Thursday, April 20, 2006

Akhlak mengukur keluhuran, keimanan

AKHLAK adalah sebahagian daripada addin yang dibentuk oleh akal. Semua aspek kehidupan sama ada berkaitan hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia dan makhluk lain termasuk dalam lingkungan akhlak.

Segala tindak-tanduk dalam kehidupan juga merangkumi nilai akhlak termasuk soal ekonomi, politik, sosial, teknik, seni dan sebagainya. Justeru, akhlak bolehlah disimpulkan sebagai pengatur dan penyusun tingkah laku manusia dalam sesebuah komuniti bagi mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan sejagat.

Akhlak sebenarnya lebih menjurus kepada tindakan mengandungi nilai yang lebih bersifat perasaan. Sumber peradaban dalam memartabatkan kedudukan akhlak itu sendiri bertunjangkan hati.

Justeru, hatilah yang banyak memainkan peranan dan tanggungjawab untuk menentukan nilai luhur.

Kepentingan akal dalam membina sahsiah yang luhur dan syumul memang tidak dapat dinafikan lagi. Akal yang membentuk insan bermoral jasmaniahnya dan cerdas serta bestari rohaniahnya.

Pembinaan akhlak yang mulia bermula daripada pembentukan pada peringkat akar umbi iaitu dalam sebuah keluarga yang kecil, komuniti setempat dan warga negara secara umumnya. Islam menyatakan akhlak sebagai pengukur keimanan seseorang.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Orang mukmin yang sempurna imanya ialah yang terbaik akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Islam memerintahkan umatnya supaya berakhlak baik dan mulia. Begitupun, Islam tidak sekali-kali menitahkan umatnya supaya melakukan sesuatu di luar kemampuan diri.

Seluruh manusia mukmin sebenarnya ditentukan oleh Allah dengan fitrah semula jadi iaitu berbudi pekerti mulia. Hakikat berbudi pekerti mulia lahirnya suatu tindakan mental dan fizikal bertunjangkan kemurnian.

Induk seluruh akhlak adalah bersendikan empat keadaan iaitu:

# Hikmat kebijaksanaan.
# Keberanian
# Kelapangan dada
# Keadilan