risaalah; Hal 7-8
47. Al-Siyar; Hal 341
48. Al-Intiqa’; Hal 79
49. Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah; II/506
50. Al-Intiqa’; Hal 79; Al-Lisaan; I/35
51. Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah; I/252
52. HR al-Hakim; al-Mustadrak; 1/525
53. Manaaqib al-Syafi’i: I/415
54. Ibid; I/ 413
55. Ibid; I/ 413
56. Al-Intiqa’; Hal 81]
57. Manaaqib al-Syafi’i: I/387
58. Manaaqib al-Syafi’i: I/387-393
59. Ibid I/442
60. Ibid I/433
61. Zamm al-Kalam; Q-215, Al-Zahabiy dalam al-Siyar; X/31
62. Ibid, Q-213;Ibid; X/30
63. Ibid, Q-213;Ibid; X/30
64. Ibid, Q-215
65. AL-Ibaanat al-Kubra; Hal 535-536
66. Manaqib al-Syafi’I; Ibn Abi Hatim, Hal 182
67. Kitab al-Mihnan; Hal 68
68. Kitab al-Sunnah; Dal ak-Kitab al-Ilmiyah; Hal 71
69. Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah; II/507
70. Manaaqib al-Imam Ahmad; Hal 221
71. Al-Radd’ala al-Jahmiyah; Hal. 104
72. Tabaqaat al-Hanabilah; I/59
73. Tabaqaat al-Hanabilah; I/185
74. Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah; I/157
75. Manaaqib al-Imam Ahmad; hal. 169 –172
76. Al-Sunnah; Al-Khallah; (Q –85)
77. Al-Sunnah; I/384
78. Manaaqib al-Imam Ahmad; hal. 174; Lihat juga hal 153 –168
79. Al-Sunnah; Al-Khallah; (Q –96)
80. Al-Sunnah; Abdullah Bin Ahmad; I /307
81. Kitab al-Sunnah; al-Imam Ahmad; Hal 77-78
82. Manaqib al-Imam Ahmad; Ibn al-Jauziy; Hal. 170
83. Ibid; Hal. 163
84. Tabaqaat al-Hanaabilah; I/45
85. Manaaqib al-Imam Ahmad; hal. 205
86. Al-Ibanah; Al-Baththah; II/539
87. Ibid; II / 540

Dipetik dari teks seminar 'Ahli Sunnah Wal Jamaah Arus Perdana', anjuran Gabungan Profesional Kelantan, dengan izin penerbit Dian Sdn Bhd.