Wednesday, May 31, 2006

Ufuk Minda: Kehidupan luar fitrah undang musibah

MENELUSURI kisah menimba ibrah. Pepatah orang Melayu ini amat tepat hubungannya dengan proses pembentukan manusia. Sejarah nubuwwah adalah sejarah pembangunan rijal atau manusia.

Sejak zaman Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW, proses kenabian atau nubuwwah sifatnya menempuh zaman yang berbeza, cabaran kaum dan kabilah tidak sama serta memerlukan pendekatan berlainan.

Al-Quran merakamkan kisah yang pelbagai untuk menjadi ibrah atau teladan manusia. Apa yang berlaku terhadap manusia hari ini adalah perulangan yang pernah berlaku pada masa lalu. Bentuknya mungkin berbeza, tetapi maksudnya adalah sama.

Kalau teladan dalam kisah al-Quran tidak dijadikan pedoman, kisah sama akan berulang pada masa depan.

Kisah Nabi Lut dengan kaumnya adalah kisah klasik yang menggambarkan manusia pada suatu zaman yang tidak hidup dalam keadaan fitrah walaupun diseru ke arah demikian. Sebaliknya, mereka memilih jalan hidup di luar fitrah dan akhirnya Allah turunkan musibah menghancurkannya.

Perkara itu berulang dengan berkembangnya perbuatan melampaui batas di kalangan manusia hari ini dengan berkembangnya amalan 'gay' dan 'lesbian'. Akibat perbuatan itu antara lainnya lahir musibah Aids/HIV yang amat menggerunkan manusia.

Sekiranya manusia tidak kembali kepada kehidupan yang fitrah, maka kehancuran yang akan ditempa.

Kisah Firaun dan Nabi Isa juga satu lagi contoh klasik yang membayangkan keangkuhan manusia yang berasakan dirinya amat berkuasa sehingga mengaku dirinya Tuhan dan melakukan kezaliman yang amat dahsyat. Akhirnya, menerima balasan setimpal daripada Allah.

Kisah itu sedang berlaku hari ini di mana manusia atau kuasa yang seolah-olah sedang memporak-perandakan manusia atau negara yang lemah untuk kepentingan ideologi dan kuasanya. Ia akan terus berlaku hari ini dan bakal berlaku pada masa depan melainkan manusia kembali kepada kehidupan yang fitrah.

Sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW adalah titik tolak suatu perubahan yang amat strategik dalam sejarah Islam. Pembangunan kota Madinah menjadi asas kepada pembangunan masyarakat madani. Tumpuan kepada halaqah dan suffah menghasilkan di kalangan sahabat orang berilmu, ahlussuffah dan huffaz. Ia menjadi titik tolak perkembangan ilmu yang menghasilkan tradisi quttab, nizamiyyat dan madrasah yang amat menakjubkan.

Tradisi pengilmuan ini akhirnya mampu mencetuskan tamadun gemilang beberapa abad kemudian dan berlangsung memberi manfaat kepada Eropah dan umat manusia selama lebih 600 tahun.

Acuan yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW mengambil pendekatan Qurani sehingga Rasulullah SAW menggambarkan pada zamannya, Baginda mampu melahirkan generasi cemerlang dan unik. Kecemerlangan di sini harus dihubungkan dengan proses bina insan yang memberi tumpuan terhadap pembangunan akidah, akhlak, jihad atau jiwa perjuangan. Ia akhirnya berupaya menghasilkan generasi madani yang menjadi contoh yang amat cemerlang.

Fokus ini menjadi penting kerana prasyarat terhadap pembangunan sekitar atau pembangunan sumber bermula dengan pembangunan manusia. Sekiranya manusia yang dibangunkan itu mempunyai kualiti amanah yang tinggi, memahami maksud keadilan yang sifatnya merentasi, berdiri atas akhlak contoh, sentiasa yakin akan barakah dan reda Allah serta sentiasa menjadikan pedoman ilmu dan nilai sebagai penggerak perubahan, sistem yang baik dengan sendirinya akan terbangun.

Sebaliknya, sesuatu sistem yang baik diwarisi di kalangan mereka yang tidak berilmu, hilang daya akauntablitinya, tidak berasakan mengurus sistem dan sumber sebagai amanah Allah, maka sistem ini lambat laun akan rosak juga.

Islam dalam erti kata yang luas menghubungkan dua perkara yang amat asas. Pertama, Islam ialah ajaran, risalah atau hikmah yang datangnya daripada Allah untuk membangun manusia. Kedua, Islam juga menghubungkan proses pembangunan manusia dan jenis manusia yang dihasilkan.

Pada zaman Rasulullah SAW lahir apa yang disebut sebagai generasi al-Quran. Ajaran yang turun daripada Allah diamalkan dengan baik sehingga apabila sahabat bertanya kepada isteri Nabi SAW mengenai akhlak suaminya, lantas menghubungkan dengan 'akhlak al-Quran".


INTI PATI: Teladan dicatat dalam al-Quran

# Kisah Nabi Lut dengan kaumnya yang menggambarkan manusia di suatu zaman melanggar fitrah walaupun diseru ke arah demikian. Mereka memilih jalan hidup di luar fitrah dan akhirnya Allah turunkan musibah menghancurkannya.

# Kisah Firaun dan Nabi Isa membayangkan keangkuhan manusia yang berasakan dirinya amat berkuasa sehingga mengaku dirinya tuhan dan melakukan kezaliman yang amat dahsyat. Akhirnya, menerima balasan setimpal daripada Allah.

# Perkara usul atau yang menjadi asas tidak boleh diubah kerana nas di dalam al-Quran dan sunnah itu adalah bersifat putus dan tidak sama sekali boleh diubah.

# Prinsip keanjalan dalam perundangan Islam perlu diberi perhatian serius ketika undang-undang digubal, termasuk undang-undang Islam

Ibu bapa perlu berlaku adil terhadap anak

ISLAM menuntut ibu bapa berlaku adil terhadap anak sama ada perempuan atau lelaki. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Persamakan di antara anak-anak kamu dalam pemberian.” (Hadis at-Tabrani)

Kasih sayang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan makhluk di muka bumi ini sama ada bergelar insan atau binatang.

Begitu juga dengan ibu bapa terhadap anak. Mereka hendaklah berlaku adil kepada anak dalam setiap perkara, terutama dalam memberikan kasih sayang.

Elakkan daripada berlaku penderaan emosi disebabkan oleh sikap pilih kasih dan sebagainya.

Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi orang lain seperti dia mengasihani dirinya sendiri.

Apa yang dia suka diperlakukan ke atasnya dan apa yang dibenci berlaku terhadap dirinya. Maka perkara yang sama juga mesti terjadi pada ibu bapa terhadap anak masing-masing.

Anak memerlukan bimbingan daripada ibu bapa. Namun, tidak bererti anak mesti dimanjakan dan diberi apa yang dimahukan. Ia mestilah disulami dengan aspek ketegasan yang bersesuaian dengan masa dan keadaan.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Takutlah akan Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Anak adalah amanah Allah yang diserahkan kepada ibu bapa untuk dijaga dan dipelihara dengan membimbing mereka ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Membeza-bezakan anak adalah faktor yang boleh merosakkan peribadi dan jiwa mereka kerana akan timbul perasaan hasad dengki hingga membuatkan mereka sering bergaduh dan hilang rasa kasih sayang sesama sendiri.

Sewajarnya ibu bapa menyamakan layanan di antara anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, sempurna atau cacat, cantik atau tidak. Semua perkara dari segi pakaian, makanan, pemberian, kasih sayang dan sebagainya adalah hak mereka yang mesti dipenuhi dan diberi sama rata.

Apa tah lagi hubungan di antara ibu bapa dan anak adalah hubungan yang bersifat kewajipan dan tanggungjawab.

Sesungguhnya ibu bapa yang berlaku adil akan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai anak perempuan, kemudian tidak dihinakan dan tidak mengutamakan anak lelaki daripada anak perempuan, nescaya dia dimasukkan Allah ke dalam syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Monday, May 29, 2006

Umar sahabat Rasullullah

Tajdid Iman: Ilmu harta pusaka terunggul

Miliki sifat Umar jika mahu menang dengan syaitan

SEORANG sahabat Rasulullah SAW tiba di sebuah pasar. Orang ramai sibuk berniaga dan membeli belah. Tiba-tiba beliau menyeru mereka: “Wahai manusia, mengapa kalian tidak mengambil harta pusaka peninggalan Rasulullah SAW?” Mereka pun bertanya: “Di manakah tempatnya harta itu?”

Kemudian ditunjukkanlah tempat penyimpanan yang dimaksudkan iaitu masjid Rasulullah SAW. “Tidak ada yang kami temui kecuali orang yang sedang beribadat dan orang yang berkumpul di majlis ilmu.” Maka sahabat itu berkata: “Ilmu itulah harta peninggalan Rasulullah SAW!”

Sukakah anda mendapat harta pusaka Rasulullah SAW? Bukan emas dan permata, bukan istana dan segala khazanah dunia. Tuntutlah ilmu! Bukan hanya ilmu agama, malah ilmu duniawi juga sama penting dan besar pahalanya di sisi Allah.

Rasulullah SAW dan sahabat pernah belajar teknologi peperangan daripada Salman al-Farisi, ahli siasat perang dari Parsi. Baginda juga adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum menjadi rasul Allah. Begitu juga Abu Bakar al-Shiddiq, Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin 'Affan adalah pakar ekonomi yang banyak membantu dakwah di jalan Allah.

'Aisyah binti Abu Bakar menjadi rujukan penuntut dan Hafsah binti Umar seorang penulis dan pengumpul naskhah al-Quran? Maka siapakah kita dengan ilmu yang ada? Apakah peranan kita untuk umat ini? Apakah ilmu yang kita miliki berkat, bermanfaat bagi diri, keluarga dan umat?

Ciri ilmu yang berkat menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Bidayatul Hidayah adalah:

1. Ilmu akan bertambah hebat akibat rasa takut kepada Allah.

Surah al-Faatir, ayat 28 menyebutkan: “Hanya yang takut kepada Allah, adalah ulama.”

Keluasan ilmu Allah melahirkan manusia yang amat gerun kepada kekuasaan Allah. Dengan ilmunya dia dapat mengetahui apa yang dibenci Allah dan apa yang disukai-Nya. Ini diadun dengan ilmu kehebatan syurga Allah dan kedahsyatan seksa neraka yang menjadi formula pembentuk sahsiah ulama pada dirinya.

Rasakan getaran hati anda, adakah ia begitu sensitif apabila berhadapan dengan keinginan melakukan dosa dan maksiat kepada Allah? Jika di hati masih tersisa rasa takut kepada Allah, ilmu anda akan sentiasa bermanfaat untuk diri dan orang lain.

2. Ilmu membentuk sifat tawaduk.

Jika ilmu semakin tinggi, keagungan dan kebesaran Allah menutup segala ego dan kesombongan yang membayangi diri. Tidak sama sekali menganggap orang lain bodoh dan lemah. Sehebat-hebat manusia tidak akan mampu menghadapi ujian yang diberi oleh Yang Maha Mengetahui melainkan dengan pertolongan-Nya.

Dengan bekal segulung ijazah bolehkah anda menghadapi hari penghisaban dengan selamat? Pakar motivasi sekali pun tidak akan mampu menanggung musibah yang diuji pada dirinya kecuali dengan pertolongan Allah.

Sifat tawaduk seperti bintang yang berkilauan. Ilmu pula ibarat purnama. Kedua-duanya amat cantik jika dikembarkan menjadi hiasan pada peribadi.

3. Ibadat bertambah nikmat kerana asas ilmu yang kukuh.

Sesungguhnya amal yang diterima memiliki dua syarat, iaitu ikhlas dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Sabda Baginda ketika melihat seorang lelaki yang kurang betul sembahyangnya: “Sembahyanglah kamu seperti aku sembahyang.” Kerana itu apa-apa saja ibadat yang dilakukan wajib bersumber daripada sunnah Rasulullah SAW.

Cuba mengerjakan ibadat dengan cara khusyuk seperti Rasulullah SAW khusyuk, berjuang seperti Baginda berjuang, berilmu seperti Baginda berilmu. Ilmu yang menggerakkan amal dan perjuangan untuk Islam.

4. Ilmu di dada membentuk peribadi khalifah.

Islam mengajarkan konsep kepemimpinan yang berteraskan sifat amanah dan bertanggungjawab. Kalau ilmu anda berkat dan bermanfaat, tentunya kedua-dua sifat ini amat menonjol pada diri anda. Ia tidak kira di rumah, pejabat atau dalam lingkungan masyarakat di mana anda berdiri sebagai individu yang bermaruah.

Seorang guru agama yang mempunyai jiwa khalifah akan mencorakkan umat dengan ilmu dakwahnya. Manakala seorang guru sentiasa sedia membantu muridnya tidak kira Muslim atau bukan Muslim kerana dorongan amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Kamu semua adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawabannya atas apa yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Anda adalah ketua bagi diri anda sendiri, isteri, anak, tempat di mana anda bekerja dan dalam masyarakat.

5. Bijak menyembuh penyakit dalam beramal.

Ilmu dan amal memang tidak boleh dipisahkan. Orang yang berilmu tidak akan berpuas hati dengan pencapaiannya. Dia akan sentiasa menimbang, meneliti, mencari-cari ketidaksempurnaan diri dan perbuatannya.

Penyakit orang berilmu adalah ujub manakala penyakit orang beramal biasanya riak. Imam al-Nawawi memberi garis panduan bagi kedua-duanya. Beliau berkata: “Beramal kerana manusia adalah riak dan meninggalkan amal kerana manusia adalah ujub, ikhlas adalah engkau terlepas daripada kedua-duanya.”

6. Cerdik mengenal dan mematahkan tipu helah syaitan.

Ilmu yang berkat adalah senjata yang paling digeruni oleh syaitan. Umar bin al-Khattab pernah melewati satu lorong kemudian beliau berjumpa Rasulullah SAW, Baginda pun bersabda: “Sesungguhnya syaitan lari dari laluan Umar, kerana takut kepadanya.”

Anda mesti memiliki sifat yang sama dengan Umar bin Al-Khattab jika ingin memenangi perlawanan dengan syaitan. Seorang yang berilmu bijak membentengi dirinya daripada hasutan syaitan dan hawa nafsunya. Dia bagaikan memiliki indera keenam yang mampu mengesan setiap gerakan zahir dan batinnya.

Benarkah apa yang dilakukannya atau salahkah jalan yang dilaluinya? Semuanya disebabkan ilmunya yang berkat dan bermanfaat. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: “Manusia yang mendapat azab paling keras pada hari kiamat ialah orang yang tidak mendapat manfaat daripada ilmunya.” (Hadis riwayat Imam al-Tabrani dan al-Baihaqi).

INTI PATI
Ciri ilmu yang berkat menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya, Bidayatul Hidayah adalah:

# Ilmu akan bertambah hebat akibat rasa takut kepada Allah.
# Ilmu membentuk sifat tawaduk.
# Ibadat bertambah nikmat kerana asas ilmu yang kukuh.
# Ilmu di dada membentuk peribadi khalifah.
# Bijak menyembuh penyakit dalam beramal.
# Cerdik mengenal dan mematahkan tipu helah syaitan.

Taat jamin keharmonian keluarga

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya reda kepadanya, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Islam menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.

Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya.

Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa.

Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan rasul.

Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya, tetapi pada iman, ilmu dan kesabarannya.

Dengan demikian barulah kepemimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.

Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman di antara suami isteri.

Oleh itu, Islam menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah daripada kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta dan kuat pegangan agamanya.

Namun, yang perlu diutamakan adalah yang salihah (beriman) supaya mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.

Setiap wanita Islam hendaklah menyedari haknya yang digariskan oleh syarak supaya tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjawab.

Justeru, isteri yang salihah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman.

Dengan itu, rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia. – Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sambut kelahiran bayi

Perlu difahami bahawa amalan seperti memasukkan sesuatu yang manis seperti kurma yang diistilahkan sebagai tahnik memang wujud dalam syariat- Islam.

Dalam sebuah hadis, Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Musa, katanya: “Telah dilahirkan untukku seorang bayi lelaki, lalu aku membawanya kepada Rasulullah lalu baginda menamakannya Ibrahim. Baginda telah mentahnik bayi berkenaan dengan sebiji tamar. Baginda mendoakan keberkatan untuknya kemudian menyerahkan kembali akan dia kepadaku. Bayi ini adalah anak sulung Abu Musa.”

Tahnik yang dimaksudkan ialah dengan mengunyah buah kurma dan menyuapkannya ke mulut bayi.

Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Asma’, katanya, dia telah mengandungkan Abdullah bin Az-Zubair di Mekah. “Aku telah keluar dari Mekah dalam keadaan sarat, lalu datang ke Madinah dan bersalin di Quba’. Kemudian aku membawanya kepada Rasulullah, lalu baginda meletakkan bayi tadi di pangkuannya. Kemudian baginda meminta sebiji kurma, lalu memamahnya dan meludahkannya ke dalam mulut bayi tadi. Maka yang mula-mula sekali masuk ke dalam rongga Abdullah ialah ludah Rasulullah kemudian baginda menyuapkan ke mulut Abdullah buah tamar yang telah dimamah tadi. Setelah itu baginda mendoakan keberkatan ke atasnya.” Abdullah adalah bayi yang pertama sekali dilahirkan dalam Islam. Orang-orang Islam sangat gembira dengan kelahirannya, kerana telah dikatakan bahawa orang-orang Yahudi telah menyihir kamu, kerana itu kamu tidak akan mendapat anak.

Dalam sebuah hadis lain pula Imam Muslim meriwayatkan daripada Aishah katanya: Bahawasanya telah dibawa kepada Rasulullah beberapa bayi lalu baginda mendoakan keberkatan untuk mereka, dan melakukan tahnik untuk mereka.

Islam meletakkan budaya hidup yang berkaitan kelahiran bayi dengan jelas, yang dapat dibuktikan menurut perlakuan Rasulullah, juga para sahabat yang perlu diikuti setiap individu yang mengaku dirinya Islam dengan penuh penghayatan.

Ketika Fatimah binti Muhammad hampir bersalin, baginda telah menyuruh Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy datang menemui Fatimah. Mereka berdua membaca ayat al-Kursi dan ayat inna rabbakumu'llah hingga akhir ayat, juga membaca surah Qul a'udhubi rabbi 'l-Falaq dan Qul a'udhubi rabbi ' n-nas.

Rasulullah mengajar agar setiap bayi yang baru dilahirkan diazan di telinga kanannya dan qamat di telinga kiri. Begitu juga dengan syariat yang telah ditetapkan agar rambut bayi itu dicukur, kemudian rambut tadi ditimbang dan dinilai dengan nilai emas atau perak berdasarkan berat rambut tadi untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Begitu juga dengan akikah yang disunatkan untuk dilakukan.

Islam adalah agama unggul, agama samawi yang diturunkan bersamanya kitab, al-Quran. Apabila seseorang itu mengaku yang Islam itu sebagai anutannya, individu berkenaan mesti berpegang kepada dua sandaran hukum utama iaitu al-Quran dan hadis dengan penuh keyakinan.

Perlu dijelaskan bahawa keyakinan seperti ini sukar diperoleh sekiranya seseorang itu hidup semata-mata berpegang kepada adat, menyebabkan timbulnya kecelaruan, tidak berupaya membezakan antara adat, menyebabkan timbulnya kecelaruan, tidak berupaya membezakan antara adat dan agama, yang akhirnya berpegang teguh kepada ungkapan, “Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah”.

Satu perumpamaan yang menggambarkan seolah-olah mati bererti kehancuran jasad akibat ditelan tanah, tanpa menyedari wujudnya satu kehidupan yang hakiki di akhirat kelak, seperti yang tersurat dalam Rukun Iman.

Islam memberi panduan, seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis, bahawa apabila seseorang itu mendapat cahaya mata dia hendaklah diazankan pada telinga kanannya dan diqamatkan pada telinga kiri. Dengan berbuat demikian, insya-Allah, kumpulan syaitan yang dinamakan “ummu as-sibyan” tidak akan memberi mudarat bayi berkenaan, iaitu tidak mengganggunya.

Disunatkan juga supaya melakukan amalan ‘at-tahniq’

Perkara lain ialah mencukur rambut bayi, di mana rambut cukuran itu hendaklah ditimbang, dan dinilai dengan nilai emas bagi mereka yang kaya, dan nilai perak bagi yang kurang kaya. Nilai tersebut hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Apa yang berlaku sekarang, amalan seperti ini terlalu jarang dilakukan, diganti dengan amalan mencukur jambul yang disertai dengan bacaan berzanji dan berselawat. Amalan lain ialah melakukan akikah di mana ia masih banyak dilakukan sehingga sekarang ini.