Saturday, April 22, 2006

Tiga sifat sempurnakan iman

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain.” (Riwayat Ahmad)

Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya.

Oleh itu, manusia yang suka menyimpan harta dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan hak seperti berzakat atau membelanjakan ke jalan bermanfaat, pasti tidak mendapat keberkatan.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa juga yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya." (Surah Al-Israk, ayat 30)

Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan rohani dan fizikal semua komponen itu saling berkait serta penting bagi memastikan kehidupan tenang dan damai.

Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwah yang dituntut Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

Ini bagi memastikan masyarakat saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang bagi mengelakkan sikap mementingkan diri tanpa menghiraukan orang lain.