Tuesday, April 18, 2006

Rasul jernihkan hidup manusia kufur

JASA dan perjuangan Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia sehingga kepada kita hari ini perlu diingati, diinsafi dan disyukuri sepanjang masa. Dengannya kita dapat mengecapi dan menikmati apa itu iman dan Islam yang sebenarnya.

Kenapa kita perlu memperingati Nabi Muhammad SAW? Sebagai orang beriman, pasti tersemat pelbagai jawapan mengenainya.

Ungkapan "Adakah kamu melihat matahari memancarkan sinarnya selepas malam menggelapkan bumi? Adakah kamu melihat cahaya yang menerangi di sebalik awan hitam yang menutupi ruang angkasa?" Dua persoalan ini adalah perumpamaan gambaran umum yang dapat disingkap mengenai kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Kelahiran Baginda untuk menjernihkan kehidupan manusia daripada kegelapan (kufur) kepada sinar cahaya (iman) dan daripada kejahilan kepada tamadun keilmuwan. Firman Allah bermaksud: “Wahai Ahli-ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad SAW) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.

“Dengan (al-Quran) itu Allah tunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka daripada gelap gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan izin-Nya, dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka jalan yang lurus." (Surah al-Maidah ayat 15 - 16).

Sebelum kelahiran Rasulullah SAW, manusia hanya tahu saling bermusuhan dan bercakaran di antara satu sama lain. Mereka juga sentiasa memikirkan cara untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu.

Kelahiran Baginda adalah langkah pembaharuan dalam hidup manusia iaitu memberi hak untuk hidup kepada setiap manusia yang dilahirkan ketika masyarakatnya membunuh kanak-kanak perempuan. Begitu juga memulihkan fahaman syirik kepada Allah kepada pegangan akidah yang suci dan murni terhadap Yang Maha Kuasa. Baginda turut memperbetulkan sikap dan perangai buruk kepada akhlak yang terpuji.

Kelahiran Nabi Muhammad SAW juga agenda besar dalam memuliakan insan dan mengembalikan karamatul insan sesuai dengan fitrah kejadiannya.

Baginda diutus dengan risalah agung iaitu al-Quran yang menerangkan peranan manusia, mengajarkan umat manusia perkara yang menjadi kewajipan terhadap Penciptanya, diri dan keluarganya serta masyarakat.

Kelahiran Baginda juga suatu pembaharuan bagi mendidik manusia kepada sistem pengurusan masa yang baik. Masyarakat jahiliah tidak tahu menghargai atau mengurus masa dengan baik. Kebanyakan mereka menghabiskan masa untuk mencari kemegahan dengan memperbanyakkan harta kekayaan dan zuriat keturunan serta suka berperang.

Selepas diutuskan, Rasulullah SAW dengan syariat Islam yang indah ajarannya, mengajarkan umatnya supaya menghargai pentingnya nikmat masa kurniaan Allah. Ini kerana setiap saat yang berlalu dalam umurnya akan diperhitung oleh Allah di akhirat kelak.

Memperingati Nabi Muhammad SAW adalah cara untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah. Sesungguhnya kelahiran dan diutus sebagai Pesuruh Allah adalah suatu kurniaan yang amat besar daripada kurniaan-Nya yang lain. Rasulullah SAW adalah anugerah rahmat Allah ke atas alam ini.

Firman Allah bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107).

Oleh Mohd Zamri Shafie
Penulis ialah Imam Masjid Putra, Putrajaya