Sunday, April 30, 2006

Aurat semasa bersembahyang

SOALAN: Bagaimana aurat dalam sembahyang dan apa hukum seseorang yang bersembahyang tanpa memakai baju cuma berkain sahaja? Adakah solatnya sah atau cacat dan apakah aurat kaum wanita yang nampak bertudung tetapi nampak pusat pula dan berseluar agak ketat dan menjolok mata?

- Aminah Zakaria, Hulu Tiram, Johor.

JAWAPAN: Kita semua tahu bahawa untuk beribadat atau menghamba diri dan menyembah Allah Tuhan semesta alam tentulah lebih utama lagi daripada menghadap sesiapa pun. Jadi seseorang itu tentu tidak sopan jika menyembah Allah tanpa pakaian dengan lengkap dan sopan. Sedangkan apabila kita dijemput ke istana tentulah seseorang itu bersiap sedia dengan pakaian yang indah-indah, inikan pula Tuhan pencipta alam seluruhnya.

Allah s.w.t. pernah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Ambillah perhiasan kamu setiap kali kamu ke masjid dan ini memberi erti kepada kita yang perlu menutup aurat dan memakai pakaian yang indah-indah bila hendak mengerjakan solat, menyembah, atau memasuki masjid rumah-Nya. Sebab itu ulama sudah menentukan aurat kita dalam sembahyang dan di luar sembahyang itu. Bagi lelaki auratnya di antara pusat dan lutut dan sedikit kawasan sekitarnya untuk memastikan kawasan aurat tadi tertutup dengan elok dan sempurna.

Ini kerana ada kaedah yang mengatakan setiap yang wajib itu tidak boleh sempurna melainkan dengannya maka ia juga menjadi wajib. Manakala kaum wanita pula seluruh badan selain muka dan tangan sahaja.

Apa pun penutupan itu disyaratkan dengan sesuatu yang boleh menghalang warna kulit dan tubuh badan kita sahaja bukan bentuk badan itu sendiri sekalipun dengan tanah walaupun pakaian itu agak ketat.

Ia cuma makruh bagi wanita dan kata ulama bagi kaum lelaki ia kurang elok ertinya tidak dilarang bagi lelaki tetapi dilarang (makruh) bagi kaum wanita menampakkan bentuk tubuh.

Ini sekiranya tidak ada yang lebih baik dan lapang mereka juga mensyaratkan penutupan itu hendaklah dari atas dan keliling tubuh. Sebab itu kalau ternampak auratnya melalui leher baju atau lengannya maka ia boleh membatalkan solatnya. Begitu juga kaum lelaki jangan pula badannya terlampau tambun nanti lubang belakangnya akan kelihatan terutama semasa dia berdiri atau rukuk dan sebagainya.

Adapun mereka yang mendedah auratnya terutama yang mendedahkan pusat amatlah dikesali dan wajib dijauhi setiap masa dan para ibu bapa perlu bertanggungjawab terhadap tingkah laku anak-anak ini. Wallahualam.