Sunday, April 16, 2006

Darurat bukan alasan untuk tidak guna perbankan Islam

PENGASAS mazhab Maliki, Imam Malik Annas RA pernah menyemak sehelai demi sehelai al-Quran untuk mencari apakah dosa paling besar terhadap umat Islam seperti difirmankan Allah SWT dalam kitab suci itu.


Lalu selepas selesai meneliti 6,666 ayat suci itu, beliau membuat satu rumusan seperti diterangkan dalam kitab 'Jamik al-Ahkam' karangan Imam Qurtubi - tiada dosa paling besar melainkan riba.

Rumusan itu bersandarkan kepada satu klausa dalam ayat ke-278 dan 279 dari surah al-Baqarah iaitu: "Hai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba jika kamu beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan berperang denganmu."

Pengurus Kanan Jabatan Pengawasan Syariah, RHB Islamic Bank; Zaharuddin Abdul Rahman, berkata klausa itu adalah 'berperang denganmu' iaitu bermaksud sesiapa yang terbabit dalam riba 'sanggup' berperang dengan Allah dan Rasul-Nya.

"Dosa lain seperti memakan daging babi dinyatakan sebagai perbuatan haram dan berdosa tetapi ia tidaklah sampai berperang dengan Allah SWT; tetapi apabila melakukan riba, Allah sendiri mengisytiharkan berperang dengan individu itu.

"Dalam permusuhan, ada musuh yang kita pulaukan selain musuh yang ingin kita hancurkan dan Allah menganggap mereka yang melakukan riba adalah musuh yang ingin Allah hancurkan," katanya yang menjelaskan riba dan sistem kewangan Islam melalui www.zaharuddin.com.

Beliau bagaimanapun kesal kerana pada masa kini, terlalu ramai umat Islam terbabit dalam riba; berpunca daripada tiadanya pengetahuan mengenai perbuatan haram itu selain sikap tidak sensitif terhadap dosa.

Umat Islam kini lebih sensitif dan takut terbabit dengan dosa seperti arak dan babi kerana dapat melihat dosa itu berbanding dosa riba kerana ia tidak dapat digambarkan.

"Ramai umat Islam yang tidak menyedari dan rasa bersalah apabila terbabit dalam riba, syirik dan kurafat. Jika mereka tidak solat atau berzina, mereka sedar melakukan dosa tetapi dalam tiga dosa berkenaan, ramai yang tidak sedar," katanya.

Riba ditakrifkan sebagai penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan penerima pinjaman. Dalam pertukaran barang dan kewangan pula, ia bermaksud penambahan nilai akibat kuantiti yang berbeza atau perbezaan waktu pertukaran.

Rasulullah SAW menjelaskan, riba adalah antara tujuh dosa besar seperti sabda Baginda mengenai dosa berkenaan iaitu: "Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan hak (jalan dibenarkan syarak), makan riba, makan harta anak yatim, melarikan diri ketika perang dan menuduh (berzina) wanita muhshanat (wanita yang menjauhkan perkara dosa) yang beriman lagi tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan," (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis lain pula, Baginda bersabda: "Dosa riba memiliki 72 pintu, dan yang paling ringan adalah seperti seseorang berzina dengan ibu kandungnya sendiri." (Riwayat Ibnu Majah).

Zaharuddin berkata, selain berperang dengan Allah dan dosa seperti berzina dengan ibu kandung; kehidupan individu yang terbabit dalam riba akan hilang keberkatannya malah cenderung melakukan dosa.

Ia berdasarkan keterangan Ibnu Hajar dalam kitabnya az-Zawajir ketika mentafsirkan ayat 275 dari surah al-Baqarah iaitu: “Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

"Di dalam Kitab Jamik al-Ahkam oleh Al-Qurtubi juga, Ibnu Abbas menerangkan wang daripada sumber riba tidak akan diterima untuk apa saja kebaikan seperti sedekah, menunaikan haji atau berjihad," katanya.

Dosa dan kesan riba pula akan menyelubungi tidak saja penerima riba tetapi mereka yang memberinya seperti Sabda Rasulullah SAW: "Allah melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, dua orang saksi dan pencatat (dalam transaksi riba), mereka sama saja," (Riwayat Muslim dan Ahmad).

“Antara jenis riba yang banyak disertai umat Islam pada masa kini membabitkan pinjaman daripada institusi kewangan bukan Islam seperti pinjaman kereta dan rumah," katanya.

Berikutan itu, katanya, umat Islam kini wajib mendapatkan pembiayaan menurut sistem perbankan Islam bagi mengelakkan riba malah mereka tidak harus menggunakan alasan darurat kerana sudah banyak perbankan Islam sejak beberapa tahun lalu.

"Perbezaan antara bank konvensional dan sistem perbankan Islam adalah urusan pembiayaan bank Islam membabitkan urusan jual-beli iaitu bank membeli kereta atau rumah yang diingini pelanggan dan kemudian menjual kepada pelanggan dengan harga pokok dicampur untung bank dengan persetujuan, keuntungan itu adalah disepakati halal oleh ulama," katanya.

Sehubungan itu, Zaharuddin berkata, bagi umat Islam terbabit dalam riba, jalan penyelesaian adalah menukarkan pinjaman itu kepada pinjaman berasaskan Islam serta bertaubat.

"Kita kena berusaha untuk keluar daripada dosa riba, mungkin dikenakan kos tambahan untuk pertukaran pinjaman itu tapi anggaplah sebagai penebus dosa. Jangan tangguh untuk keluar daripada riba; apa gunanya mencari kadar faedah rendah di bank bukan Islam jika ia membabitkan peperangan dengan Allah?" katanya.