Monday, April 24, 2006

Amal ibadat, tahap takwa pengukur kemuliaan manusia

ALLAH menciptakan manusia daripada seorang lelaki dan perempuan iaitu Nabi Adam dan pasangannya Hawa. Mereka adalah manusia pertama yang diciptakan Allah.


Adam dan Hawa adalah ibu dan bapa kepada semua umat manusia di bumi ini. Jelaslah bahawa asal usul manusia itu berkembang daripada sepasang manusia saja.

Allah berfirman bermaksu: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki (Adam) dan perempuan (Hawa), dan kami telah menjadikan kamu dalam pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang mulia di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih baik keturunan dan bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat ayat 3).

Ibn 'Asakir menjelaskan, ayat ini diturunkan berhubung Abi Hindun. Rasulullah SAW menyuruh kaum Bani Bayadah mengahwinkan salah seorang wanita mereka dengannya (Abi Hindun). Mereka berkata: “Ya! Rasulullah, bolehkah kami mengahwinkan puteri-puteri kami dengan hamba-hamba kami?” Maka turunlah ayat itu (ayat 13 daripada surah al-Hujurat) (al-Zuhaili, 1993:26:250).

Peristiwa itu menunjukkan agama Islam tidak mengenal perbezaan di antara hamba dengan orang merdeka. Tegasnya, dalam agama Islam tidak mempunyai unsur diskriminasi.

Ukuran kemuliaan seseorang insan hanya bergantung kepada tahap ketakwaannya kepada Allah.

Perkara ini juga pernah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam khutbahnya pada hari pembukaan Kota Makkah iaitu dengan bersabda : "Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah menghilangkan daripada diri kamu sifat sombong dan bermegah-megah dengan bapa-bapa kamu. Manusia itu ada dua jenis, pertama, adalah orang yang baik dan bertakwa serta mulia di sisi Allah dan kedua, orang kafir atau jahat yang hina di sisi Allah. Sesungguhnya semua manusia berasal daripada keturunan Adam dan Allah menciptakan Adam daripada tanah." (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Senario ketika Islam mula muncul, dunia berada dalam keadaan berpecah-belah.

Tiada sebarang ikatan selain daripada asabiyah (fanatik) perkauman yang keji atau fahaman etnik, puak dan juga kabilah yang sempit. Ada beberapa perkauman seperti Arab, Parsi dan Tauran.

Perkauman ini pula terbahagi kepada beberapa fahaman etnik, puak dan juga kabilah seperti 'Aus dan Khazraj di Madinah; Bani 'Adnan dan Bani Qahtan di Semenanjung Tanah Arab; golongan Asyuriyyin di Iraq dan Lubnan; Firaun di Mesir dan Barbar di Maghribi.

Sebaik Islam muncul, masyarakat manusia ini mula diajak meninggalkan segala bentuk fahaman jahiliah yang sempit. Sebaliknya, mereka bersatu di bawah naungan Islam melalui lafaz dua kalimah syahadah.

Tujuan Allah menciptakan manusia dalam beberapa puak, kabilah dan bangsa di dunia adalah mereka saling kenal-mengenali dan kasih mengasihi di antara satu sama lain. Penciptaan Allah dalam keadaan sebegini sama sekali bukan untuk memberi ruang kepada sesuatu bangsa dan puak itu bermegah-megah di antara satu sama lain.

Bagi umat manusia, mereka tidak mempunyai kemuliaan mengikut kedudukan keturunan dan bangsa.

Kemuliaan sejati seseorang hamba yang bernilai di sisi Allah ialah kemuliaan hati, budi pekerti, tingkah laku dan kemuliaan amalan mereka terhadap Allah. Ia melalui perbuatan tunduk dan patuh mereka terhadap segala suruhan dan larangan-Nya.

Tidak ada lebihnya bangsa Arab berbanding bukan Arab, berkulit putih berbanding kulit hitam kecuali ketakwaan.

Rasulullah SAW mewujudkan perpaduan yang menyeluruh di antara orang Islam.

Tindakan Rasulullah SAW ini dapat dilihat ketika mempersaudarakan di antara orang Islam di Madinah.

Di samping itu, Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang unggul dalam menghapuskan unsur jahiliah. Antaranya ialah Baginda mengahwinkan Zaid bin Harithah, salah seorang daripada golongan mawali (orang asing yang bukan Arab) dengan sepupunya sendiri Zainab binti Jahsyi.

Baginda melantik Usamah bin Zaid sebagai panglima tentera yang disertai oleh sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah al-Jarrah.

Dengan cara itu, setiap orang melupai semangat kefanatikan dan perkauman, malah semangat ini hanya ditumpukan untuk Allah dan rasul-Nya.

Sebagai kesimpulan, manusia pada hakikatnya berasal daripada keturunan yang satu, meskipun jauh dipisahkan oleh benua.

Tiada perbezaan di antara sesuatu kaum dengan kaum yang lain, malah tidak perlu membangkit-bangkitkan isu perbezaan kaum dan bangsa, melainkan perlu menginsafi adanya persamaan keturunan.

Formula yang diperkenalkan oleh Islam seharusnya dipegang oleh seluruh umat manusia dalam mengharungi arus kehidupan mereka di dunia ini.

Formula yang dimaksudkan ialah ‘semulia-mulia manusia ialah orang yang paling bertakwa kepada Allah.’