Thursday, April 13, 2006

Larangan caci sahabat Rasul

NABI Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memilihku dan memilih untukku beberapa sahabat serta Dia jadikan di antara mereka menteri-menteriku, mentua-mentua dan menantu-menantuku, juga penolong-penolongku; oleh sebab itu sesiapa yang memburuk-buruk dan mencaci mereka, maka tertimpalah di atasnya laknat Allah dan Malaikat serta manusia seluruhnya; Allah tidak akan menerima daripadanya sebarang ibadat dan juga sebarang tebusan." ('Uwaimi bin Sa'idah)

Sahabat Rasulullah SAW adalah orang yang hidup sezaman dengan Baginda.

Mereka adalah pembantu Baginda yang bekerjasama dengan sepenuh hati dalam menyampaikan ajaran Islam serta mengembangkannya.

Oleh itu, mereka adalah orang yang layak mendapat kemuliaan dan penghormatan daripada seluruh umat Islam.

Sesiapa yang mencaci salah seorang daripada sahabat Rasulullah SAW bererti dia telah mengingkari serta mendustakan kelebihan sahabat yang telah perakui.

Dengan itu, bermakna dia juga telah memutuskan hubungannya dengan Baginda.

Cacian terhadap sahabat Rasulullah adalah meliputi apa juga perkataan yang menyentuh sifat peribadi, aliran faham mazhabnya dan fahaman siasahnya.

Ini kerana di antara seorang sahabat dengan seorang sahabat yang lain, mereka berlainan pendirian tetapi mempunyai alasan yang kukuh (penuh tanggungjawab dan pertimbangan akal yang sihat) untuk berbuat demikian.

Sesiapa yang didapati mencaci atau melaknat sahabat Baginda, dia akan ditimpa laknat daripada Allah dan malaikat-Nya. – Petikan Mastika Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia