Sunday, April 30, 2006

Berzikir tuntutan agama

Oleh DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN:
Zikir adalah salah satu amalan untuk ketenangan jiwa. Adakah zikir itu merujuk kepada amalan mengingati Allah dengan menyebut zikir-zikir tertentu, atau melibatkan amalan-amalan lain, termasuklah beristighfar?

- Kelana, Subang Jaya

JAWAPAN:

Dalam surah ar-Ra'd: 28 terdapat firman Allah yang bermaksud: Orang yang beriman, hati mereka aman tenteram dengan zikir kepada Allah. Ingatlah dengan zikir kepada Allah itu hati akan berasa aman dan tenteram.

Kalimah ‘zikir’, atau zikir dalam bahasa Arab bererti sebutan. Apabila ia disebut perkataan zikir, seseorang itu akan merujuk maknanya kepada ingatan terhadap Allah, biarpun kalimah ini tidak disertai dengan perkataan Allah di hadapannya. Selain daripada sebutan yang dilakukan dengan lidah, ia juga melibatkan hati dan perasaan, sama ada kalimah-kalimah yang dituturkan itu melibatkan ucapan menyucikan Allah, puji-pujian, sanjungan, menyebut sifat-sifat kebesaran dan keagungan serta sifat-sifat keindahan dan kesempurnaan yang dimiliki oleh–Nya.

Berzikir adalah tuntutan agama. Dalam surah al– Ahzab: 41-42 terdapat firman Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, berzikirlah kamu kepada Allah sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah pada–Nya pada waktu pagi dan petang.

Apabila seseorang itu berzikir mengingati Allah, Allah akan mengingatinya, seperti yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah: 152 yang bermaksud: Berzikirlah kamu kepada–Ku, nescaya Aku akan ingat pula kepada kamu.

Sesungguhnya, apabila seseorang hamba itu mengingati Allah, Allah akan mengingatinya. Semakin hampir ingatan seorang hamba itu, maka semakin hampirlah Allah kepada hamba berkenaan.

Dalam sebuah hadis kudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Allah berfirman yang bermaksud: Aku ini adalah menurut dugaan hamba–Ku, dan Aku menyertainya, di mana sahaja ia berzikir kepada–Ku. Andainya ia berzikir atau ingat pada–Ku dalam hatinya, maka aku akan ingat pula padanya dalam hati–Ku, dan kalau ia mengingat akan Aku di hadapan umum, maka Aku akan mengingatinya pula di depan khalayak yang lebih baik. Dan seandainya ia mendekatkan dirinya kepada–Ku sejengkal, Aku akan mendekatkan diri–Ku kepadanya sehasta, dan jikalau ia mendekatkan diri kepada–Ku sehasta, Aku akan mendekatkan diri–Ku kepadanya sedepa, dan jika ia datang kepada–Ku dengan berjalan kaki, Aku akan datang kepadanya dengan berlari.

Allah s.w.t. memerintahkan agar setiap hamba berzikir mengingatinya sebanyak boleh, tidak kira di mana dan bila, juga dalam keadaan apa sekalipun, sama ada ketika duduk atau ketika berbaring (Ali-Imran: 191).

Sesungguhnya Allah menyediakan keampunan dan pahala terhadap orang yang banyak berzikir (al– Ahzab: 35).

Yang dikatakan banyak berzikir itu ialah apabila seseorang itu terus-menerus menyebut zikir mengingati Allah, tidak kira siang atau malam, pagi atau petang dalam semua keadaan.

Ali bin Abi Talhah menceritakan tentang ucapan Ibnu Abbas mengenai ayat-ayat yang berkaitan dengan zikir yang dikatakan banyak, katanya: Allah tidak mewajibkan sesuatu ke atas hamba–Nya, kecuali dengan memberikan jumlah tertentu, manakala bagi mereka yang uzur diberikan batas kelonggaran kecuali zikir. Mengenai hal ini, Allah tidak memberikan batas di mana seseorang itu harus berhenti. Allah tidak menganugerahkan sesuatu keuzuran untuk meninggalkannya kecuali apabila terpaksa.

Zikir bertujuan di antaranya untuk menyucikan jiwa dan hati serta membangun atau memperkuatkan jiwa. Dalam surah al-Ankabut:45 disebutkan firman Allah, yang bermaksud: Dan dirikan sembahyang, kerana sembahyang itu mencegah perbuatan keji dan mungkar, dan zikir kepada Allah itu adalah lebih utama.

Tatatertib

Ibnu Abbas dalam tafsirnya menyatakan bahawa zikrullah lebih utama di sini ialah ingatan dua hala. Ertinya, apabila seseorang hamba itu telah betul-betul memusatkan ingatan kepada Allah, nescaya Allah akan mengarahkan perhatiannya kepada hamba–Nya itu. Itulah keadaan yang paling besar dan agung dalam kehidupan seseorang insan.

Selain daripada itu, zikrullah yang lebih utama memuatkan segala bacaan tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar) dalam sembahyang, bahkan lebih daripada itu, iaitu segala bacaan dan ingatan itu didengar oleh Allah dan disambut oleh–Nya dengan baik dan diterima amalan daripada hamba– Nya.

Apabila hati dan ingatan telah menerima kebenaran, dia akan melahirkan tingkah laku yang lebih baik dan akan berusaha untuk mencapai makam yang lebih tinggi, tanpa dapat dihalangi oleh godaan atau paksaan nafsu.

Allah telah memberi panduan mengenai tatatertib yang patut dilakukan ketika seseorang itu sedang berzikir seperti yang terdapat dalam surah al-A'araf: 205 yang bermaksud: Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan tanpa mengeraskan suaramu, baik di waktu pagi maupun pada petang hari, dan janganlah kamu termasuk dalam golongan orang yang lalai.

Ayat ini memberi panduan agar zikir itu dilakukan dengan perlahan, bukan dengan secara keras, tidak mengeraskan suara. Rasulullah pernah mendengar segolongan manusia yang berdoa dengan mengeraskan suara dalam perjalanannya, baginda bersabda yang bermaksud: Wahai manusia, perlahan ketika bersuara, kerana kamu bukanlah menyeru orang yang tuli atau di tempat yang jauh. Yang kamu seru itu maha mendengar lagi maha dekat, bahkan lebih dekat lagi kepadamu dari leher kenderaanmu.

Pada satu ketika Rasulullah telah pergi mendapatkan satu kumpulan sahabat. Baginda bertanya kenapa mereka berada di situ. Mereka menjawab, mengatakan bahawa mereka semua duduk di situ untuk berzikir, memuji-muji Allah kerana petunjuk dan kurnia yang telah dianugerahkan kepada mereka semua dengan menganut agama Islam. Baginda bersabda: Demi Allah, tidaklah salah tuan-tuan duduk di sini kerana itu. Sebetulnya malaikat Jibrail telah datang dan menyampaikan berita bahawa Allah taala telah membanggakan tuan-tuan terhadap para malaikat.

Hadis ini menjelaskan bahawa berkumpul beramai- ramai untuk berzikir itu adalah digalakkan. Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said Khudri dan Abu Hurairah, bahawa mereka mendengar sendiri Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak ada satu kaum pun yang duduk berzikir kepada Allah kecuali mereka akan dikelilingi oleh malaikat, mereka akan diliputi oleh rahmat dan akan beroleh petunjuk dan akan disebut-sebut oleh Allah kepada mereka yang berada di sisi–Nya.

Oleh kerana kedudukan zikir itu begitu tinggi di sisi Allah dan begitu penting dalam kehidupan manusia, adalah sukar untuk diterima akal andainya hasil-hasil atau kelebihan yang diperoleh itu hanya dengan menyebutnya di bibir belaka.

Said bin Jubair menyatakan bahawa setiap orang yang beramal soleh demi mentaati perintah Allah, maka ia disebut sebagai zikir kepada Allah.

Qatadah pula berpendapat bahawa majlis zikir itu ialah majlis ilmu dan peringatan, iaitu majlis di mana di dalamnya disebut tentang wahyu Allah, sunah-sunah Rasul, begitu juga berita-berita mengenai orang-orang soleh dan lainnya yang bebas daripada bidaah dan hal yang direka-reka, bersih daripada amalan dan maksud buruk.

Beristighfar juga termasuk dalam kategori zikir. Tersebut dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Nasaiy, Ibn Majah dan Al-Hakim, daripada Abdullah bin Abbas, beliau berkata, baginda telah bersabda yang bermaksud: Barang siapa selalu memohon keampunan (istighfar), nescaya Allah jadikan baginya jalan keluar daripada setiap kesempitan, kelapangan dan daripada setiap dukacita kegembiraan dan Allah memberinya rezeki yang tidak terkira.

Jelasnya, hadis di atas ini menjelaskan bahawa orang yang banyak beristighfar, selain memperoleh ketenangan, Allah akan memberi jalan keluar pada setiap kesempitan atau masalah yang dihadapi, sekiranya berlaku dukacita, tidak kira apa puncanya, dalam hadis ini dijelaskan Allah akan memberi kegembiraan. Selain daripada itu Allah akan memberi rezeki yang banyak hasil daripada amalan beristighfar tadi.