Tuesday, April 18, 2006

Taubat boleh sucikan batiniah daripada dosa

SEBAGAI manusia biasa, kita tidak dapat lari daripada melakukan dosa sama ada sengaja atau tanpa disedari. Kelemahan dan kesilapan yang dilakukan sebenarnya mencemari roh sendiri.

Justeru, kita hendaklah terus berikhtiar untuk tidak melakukannya lagi dengan berjanji kepada Allah dengan penuh keikhlasan. Inilah proses penyucian diri melalui taubat.

Bertaubat adalah suatu kesedaran yang lahir dari dalam diri untuk menyucikan batiniah daripada dibelenggu dosa. Ia amat dituntut agama. Bahkan, wajib dilakukan sekiranya sering terlanjur dan amat banyak melakukan dosa dalam kehidupan seharian.

Firman Allah bermaksud: “Hai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka; mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah cahaya bagi kami dan ampunlah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Taubat adalah syarat terpenting bagi seseorang untuk mengenali Allah secara lebih dekat. Orang yang insaf dengan bertaubat akan melahirkan kesedaran sebenar.

Semakin menebal iman seseorang, maka sudah pasti akan semakin kenal dia dengan Tuhannya.

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap menurut petunjuk.” (Surah Toha, ayat 82)

Firman Allah Taala dalam surah an-Nisa' ayat 17-18 bermaksud: "Tuhan hanya menerima taubat orang yang melakukan kejahatan kerana kebodohannya. Kemudian dia kembali dengan segera, di mana Tuhan akan menerima mereka kembali. Dan Tuhan itu maha mengetahui lagi maha bijaksana. Dan tidaklah diterima taubat orang yang mengerjakan kejahatan sehingga sampai saat kematiannya. Maka berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini (sedang taubat itu sudah terlambat).

INTI PATI
Keuntungan bertaubat
# Hati dan jiwa akan segera bersih. Ini sudah tentu memudahkan petunjuk dan hidayah Allah memasuki diri.
# Mata hati akan terbuka seluas-luasnya, di mana pada saat inilah jiwa akan merasakan Allah sentiasa bersama dan rasa cinta kepada Allah segera berputik.
# Akan lahir ketaatan dan kepatuhan yang bersungguh-sungguh. Sifat istiqamah ini akan membawa kemenangan dalam hidup di dunia dan akhirat.