Friday, April 28, 2006

Usaha diiringi tawakal, doa lebih diberkati

SETIAP manusia yang hidup di dunia ini memerlukan makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan keperluan asasi lain yang tidak akan datang sendiri tanpa adanya usaha serta kerja keras.

Jelasnya, untuk mendapatkan segala keperluan hidup, manusia perlu berusaha dengan cara dan jalan yang diharuskan syariat.

Islam tidak menyukai umatnya yang hanya berpeluk tubuh dan malas berusaha.

Selagi seseorang itu bertenaga dan berdaya untuk menghasilkan sesuatu bagi kepentingan kehidupannya, maka selagi itulah ia bertanggungjawab menggunakannya untuk mendapat keperluan diri dan keluarganya.

Seseorang itu tidak boleh membiarkan dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya meminta-minta dan sentiasa mengharapkan pemberian orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Cukuplah dosa yang dipikul oleh seseorang itu, apabila ia mensia-siakan orang-orang (isteri dan anak-anak) yang di bawah tanggungannya." (Riwayat Abu Daud).

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah berpesan, soal nafkah dan didikan ahli keluarga hendaklah diutamakan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jika sekiranya salah seorang di antara kamu keluar pada waktu pagi untuk mencari kayu lalu dia memikulnya di atas belakangnya; kemudian dia bersedekah dengannya dan tidak mengharapkan pemberian daripada orang lain, maka itu adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta daripada orang lain. Tanpa mengira sama ada orang itu memberi kepadanya ataupun tidak kerana tangan yang berada di atas itu lebih mulia daripada tangan yang berada di bawah dan mulailah dengan memberi nafkah atau mendidik orang yang berada di bawah tanggunganmu terlebih dahulu." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Zakat, Hadis 1337)

Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sedekah yang paling utama atau sedekah yang paling baik ialah sedekah orang kaya dan tangan yang berada di atas itu lebih baik daripada tangan yang berada di bawah serta mulakanlah dengan orang-orang yang berada di bawah tanggunganmu (isteri dan anak-anak)". (Riwayat Muslim di dalam Kitab Zakat, Hadis 1716)

Berusaha dengan menggunakan kemampuan fikiran dan tenaga hendaklah disertai tawakal dan doa.

Adunan usaha, tawakal dan doa ini akan menjadikan seseorang merasa yakin dengan kudrat (kuasa) dan iradat (kehendak) Allah SWT.

Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal adalah dituntut dalam Islam, terutama bagi orang yang mempunyai tanggungan keluarga.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menganjurkan umat Islam supaya berusaha mencari rezeki yang halal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, makanlah wahai orang-orang yang beriman dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." (Surah al-Nahl, ayat 114)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Dan di antara rahmat pemberian-Nya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti), supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya dan juga supaya kamu bersyukur." (Surah al-Qasas, ayat 73)

Berusaha dan berikhtiar ialah suatu cara untuk memperbaiki keadaan diri, sama ada untuk kehidupan dunia atau akhirat.

Tujuan keduniaan ialah berusaha mencari rezeki untuk memperbaiki keadaan kehidupan manakala tujuan akhirat pula ialah berusaha menyediakan bekalan amal kebajikan untuk menghadapi alam akhirat.

Berusaha untuk kehidupan dunia dan akhirat adalah sangat digalakkan dan harus pula diseimbangkan. Jangan pula usaha untuk dunia dilebihkan tetapi untuk akhirat ditinggalkan.

Kedua-duanya hendaklah diberikan perhatian yang sama, dunia diutamakan untuk kehidupan dan akhirat diutamakan untuk perhitungan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan carilah daripada apa yang Allah telah anugerahkan kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melakukan kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)