Monday, April 17, 2006

Mengatasi caci maki dengan akhlak terpuji

DARIPADA Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: ”Apakah tidak menarik hatimu bagaimana Tuhan menghindarkan daripadaku caci maki dan kutukan orang Quraisy. Mereka mencaci maki dan mengutuk orang yang tercela, sedangkan aku orang yang terpuji.” (Hadis riwayat Bukhari)


Ada dua sifat yang bertentangan: Yang terpuji (mahmudah) dan yang tercela (mazmudah).

Rasulullah SAW adalah manusia yang terpuji. Meskipun ditentang, dimusuhi, mula-mula dengan kata-kata, kemudian dengan makian, penghinaan, ancaman dan akhirnya pembunuhan. Namun, Baginda tidak pernah membalas kejahatan itu.

Rasulullah SAW tidak pernah marah dan bertindak keras bahkan bersikap tenang dan tidak putus asa.

Nama Nabi Muhammad SAW mencerminkan akhlak Baginda. Ini sekali gus melontar kembali setiap tohmahan dan keburukan yang dilemparkan kepada yang mengutuk itu sendiri iaitu musuh Rasulullah sama ada dari kaum kafir atau kalangan kaum munafiqin.

Akhirnya, mereka melihat kebenaran yang dibawa Baginda dan memeluk Islam.

Bukankah, Allah memberi peringatan kepada Rasulullah SAW mengenai betapa manusia akan lari dan menjauhkan diri sekiranya Baginda bersikap keras dan kasar. Sedangkan melalui kasih sayang, hati yang keras menjadi lembut dan cair untuk menerima kebenaran.

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Akhlak yang mulia adalah perhiasan diri selain cerminan agama yang dianuti.

Islam memerintahkan penganutnya supaya sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat yang buruk sehingga menjadi fitnah pada agama.

Kita perlu waspada dalam melakukan sesuatu agar tidak menjatuhkan maruah, agama dan masyarakat sekeliling. – Petikan e-Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.