Sunday, April 23, 2006

Zakat uji tahap kejujuran umat

KETIKA Umar Ibnu Khatab bertanya kepada Abu Bakar as-Siddiq mengenai tindakan yang akan dikenakan terhadap umat Islam yang tidak lagi mahu mengamalkan ibadat zakat selepas kewafatan Rasulullah SAW. Khalifah ar-Rashyidin pertama itu berkata:

“Demi Allah, saya akan terus memerangi orang yang memisahkan antara solat dan zakat, kerana zakat hak atas harta. Demi Allah, seandainya mereka enggan membayar seutas tali yang dulunya dibayarkan kepada Rasulullah SAW, saya akan memerangi mereka kerananya.”

Meneliti keputusan tegas itu, umat Islam dapat menggambarkan pentingnya ibadat zakat dalam Islam sehinggakan mereka yang mengingkarinya akan diperangi habis-habisan.

Tindakan itu disebabkan menunaikan zakat adalah antara Rukun Islam yang diwajibkan kepada sesiapa yang mengaku sebagai Islam dan mengingkari ibadat itu bererti individu itu terkeluar daripada agama berkenaan.

Ketua Unit Syariah dan Penerangan Khas, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff; berkata walaupun ibadat itu diwajibkan kepada umat Islam, masih ada umat Islam tidak membayar zakat.

Katanya, jika seseorang itu sekadar tidak mahu membayar zakat, dia melakukan dosa besar tetapi jika berpandangan zakat itu tidak perlu ditunaikan malah mempersendakan hukum Allah itu, dia terkeluar daripada Islam.

Di sebalik menunaikan arahan Allah itu, ramai memberi alasan seperti tidak cukup wang dan banyak hutang malah ada tidak mengambil tahu langsung mengenai ibadat itu seolah-olah ia bukan perkara wajib bagi mereka.

Ahmad Shukri berkata, maklumat mengenai perlu membayar zakat terlalu kerap didedahkan sama ada dalam bentuk ceramah, penerangan dan media tetapi masih ada umat Islam memberi alasan tidak mengetahui kaedah membayarnya.

“Jika kita jujur kepada agama, alasan tidak cukup wang untuk membayar zakat tidak menghalang kita untuk menunaikan kewajipan terhadap Allah, malah jumlah yang harus dikeluarkan zakat adalah sedikit iaitu 2.5 peratus daripada jumlah harta.

“Jumlah itu tidak banyak dan zakat pula tidak termasuk dalam aset seperti rumah dan kereta. Sebagai contoh, jika kita simpan wang dalam akaun amanah, faedahnya lebih 2.5 peratus tetapi zakat hanya 2.5 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kini ada pelbagai kaedah membayar zakat iaitu menerusi kaunter zakat, potongan gaji atau bayaran menerusi akaun bank secara on-line.

“Apabila membayar zakat, kita mendapat potongan daripada jumlah cukai pendapatan. Ramai yang sanggup membayar cukai pendapatan, tetapi tidak membayar zakat,” katanya.

Zakat adalah antara ujian bagi menentukan sama ada seseorang itu lebih menyayangi harta dunia daripada menunaikan perintah Allah.

Ahmad Shukri berkata, naluri manusia memang cintakan harta dan tidak salah bersikap demikian selagi harta itu tidak menghalang mereka daripada menunaikan kewajipan kepada agama.

“Cinta sejati hanyalah kepada Allah; manusia harus menyedari bahawa kehidupan ini sementara dan harta tidak dibawa ke kubur,” katanya.

Kebanyakan dalil al-Quran mengenai kewajipan zakat sering digabungkan dengan solat antaranya seperti surah an-Nur, ayat ke-56: “Dan dirikanlah oleh kamu solat serta keluarkan zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat.”

Antara penjelasan bagi ibadat itu adalah kewajipan membelanjakan harta ke jalan Allah (infak) adalah sama pentingnya dengan solat.

“Kita harus ada kesedaran untuk mengamalkan agama, jika mengatakan gaji tak cukup, ramai tidak cukup, tapi dalam tidak cukup gaji itu, kita masih hidup dengan pelbagai nikmat Allah; dapat makan dan minum. Sebagai tanda syukur kepada Allah, tunaikan kewajipan ditetapkan-Nya,” katanya.

Katanya, zakat juga mendorong umat Islam untuk berusaha mencari harta bagi membolehkan mereka menunaikan Rukun Islam dan bukan setakat menerimanya tapi berusaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Ia adalah motivasi supaya selepas berjaya mengumpul harta, kita akan mengembangkan pula duit itu jika tidak ia akan habis kerana membayar zakat saja. Jadi, paling kurang usaha kita untuk mengembangkan harta itu harus mendapat pulangan minimum 2.5 peratus.

Beliau berkata, apabila menunaikan perintah Allah dan membayar zakat, seseorang itu akan memperoleh kenikmatan rohani, berasa tenang, seronok dan bergembira menjalani kehidupan kerana hidupnya diberkati Allah.

Tanpa menunaikan zakat, seseorang itu masih berhutang dengan Allah SWT dan jika diteliti keadaan semasa, mereka yang tidak dibayar hutang kepada pihak pemberi hutang ketika di dunia akan dikenakan tindakan, maka begitu jugalah Allah.

“(Selain balasan neraka) ada juga balasan yang Allah tunjukkan di dunia lagi jika melanggar perintah-Nya dan tidak membayar zakat, contohnya hidup seseorang tidak tenang, keluarga tidak bahagia dan tertekan. Kita boleh fikirkan penyebabnya,” katanya.