Thursday, April 20, 2006

Pengucapan keji, perkataan buruk perbuatan munafik

KITA diajar supaya sentiasa berbudi bahasa. Tutur kata hendaklah dijaga supaya tidak terkeluar perkataan yang melambangkan rendah pekerti. Budi bahasa adalah nilai diri yang menjadi perhiasan dinilai pihak lain.

Justeru, Islam amat menegah penganutnya daripada menggunakan perkataan buruk dan keji. Banyak ayat al-Quran dan hadis menjelaskan mengenai larangan menggunakan perkataan buruk yang dikaitkan sebagai perbuatan dosa.

Nabi Muhammad SAW memberi amaran keras mengenai balasan amat pedih terhadap sesiapa yang mengucapkan perkataan buruk. Mengeluarkan apa pun ucapan memang mudah, tetapi kesannya amat besar.

Sebab itu, kita perlu berhati-hati setiap kali mengeluarkan perkataan. Elakkan diri daripada membiasakan mengeluarkan perkataan buruk. Perkataan yang keluar dari mulut kita juga bergantung kepada kebiasaan atau tabiat.

Orang yang tidak biasa mengucapkan perkataan buruk akan berasa berat untuk mengucapkan perkataan itu walaupun tidak ditujukan kepada sesiapa. Sebaliknya, orang yang biasa mengucapkan perkataan buruk akan menyebutnya walaupun ketika melatah yang tidak dimaksudkan untuk mengucapnya. Perkataan itu terlalu biasa diucapkan sehinggakan terucap tanpa disengajakan.

Islam menegah pengucapan perkataan buruk kerana banyak kesan buruknya. Pastinya yang bernama buruk juga akan mendatangkan perkara buruk.

Antara perkara berpunca daripada pengucapan perkataan buruk ialah perpecahan dan permusuhan dalam masyarakat. Kata mengata, tuduh menuduh dan saling memburuk yang lain sering mengundang sengketa.

Hal ini terjadi memandangkan sudah lumrah perasaan seseorang mudah tercabar dan ‘terbakar’ jika dilemparkan dengan perkataan yang tidak baik. Paling cepat naik darah jika perkataan itu membabitkan maruah diri dan keturunan.

Justeru, kita perlu sentiasa berhati-hati ketika bercakap. Lidah memang tidak bertulang, tetapi bukan alasan untuk mudah mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa.

Firman Allah bermaksud: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pengeji, pencaci.” – (Surah al-Humazah, ayat 1).

Ayat itu memberi amaran betapa besar keburukan akibat mencaci dan perbuatan seumpamanya.

Orang mencaci berasakan dirinya hebat. Dia mengeluarkan kata-kata bermaksud menghina dan memberi aib kepada orang lain. Pada masa sama dia berusaha untuk mengangkat status dirinya dengan cara menjatuhkan orang lain.

Hakikatnya, orang yang mengeluarkan kata-kata yang tidak baik sebenarnya mencerminkan diri sendiri yang buruk. Sesungguhnya, hanya orang yang berperibadi buruk mengeluarkan perkataan yang buruk.

Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa orang yang suka menyebut perkataan buruk bukan dari kalangan orang beriman. Golongan itu bersifat seperti orang munafik yang mengaku beriman, tetapi melakukan perbuatan yang ditegah.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad bermaksud: “Sesungguhnya kekejian dan berbuat kekejian, tidak sedikit pun daripada Islam. Dan sesungguhnya manusia terbaik Islamnya ialah mereka yang baik akhlaknya.”

Islam tidak sekali-kali membenarkan seseorang Islam membuka aib Muslim lain walaupun berkaitan perkara yang benar. Hal ini untuk mengelak keadaan bertambah buruk.

Firman Allah bermaksud: “Allah tidak suka kepada perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali yang dianiayakan. Dan ingatlah Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” – (Surah an-Nisa, ayat 148).

Mungkin orang yang melakukan kesalahan itu secara tidak sengaja, atau mungkin juga menyesal melakukan perbuatan itu. Kita tidak sunyi daripada melakukan kesalahan sama ada disengajakan atau tidak. Sekiranya perkara keaiban yang benar tidak boleh disebarkan, inikan pula perkara yang sengaja direka-reka. Menyebarkan cerita yang tidak benar mengenai seseorang untuk mendatangkan keaiban dipanggil membuat fitnah.

Sekarang ini amalan menyebar fitnah semakin canggih dilakukan dengan alat teknologi moden. Fitnah dapat disebarkan dengan mudah tanpa penyebar fitnah itu perlu bersemuka dengan orang ramai. Malah, identiti penyebar fitnah juga dapat dirahsiakan.

Penyebaran fitnah dalam bentuk tulisan, audio mahupun visual secara siber samalah dosanya seperti diucapkan.

Membuat fitnah amat besar dosanya. Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh. Firman Allah bermaksud: “...Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan...” – (Surah al-Baqarah, ayat 217).

Sesungguhnya perkataan buruk yang keluar dari mulut didalangi oleh syaitan. Mereka yang bercakap itu ‘mewakili’ syaitan mengucapkan perkataan tidak baik kepada pihak lain bagi tujuan memecah-belahkan hubungan baik sesama manusia.

Kejayaan syaitan merosakkan hidup anak cucu Adam banyak bergantung kepada ‘pertolongan’ manusia sendiri yang ingkar kepada perintah dan amaran Allah.

Sesungguhnya mencaci, mengumpat, membuat fitnah dan mencarut akan memutuskan hubungan sesama manusia.

INTI PATI
# Budi bahasa adalah nilai diri yang menjadi perhiasan dinilai pihak lain.

# Perkataan yang keluar dari mulut kita bergantung kepada kebiasaan atau tabiat.

# Orang yang mengeluarkan kata-kata yang tidak baik sebenarnya mencerminkan diri sendiri yang buruk.

# Orang yang suka menyebut perkataan buruk bukan dari kalangan orang beriman.

# Islam tidak sekali-kali membenarkan seseorang Islam membuka aib Muslim lain.

# Penyebaran fitnah dalam bentuk tulisan, audio mahupun visual secara siber samalah dosanya seperti diucapkan.